Wardina, Syed Azmi serah pada polis siasat laporan Ustaz Kazim terhadap mereka
IPOH: Pengasas dan Pengetua Pusat Pendidikan al-Barakah, Datuk Mohd Kazim Elias petang Jumaat membuat laporan polis ke atas dua individu terkenal kerana didakwa membuat komen negatif tentang beliau berhubung isu gangguan seksual di asrama pelajar.
Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, bekas pelakon dan pengacara televisyen serta Syed Azmi Abhalshi aktivis sosial merupakan individu yang dilaporkan itu.
Ustaz Kazim bersama beberapa ahli jawatankuasa sekolah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kira-kira 3.50 petang Jumaat.
Sejak beberapa hari lalu tersebar dakwaan kononnya berlaku seks luar tabie di sebuah sekolah agama di Perak.
Personaliti Wardina Safiyyah melalui Facebooknya menulis untuk menyerahkan “kepada pihak berkuasa dengan kepakaran yang ada menyiasat secara tulus dan adil”
Sebelum itu Wardina menulis, “yang dedahkan nama Maahad bukan saya atau Syed Azmi tapi Astro Awani dan Polis.
“Polis report oleh ibu yang terbabit pun saya tak kongsi. Kalau ye pun nak buat polis report… patutnya buat satu lagi polis report ke atas ibu tersebut membuat fitnah”
Menurut Wardina sepanjang posting tidak pernah langsung beliau menyebut nama Ustaz atau madrasahnya.
Syed Azmi yang pernah dikenali apabila terlibat dalam program “I Want Touch A Dog” pula enggan mengulas lanjut berhubung laporan polis terhadap dirinya oleh penceramah terkenal, sehingga beliau dapat meneliti kandungan laporan itu.
Memberitahu Astro Awani, Syed Azmi berkata, “Saya belum mendapat laporan lagi mengenai perkara ini. Saya akan membuat kenyataan selepas meneliti perkara ini,” katanya.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencabulan seksual di sekolah berkenaan. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment