Ilmu kebombaan bantu selamatkan asrama SK Bario – Pengerusi Bomba Sukarela
MIRI: Tindakan pantas pasukan bomba sukararelawan yang diketuai oleh Ketua Kaum Frezier Kaya yang baharu dua minggu dilantik dan menjalani kursus berjaya mengelakkan api menyambar kawasan asrama SK Bario petang semalam.
Menurut Frezier, kebakaran itu pada mulanya disedari pekerja sekolah tersebut, semasa murid-murid sedang menikmati minum petang di dewan makan.
“Menyedari api sedang marak, para pekerja mengumpul semua alat pemadam api yang ada dan cuba untuk melakukan aktiviti pemadaman.
“Bagaimanapun usaha itu gagal kerana api marak dengan cepat.
Masih tebal dengan ilmu yang diajar oleh pihak bomba, Frezier dan penduduk kampung yang lain kemudian membuat ‘fire breaker’, dengan merobohkan koridor yang menghubungkan blok sekolah dan asrama pelajar.
“Ia berjaya menghalang api merebak ke kawasan asrama .
“Penduduk kampung juga memecahkan atap asrama sebagai persediaan untuk menghalang api terus marak, jika berjaya menyambar blok asrama,” katanya.
Ternyata usaha itu berjaya mengawal api daripada memusnahkan blok asrama yang terletak 10 meter dari kawasan yang terbakar.
Penduduk kampung turut melakukan tindakan overhaul dan penyejukan bangunan asrama tersebut menggunakan dua pam air milik Ceria Sdn Bhd, dengan sumber dari tangki simpanan air di sekolah.
Bario merupakan kawasan tanah tinggi Kelabit yang terletak jauh di pedalaman Sarawak.
Balai bomba dan penyelamat terdekatnya, adalah di Marudi, dan perjalanan ke sana mengambil masa 13 jam.
Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Norhisham Mohamad berkata, pihaknya bersyukur dengan tindakan pantas oleh pasukan bomba sukarela yang masih berstatus protem ini.
“Tindakan kita menganjurkan kursus kebombaan selama tiga hari dua malam pada dua minggu lalu adalah tepat dan mereka dapat mempraktiskan apa yang diajar dengan baik sekali.
“Mereka berjaya mengumpul penduduk kampung dan para sukarelawan dengan pantas, malah melakukan tindakan yang betul, dalam melaksanakan pemadaman.
Kawasan tersebut kata Norhisham, belum lagi memiliki pili bomba dan tindakan menggunakan pam air Ceria Sdn Bhd itu adalah tindakan pantas yang mengagumkan.
“Kejayaan ini membakar semangat kita untuk terus menubuhkan pasukan bomba sukarela dan menganjurkan kursus-kursus kebombaan di segenap pelosok dan ceruk negeri ini, biarpun dibebani peruntukan kewangan yang mengecil,” katanya ketika dihubungi sarawakvoice.com pagi ini. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment