Slogan kenegerian hanya bawa polemik perpecahan, kata Hishammuddin
Slogan dan perjuangan Sabah for Sabahan hanya membawa kepada polemik perpecahan, kata Naib presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Justeru, beliau mengingatkan ahli UMNO supaya tidak terikut-ikut mengamalkan sentimen emosi, termasuk sentimen politik kenegerian.
Dalam ucapannya beliau telah membidas seorang pemimpin UMNO yang tidak lagi bersama parti itu.
Meskipun tanpa menyebut nama, beliau jelas merujuk kepada bekas Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal.
Berbeza daripada dahulu, kini Shafie memperjuangkan Sabah untuk orang Sabah dan banyak mengkritik kepemimpinan UMNO yang suatu ketika dahulu dipujinya melangit.
Malah, kini beliau bersekongkol dengan pemimpin pembangkang.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kalabakan di Tawau semalam.
Kita hendak tanya Hishammuddin, bagaimana dengan Sarawak?
Adakah slogan dan perjuangan Sarawak for Sarawakian tidak ikut emosi dan membawa kepada politik perpecahan?
Apa istimewanya Sarawak dibenarkan dan dibiarkan gunakan slogan itu?
Sentimen kenegerian seperti Sabah for Sabahan, menurut Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, tidak pernah membawa atau membina ke arah semangat perpaduan.
Sesungguhnya, ketika kita sudah lebih 50 tahun merdeka melalui Malaysia, mengapakah kita hendak berundur ke belakang? Yang mana lebih penting, negara atau negeri?
Memang kedua-duanya penting tetapi, kita tidak harus bersikap kenegerian yang melampau dan keterlaluan, hanya dengan mengutamakan kepentingan negeri, tanpa melihat dari kanta negara dan negara bangsa.
Sepatutnya, semangat kenegerian yang melampau tidak digalakkan, dan kita perlu bersikap objektif dan bukannya emosional seperti yang disarankan oleh pemimpin UMNO itu.
Pemimpin UMNO, katanya, berjuang untuk semua, termasuk isu membabitkan rakyat Sabah.
Misalnya beliau merujuk kes pencerobohan di Lahad Datu.
“Meskipun saya menteri dari Johor, tetapi saya bertanggungjawab dan bekerja keras memastikan kedaulatan serta keamanan Sabah terpelihara,” katanya. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment