Sukan SEA: Marina sedia jadi ‘ibu’ kepada semua atlet
KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen Sukan SEA 2017 Datuk Marina Chin sedia menjadi ‘ibu’ kepada para atlet dan membuka ruang kepada mereka berkongsi masalah berkaitan persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu tahun depan.
Katanya, pendekatan begitu akan digunakan agar beliau sendiri dapat mengenali atlet dengan lebih rapat, serta menyelami masalah yang dihadapi supaya dapat dibawa ke pihak tertentu untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempunyai misi tersendiri dengan melantik ketua kontinjen (CDM) lebih awal berikutan Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada temasya berkenaan.
“Saya buat lawatan awal supaya para atlet lebih mengenali siapa CDM mereka. Saya juga maklumkan kepada mereka bahawa saya ada pejabat di Casa 1 (di MSN). Kalau mereka ada masalah atau perkara yang lain, mereka boleh berjumpa dengan saya.
“Kadang-kadang atlet dalam sukan ini melibatkan juga perasaan… kadang-kadang mereka perlukan ‘motherly touch’, so saya hendak mereka tahu saya ada,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi latihan skuad gimnastik artistik di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) di sini semalam.
Selain itu, Marina berkata perjumpaan dan lawatan dengan atlet pada peringkat awal ini secara tidak langsung dapat membantu beliau dan pihak MSN sekiranya ada aduan atau masalah berkaitan kemudahan latihan para atlet.
“Kalau atlet dapat fokus kepada latihan tanpa risau tentang masalah, mereka mampu untuk beraksi cemerlang,” kata Marina, yang juga merupakan bekas ratu trek negara.
Menurut Marina, beliau amat berpuas hati dengan persiapan serta kesungguhan yang ditunjukkan para atlet dalam beberapa acara yang telah dilawati seperti silat, menembak, olahraga dan bola jaring.
Pengumuman pelantikan Marina sebagai Ketua Kontinjen Sukan SEA 2017 dibuat Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada 11 Sept lepas.
Pengumuman itu dibuat dua tahun lebih awal bagi memastikan persiapan atlet melalui ‘Program Kita Juara’ dapat dipantau dengan teliti dari awal dalam usaha Malaysia untuk menjadi juara keseluruhan. — Bernama
Mukah Pages sharing local news with BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News http://ift.tt/1ZqWMlR
Post a Comment