Hi! Welcome Back and Stay Tune! Zika: Suami isteri pesakit ketiga dan keempat di Malaysia – KP Kesihatan - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Zika: Suami isteri pesakit ketiga dan keempat di Malaysia – KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan kes keempat jangkitan Zika di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, pesakit adalah lelaki yang berusi 25 tahun dan merupakan suami kepada pesakit kes ke-3 jangkitan Zika yang kini sedang hamil dan menetap di Taman Desa Harmoni, Johor Bharu.

“Pesakit hanya mengalami gejala ruam pada 2 September dan tidak mempunyai gejala-gejala lain.

“Bagaimanapun, beliau telah disahkan oleh ujian makmal dan positif untuk Zika.”

Pesakit katanya, telah dimasukkan ke wad di sebuah hospital kerajaan di Johor untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

“Siasatan KKM menunjukkan pesakit telah berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura.

“Pesakit tidak mempunyai kontak terdekat lain di Malaysia selain ibu mertua dan isteri.

KKM menurutnya, telah melakukan aktiviti kawalan vektor di kawasan kediaman pesakit dan semua kawasan yang pernah dikunjunginya di Johor.

“Sebanyak 445 buah rumah telah diperiksa, 95 premis telah dijalankan larvasiding, 203 premis dilakukan semburan thermal dan 870 premis dilakukan semburan ULV.

“Kadar pembiakan Aedes di kawasan tersebut menunjukkan kawasan ini masih mempunyai populasi nyamuk Aedes.

Jelas Noor Hisham, Active Case Detection juga telah dijalankan di lokaliti kediaman pesakit dan didapati tidak ada sesiapa yang mempunyai simptom Zika berhampiran kediamannya.

Sehingga 9 September semalam, jumlah kes Zika yang disahkan di seluruh negara adalah sebanyak empat kes.

Selain itu, pemantauan KKM sejak 1 September juga mendapati terdapat sebanyak 39 kes yang mempunyai gejala dan tanda-tanda Zika namun kesemua mereka mempunyai keputusan ujian yang negatif.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lelaki yang disahkan jangkitan Zika perlu mengamalkan seks selamat atau mengelakkan daripada melakukan hubungan seks sama sekali untuk tempoh enam bulan dari tarikh diagnosis.

Sekiranya lelaki tersebut mempunyai pasangan yang mengandung dan kerap melawat kawasan yang dilaporkan jangkitan Zika, maka hubungan seks hendaklah dielakkan sepanjang tempoh kehamilan pasangannya untuk mengelakkan komplikasi ‘microcephaly’ kepada bayi yang dikandung.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Soares de Araújo J.S. et al pada tahun 2016 yang melibatkan 16, 208 kelahiran di Brazil dari 2012 hingga 2015, didapati kejadian microcephaly adalah di antara 2 hingga 8 peratus.

Manakala kajian oleh Cauchemez et al pada 2016 di French Polynesia bagi tahun 2013 hingga 2015 mendapati risiko microcephaly yang berkaitan jangkitan Zika adalah 95 kes per 10,000 wanita hamil.

Namun begitu, risiko microcephaly bagi jangkitan di Malaysia masih tidak diketahui memandangkan jangkitan ini baharu melanda Malaysia.

KKM menasihatkan bahawa pencegahan jangkitan Zika dan Denggi adalah amat penting dengan persekitaran yang bersih tanpa pembiakan Aedes.

Orang ramai dinasihatkan mengamalkan perlindungan diri daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan repelen dan memakai pakaian cerah serta menutup anggota.

“Bersempena dengan cuti perayaan Hari Raya, masyarakat diingatkan supaya memastikan kawasan rumah dan pejabat adalah bebas daripada kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

“Dengan ini, risiko jangkitan terhadap virus Denggi (yang berbahaya dan boleh membawa kematian) juga dapat dikurangkan,” tambahnya. – Sarawakvoice



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.