Pengalaman wartawan Sarawak Voice di Jepun
TOKYO: Saya sudah empat hari di Tokyo, kota mega 13 juta jiwa. Berada di kota ini menyebabkan saya begitu kagum degan kemajuan dan kemodenannya.
Bagi mereka yang pertama kali ke ibu kota Jepun ini pasti kebingungan kerana di sebalik sistem pengangkutannya yang cekap, anda perlu akui masa diperlukan untuk memahami sistem pengangkutannya yang kompleks. Maksudnya, supaya tidak tersalah menaiki tren anda perlu betul-betul faham tren dan laluan mana yang hendak dinaiki.
Namun hakikatnya begitu mudah untuk pergi dari satu destinasi ke satu destinasi lain.
Tren tiba dan bertolak tepat pada waktunya.
Begitu banyak penumpang di mana-mana stesen terutama pada waktu puncak dengan kedaan di dalam tren seperti dalam tin sardin.
Kebanyakan stesen di bawah tanah dan banyak pusat dan kedai beli-belah terletak di bawah tanah.
Sesuatu yang menarik, berbeza daripada di Malaysia penumpang tidak bercakap melalui telefon kerana perbuatan itu boleh mengganggu orang lain.
Mereka kelihatannya lebih berminat membaca sesuatu melalui telefon pintar. Kalau dahulu orang Jepun membaca majalah, novel atau akhbar di dalam tren kini saya dapati amalan itu tidak begitu diamalkan.
Sesungguhnya bagi rakyat Malaysia, Jepun adalah negara yang mahal untuk melancong. Seolah-olah segala harga barang dan makanan adalah terlalu mahal.
Sebotol Coca Cola RM12, mi RM25 dan kalau hendak makan susi bersedialah untuk menghabiskan sekurang-kurang RM60.
Jepun terkenal dengan reka bentuk dan susunan bandar serta kota yang teratur, kemas dan moden. Keadaannya amat sedap mata memandang dan begitu bersih. Anda mungkin hairan, tidak ada tong sampah di mana-mana di bandar. Tetapi keadaan tetap amat bersih. Menurut warga kota yang ditemui sarawakvoice.com, sebab tidak diletakkan tong sampah adalah bagi mengelakkan orang jahat meletakkan bom di dalamnya kerana pada 1990-an pernah berlaku kejadian sedemikian.
Di Sanjuku, tempat saya tinggal dan kawasan beli-belah ternama disediakan kawasan khas bagi mereka yang hendak merokok kerana tidak boleh merokok sesuka hati. Rokok elektronik semakin mendapat sambutan di negara ini.
Jepun memang moden. Dua contoh saya hendak kongsikan. Sistem tandasnya begitu baik. Selepas membuang hajat anda hanya tekankan butang tertentu untuk membersihkan apa yang perlu.
Ketika hendak makan di kedai saya juga tekan makanan yang hendak saya makan dan akan keluar kad atau kertas dengan harganya sekali.
Seperkara yang menarik, jalan raya dan kualiti pembikinannya amat baik. Saya sering tertanya-tanya mengapa kita tidak contohi Jepun selepas mengunjungi negara ini beberapa kali.
Sekarang saya menulis di dalam tren menuju ke Yokahama, sekitar 30 minit dari Tokyo.
Saya akan ceritakan tentang Yokohama nanti.- Sarawakvoice.com
AWANG BOLKIAH ALI, TOKYO.
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment