Kemenangan BN referendum rakyat tolak pembangkang
BERA: Kemenangan besar BN pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas menunjukkan keyakinan rakyat terhadap parti itu kian meningkat dan pada masa sama menggambarkan referendum rakyat menolak pakatan pembangkang.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemenangan itu juga jelas membayangkan rakyat menolak politik kebencian, fitnah dan pembohongan yang selama ini dibawakan pembangkang.
“Pembangkang sebelum ini mengatakan PRK Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar akan menjadi referendum rakyat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu jika rakyat menolak calon BN bermakna rakyat menolak kepimpinan beliau.
“Mereka menganggap ini menjadi referendum rakyat kepada Datuk Seri Najib tetapi sebenarnya ia menjadi referendum kepada kepimpinan pembangkang. Kalau BN kalah mereka suruh Najib berhenti, kenapa pula kalau pembangkang kalah pemimpin mereka tidak berhenti?
“Jadi saya berharap mereka juga kena berani (buat apa yang dikatakan),” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan di Masjid Batu Kampung Papan hari ini.
Dalam PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam, BN bukan sekadar berjaya mempertahankan kerusi di dua Parlimen itu, tetapi turut melakar kejutan dengan mendapat majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-13.
Calon BN Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi memperoleh 16,800 undi dengan majoriti 9,191 undi manakala calon BN Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid pula mendapat 12,653 undi dengan majoriti 6,969 undi.
Ismail Sabri berkata, kemenangan itu turut menunjukkan rakyat menyokong Najib serta dasar yang telah kerajaan laksanakan menerusi pelbagai pendekatan bagi membantu rakyat.
Jelasnya, rakyat juga tidak lagi mahu mendengar segala fitnah yang ditaburkan pembangkang, sebaliknya lebih suka kepada perancangan dibuat kerajaan untuk memberi bantuan dan pembangunan kepada mereka.
“Rakyat masih percaya dan memberikan keyakinan terhadap BN dan semua dasar yang diperkenalkan Najib yang selama ini banyak memberikan tumpuan kepada pembangunan masyarakat luar bandar,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menegaskan, segala janji yang ditaburkan semua pemimpin BN dalam dua PRK itu akan ditepati dan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Katanya, kerajaan akan memberi tumpuan bagi melaksanakan segera segala perancangan seperti mana janji dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang telah mula dilaksanakan pada masa ini.
– BERNAMA
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/26aKuCD
Post a Comment