Saluran canggih? Apa lagi ruang rakyat ada, tanya Azmi Sharom
PETALING JAYA: Pengerusi baharu Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail hari ini dikritik atas gesaannya supaya Bersih 2.0 memilih kaedah lebih “canggih” dalam menyatakan rasa tidak puas hati, dan bukan menganjurkan perhimpunan.
Menulis dalam The Star hari ini, pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom mempersoalkan sama ada Razali sedar pelbagai memorandum dan surat yang selama ini dihantar kepada pemimpin tidak mendatangkan hasil.
“Malah petisyen sejuta tanda tangan pun dicemuh dan diketepikan. Apa lagi ruang yang rakyat ada?” soal Azmi dalam kolumnya “Brave New World”.
Azmi berkata sementara Razali ada peluang memujuk pemimpin kerajaan yang degil, “kami yang tidak berpakaian sut dan berjawatan Suhakam mungkin mendapati agak susah mendekatkan diri dengan mereka yang berkuasa”.
“Dan pernahkah Razali hadir mana-mana perhimpunan yang dikatakan merosak harta benda itu?” tanya Azmi, yang sebelum ini pernah didakwa atas tuduhan hasutan sebelum kes digugurkan Februari lalu.
Razali dalam temuramah dengan The Star Ahad lalu berkata Bersih 2.0 tidak perlu berhimpun di jalanraya kerana Malaysia tidak terdesak seperti Mesir.
“Tiada siapa yang boleh menghalang mereka daripada meminta akauntabiliti. Tetapi jika anda mahu untuk membuat perincian, mengapa anda pergi ke jalanan? Anda merosakkan banyak harta dan semua itu. Kita tidak begitu terdesak di Malaysia seperti di Tunisia atau Dataran Tahrir,” kata Razali, bekas duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Kenyataan Razali itu dibidas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, yang berkata selaku pembela hak asasi, beliau sepatutnya mempertahankan hak berhimpun secara aman.
Azmi berkata peserta Bersih tidak pernah bertindak merosakkan harta benda, dan menambah beberapa insiden dalam perhimpunan sebelum ini adalah kes terpencil.
“Kalau kesemua berpuluh ribu orang itu memang mahu bawa kerosakan, sudah tentu anda akan menyaksikan kerosakan yang dahsyat,” tulis beliau.
Katanya, tidak ada gunanya kalau Suhakam hanya berperanan meyakinkan kerajaan Malaysia sekadar menandatangani pelbagai perjanjian hak asasi antarabangsa.
“Semua itu tidak bermakna sekiranya suruhanjaya itu tidak berani mempertahankan hak rakyat Malaysia.”
Mukah Pages bring you trending news media Free Malaysia Today http://ift.tt/2ar6Qd3
Post a Comment