7 dipercayai diculik di Sabah, polis adakan sidang akhbar
LAHAD DATU: Polis Sabah akan mengadakan satu sidang akhbar hari ini dipercayai berkaitan kes penculikan di perairan Lahad Datu, malam tadi.
Bagaimanapun Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun tidak mengulas lanjut tujuan sidang akhbar tersebut diadakan.
“Insya-ALLAH, kami akan buat sidang akhbar hari ini,” katanya ringkas kepada Bernama.
Semalam dilaporkan seorang pemilik kapal nelayan bersama krunya hilang dikhuatiri diculik di perairan Lahad Datu kira-kira 10.08 malam.
Menurut The Star, dipercayai tujuh orang termasuk pemilik perahu nelayan diculik oleh satu kumpulan dari Selatan Filipina.
Susulan kejadian itu, Esscom difahamkan bertindak dengan segera.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun dipetik sebagai berkata, beliau belum lagi menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, kumpulan militan Abu Sayyaf kini dilihat semakin giat melakukan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.
Lima orang rakyat Malaysia dan tiga nelayan Filipina kini dipercayai dalam tahanan mereka
Sekurang-kurangnya 25 rakyat Indonesia turut dalam tahanan kumpulan pengganas itu tahun ini.
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment