S’wak bina lebih banyak rumah mampu milik bersaiz besar berharga serendah RM100,000
KUCHING: Demi memenuhi keperluan memiliki rumah bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, Sarawak memperkenalkan Dasar dan Garis Panduan Rumah Mampu Milik yang baru sejak April lepas.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada sidang media Jumaat berkata, “pemaju swasta dikehendaki membina peratusan pembangunan bagi rumah mampu milik, terutama rumah teres jika keluasan tanah dibangunkan (bersaiz) empat hektar dan ke atas.”
Abang Johari berkata dua jenis rumah mampu milik yang dibina di bawah Skim Perumahan Khas Rakyat ialah Spektra Lite dan Spektra Medium.
Harga rumah mampu milik Spektra Lite berharga di antara RM100,000 hingga RM120,000 masing-masing untuk lot tengah dan lot tepi.
Sementara bagi Spektra Medium, berharga di antara RM135,000 hingga RM168,000 masing-masing untuk lot tengah dan lot tepi.
Menerusi dasar baru itu, spesifikasi minimum unit rumah mampu milik dilebarkan kepada 700 kaki persegi berbanding 444 kaki persegi sebelum ini.
Menurut Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi Sarawak, Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan 18,787 unit rumah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dalam tempoh empat tahun akan datang.
Rumah PR1MA dijual dengan harga RM300,000 seunit.
Sementara, pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak sudah mencadangkan lapan projek Program Rumah Rakyat (PRR) yang baharu kepada Jabatan Perumahan Negara untuk dilaksanakan menjelang 2017 dan 2018. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment