Jerebu: Indonesia perlu dikenakan hukuman denda
Disedari atau tidak, sebenarnya sudah lebih 30 tahun negara di Asia Tenggara khususnya Malaysia dan Singapura berhadapan dengan masalah jerebu.
Fenomena asap rentas sempadan yang berpunca daripada pembakaran hutan secara berleluasa di kepulauan Indonesia seperti di wilayah Kalimantan dan Riau dikesan berlaku semenjak tahun 1982 lagi.
Episod jerebu paling lama dicatatkan berlaku pada tahun 1997 apabila hampir enam bulan seluruh negara diselimuti jerebu yang teruk. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan berada dalam kategori berbahaya, iaitu melebihi aras 300.
IPU di Malaysia (menggunakan PM10, di Singapura PM2.5) ditetapkan pada skala baik (0-50), sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), amat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (melebihi 300). Fenomena jerebu yang teruk di Malaysia turut dikesan pada tahun 2005, 2006 dan 2015, kesemuanya berlaku pada bulan Ogos dan awal September.
Pada 27 hingga 30 Ogos 2016, beberapa kawasan di Lembah Klang, Nilai, Seremban, Melaka dan Putrajaya mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana. Pengguna media sosial di Lembah Klang rancak berkongsi gambar-gambar fenemona jerebu di sana sini.
Ada yang memberi komentar berkisar ketidakupayaan pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ini dan kesukaran yang dilalui sebelum ini apabila sekolah ditutup, penerbangan terpaksa dibatalkan dan masalah kesihatan.
Di Singapura, media malaporkan fenomena jerebu telah dirasai semenjak 26 Ogos lagi. Imej satelit menunjukkan kebakaran hutan yang berlaku di daerah Riau Indonesia yang semenjak 22 Ogos lalu.
Arah angin di Riau secara dominan bergerak dari barat dan barat laut ke arah timur dan tenggara. Pola angin musim kemarau di Riau inilah yang membawa jerebu ke Singapura dan Malaysia pada bulan Ogos dan September saban tahun.
Biasanya perbincangan mengenai jerebu hanya berkisar terhadap kerugian kemusnahan hasil hutan dan jarang-jarang dibahaskan mengenai kos ekonomi dan perbelanjaan kesihatan. Insiden pada tahun 2013, 2014 dan 2015 menyebabkan beberapa negara di Asia Tenggara diselimuti oleh asap beracun apabila 1.7 juta tan karbon (sama dengan pencemaran di Brazil dalam jangka masa setahun) dilepaskan ke atmosfera.
Antara Jun hingga Oktober tahun 2015, Indonesia dikatakan mengalami kerugian sebanyak USD15 juta apabila 100,000 titik kebakaran dikesan berlaku dan melibatkan jutaan hektar tanah hutan.
Jerebu dipercayai menyumbang kepada penyakit berkaitan cardiovascular dan kematian berkaitan pernafasan, kanser, peningkatan kes asma dan peningkatan pesakit-pesakit yang menerima rawatan luar.
Kajian oleh Seema (2008) mendedahkan bahawa sebanyak 15,600 kanak-kanak menjadi mangsa korban semasa insiden jerebu tahun 1997.
Kajian yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik daripada UKM (Jamal Othman et al. 2013) menunjukkan bahawa berlaku peningkatan pesakit luar sebanyak 2.4 orang bagi 10,000 penduduk pada setiap kali fenomena jerebu berlaku.
Pesakit yang dimasukkan ke wad secara purata selama dua hari di hospital adalah sebanyak 90 orang setiap tahun. Hal ini menimbulkan kekangan kepada pihak hospital untuk menyediakan kemudahan seperti katil hospital (90 orang x dua malam = 180 katil setiap hari).
Mereka juga menganggarkan bahawa dari segi kesihatan, Malaysia kerugian sebanyak USD1.1 juta hingga USD1.7 juta pada tahun 2005, 2006, 2008 dan 2009.
Itu belum lagi mengambil kira kos pembatalan penerbangan, penutupan sekolah, pembatalan tempahan hotel, kemerosotan industri pelancongan dan lain-lain berkaitan pengurangan produktiviti.
Sudah semestinya negara bertanggungjawab mencetuskan masalah jerebu perlu memikul kos kesihatan dan ekonomi seperti di atas. Tentang bagaimana mekanismenya, itu boleh dibincangkan pada peringkat negara Asean.
Negara Asean telah menandatangani banyak perjanjian mengenai jerebu semenjak 1995. Pada tahun 2003, Asean memperkenalkan dasar ‘Zero Open Burning’. Presiden Indonesia, Jokowi berjanji akan berusaha lebih keras untuk mencegah kebakaran berulang pada 2016.
Sementara itu, semasa mesyuarat peringkat menteri-menteri Asean, pihak Indonesia berjanji untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasi masalah jerebu rentas sempadan menjelang tahun 2020.
Di sebalik semua perjanjian dan janji diberikan, jerebu tetap juga berlaku saban tahun. Antara sebab utamanya ialah undang-undang Indonesia masih membenarkan petani berskala kecil melakukan pembakaran di atas tanah yang keluasannya kurang 0.8 hektar.
Terdapat kes perusahaan menggunakan bantuan petani berskala kecil untuk membersihkan hutan bagi pihak perusahaan.
Akhir bulan Ogos lalu, media di Indonesia melaporkan bahawa pada pertengahan tahun 2016 sebanyak 463 tangkapan telah dilakukan berkaitan pembakaran hutan. Ini merupakan peningkatan daripada 196 orang yang ditangkap pada tahun 2015.
Pada tahun ini Malaysia dan Singapura agak bernasib baik sedikit kerana hujan yang semakin kerap berlaku berikutan kondisi La Nina menyebabkan fenomena jerebu yang dialami tidak panjang seperti tahun-tahun sebelumnya.
Namun begitu, masalah jerebu tidak akan selesai sekiranya negara yang terlibat tidak dikenakan hukuman setimpal dan reformasi dilakukan dalam pengurusan pembakaran hutan. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment