Wujudkan gelombang kecil bagi pertahankan kubu BN, kata Hishammuddin
BENTONG: Anggota UMNO di peringkat bahagian di seluruh negara diminta mewujudkan gelombang-gelombang kecil yang kemudian dapat berubah menjadi tsunami bagi mempertahankan kubu-kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata, dalam masa yang sama, semua anggota parti di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) hendaklah berada dalam keadaan ‘mode bersedia’ bagi menghadapi PRU.
Untuk itu, katanya, mereka perlu mula mengatur gerak kerja termasuk mengenal pasti pengundi di kawasan masing-masing.
“Kenal pasti berapa ramai yang telah daftar pada PRU lepas tetapi tidak keluar mengundi, ini semua perlu dikaji dan dipersiapkan dengan rapi supaya apabila Perdana Menteri umumkan bubar Parlimen, kita telah bersedia untuk pastikan setiap calon kita menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bentong di sini, semalam.
BN dijangka berdepan tentangan sengit daripada pembangkang ketika kepemimpinan parti berdepan dengan pelbagai isu menjelang PRU Ke-14.
PRU berkenaan dijangka diadakan seawal-awalnya pada suku pertama tahun depan, dan selewat-lewatnya bulan September 2017.
Sebagai satu-satunya parti yang mempunyai 14 parti komponen di negara ini, Hishammuddin berkata, BN perlu memperlihatkan kerjasama politik yang padu termasuk dalam membantu rakyat di kawasan yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum seperti Sembrong, di Johor dan Bentong sendiri.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, meskipun pembangkang cuba hendak meniru BN dengan mewujudkan pakatan mereka sendiri, namun tidak berjaya dan akhirnya berpecah.
Katanya; “Jadi kita mesti buktikan apa yang diwarisi selama ini diterjemah dengan baik terutama dalam gerak kerja menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment