Mufti: Pemimpin Adil Lebih Penting Dari Fasih Inggeris
Perbicangan awam perlu memberi tumpuan kepada menyeru pemimpin yang adil, bukannya penguasaan bahasa Inggeris mereka, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin.
Beliau berkata, walaupun bahasa Inggeris penting di peringkat antarabangsa, namun penguasaan bahasa Melayu adalah rukun untuk menjadi seorang pemimpin di negara ini.
“Negara ini memerlukan pemimpin yang adil. Itu lebih utama daripada membincangkan tentang seorang pemimpin yang fasih. Walaupun kefasihan itu ada kelebihannya, namun keadilan adalah rukun kepimpinan.
“Mari kita tumpukan perbahasan dalam perkara asas bukan pinggiran,” kata Asri dalam catatan di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas timbalan perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi menerima ejekan kerana dikatakan kurang mahir berbahasa Inggeris ketika menyampaikan ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lepas.
Asri berkata khalifah Islam ketiga Uthman bin Affan tidak menyampaikan ucapannya dengan baik ketika dilantik sebagai khalifah.
“Beliau gugup dan tidak dapat memberikan ucapan yang hebat. Ia mungkin juga atas faktor dirinya yang merupakan seorang yang pemalu. Namun, beliau sempat mengungkapkan satu ungkapan yang bermakna untuk kita semua renungi.
“Kata Saidina Uthman bin Affan: Sesungguhnya kamu memerlukan seorang pemimpin yang adil lebih utama dari seorang pemidato yang fasih,” kata Asri.
Asri berkata, adalah lebih memalukan jika seseorang pemimpin Malaysia tidak mahir dalam bahasa kebangsaan.
“Malu jika kita mendengar ucapan pemimpin utama Singapura dalam bahasa Melayu. Sangat tersusun dan teratur.
“Malangnya, ramai pemimpin politik di Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu. Ironinya, tidak pula kita mengkritik bersungguh-sungguh,” katanya.
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2dj55lA
Post a Comment