PKR sifatkan kenyataan pemimpin PAS berniat jahat
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Ketua Pas Kawasan Padang Serai, Shahrudin Ibrahim yang telah mengeluarkan kenyataan yang disifatkan berniat jahat dan tidak langsung mewakili ajaran Islam yang sebenar.
Timbalan Ketua Cabang Parlimen Permatang Pauh Dr Afif Bahardin menyifatkan kenyataan berkenaan mengelirukan seolah-olah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah akan rosak akidahnya sekiranya tidak menyokong pindaan RUU 355.
“Pindaan RUU 355 hakikatnya masih lagi belum dibentangkan secara jelas drafnya di dalam Parlimen dan pastinya memerlukan penelitian dan pertimbangan setiap Ahli Parlimen sebelum menyatakan sebarang pendirian,” katanya dalam satu kenyataan.
Bahkan, ujarnya, adalah salah untuk Shahrudin mengtakfiri seorang individu Muslim lain dan sikap beliau ini adalah ditegah di dalam Islam.
“Kami dari Keadilan Permatang Pauh menuntut Shahrudin agar meminta maaf kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah dan tidak lagi mengulangi keterlanjuran ini pada masa akan datang,” katanya. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment