Rajagobal direhatkan
Persatuan Bola Sepak Sarawak telah merombak barisan kejurulatihan S’wak memberi mandat kepada David Usop
// Oleh Harry Ilias //
KUCHING: Pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengambil keputusan merombak barisan kejurulatihan Sarawak dengan memberi mandat kepada Penolong Jurulatih, David Usop memimpin dan membuat persiapan pasukan Sarawak menghadapi perlawanan seterusnya saingan Liga Super 2016.
Keputusan itu diambil setelah mengambil kira prestasi dan pencapaian pasukan Sarawak yang kurang memuaskan dalam saingan Liga Super setakat ini di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Datuk K Rajagobal.
FAS dalam kenyataan media di sini semalam juga mengumumkan akan memberi tanggungjawab lain kepada Rajagobal.
Sehubungan itu, FAS berharap tempoh masa rehat panjang sehingga perlawanan menentang Perak pada 18 Mei ini di Kuching dan 21 Mei di Ipoh, Perak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh David untuk memperbaiki prestasi skuad Ngap Sayot.
Sementara itu, David memberitahu beliau akan menggunakan sepenuhnya kepercayaan diberikan oleh FAS untuk memperbaiki prestasi Sarawak dengan misi utama memastikan skuad itu kekal dalam kempen Liga Super tahun depan.
“Saya akan berusaha sebaik mungkin memastikan Sarawak kekal dalam kempen Liga Super musim depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini semalam.
Bagaimanapun, beliau tidak memberi jaminan mampu membawa Sarawak bersaing dalam Piala Malaysia musim ini namun menyatakan skuadnya mempunyai peluang 50-50.
Namun, David berkata Sarawak perlu menewaskan Perak pada perlawanan Liga Super di Stadium Negeri (18 Mei) untuk membuka peluang melayakkan diri ke kejohanan Piala Malaysia musim ini.
Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/1O6KRsW
Post a Comment