Macam mana nak memulakan perniagaan food truck? Ini panduannya…
Kalau korang perasan, konsep perniagaan ‘Food Truck’ kat Malaysia sekarang ni macam cendawan tumbuh lepas hujan. Cendawan lepas hujan pun tak tumbuh macam food truck. Dengan suasana perniagaan yang lebih santai dan bersahaja, ia telah mengubah gaya hidup masyarakat moden dan ianya lebih mudah didapati. Kadang-kadang kita ni takde masa nak ke kedai so, food trucklah yang menjadi pilihan.
Secara tak langsung kami kat SOSCILI pun tertarik untuk membuat satu artikel mengenai perniagaan food truck ni untuk rujukan korang (manalah tahu satu hari nanti korang pulak yang akan berbisnes food truck). Jom kita semak senarai kat bawah ni…
Macam mana mereka memulakan perniagaan?
Kami sempat interview sendiri pemilik food truck Humble Chef yang kini telah berjaya mengembangkan perniagaannya dengan membuka sebuah restoran di Pusat Bandar Damansara.
“Idea berniaga ni datang dari ibu saya sendiri. Waktu dia kerja dulu, ada seorang penjaja ni berniaga kuey teow goreng menggunakan lori. So dari situ kami telah dapat idea dan cuba mencari kelainan dengan menggunakan bahagian dalam lori tu sepenuhnya. So jadilah food truck” – Rosman Hussin, Pengurus Humble Chef dalam interview dengan SOSCILI.
“Saya ada menonton rancangan di televisyen seperti Eat St dan Rebel Without A Kitchen yang memaparkan perniagaan berasaskan trak dan terdetik di hati saya untuk mencuba perniagaan ini.”-Muhammad Hafiy, Pengasas Babarittos Food Truck. Dipetik dari Sinar Harian.
Tambah Hafiy lagi, selepas tamat belajar, dia telah menggunakan semua duit simpanan dan sedikit bantuan daripada ibu bapanya untuk membeli van dan mengubahsuai sendiri bahagian dalaman van. Dengan berbekalkan sebuah van lama yang dibelinya itu, dia mula mengatur strategi untuk menjalankan perniagaan makanan ala Mexico yang dikenali sebagai Babarittos Food Truck Malaysia.
Berapa modal yang diperlukan?
Modal merupakan sesuatu yang paling utama dalam memulakan perniagaan dan diberi nilaian dalam bentuk wang. Ia turut berperanan besar dalam menentukan kapasiti sesuatu perniagaan.
“Hmm modal tu, pada saya sekarang ni kalau korang ada dalam RM60,000 dah boleh jalan dah.” – Rosman Hussin, Pengurus Humble Chef ketika di interview oleh SOSCILI.
Menurut pengalaman dari Pengurus Humble Chef ni lagi, modal perniagaan yang digunakannya itu akan berbalik semula dalam masa enam hingga satu tahun.
Kat sini, kami sediakan sekali anggaran bagi pengiraan modal yang diambil dari Facebook Malaysian Food Truck:
- Daftar SSM – RM100 (wajib ada).
- Daftar bank – RM2,000 (wajib ada) kalau tak kukuh boleh support bank statement.
- Lesen GDL – RM500 (bawah 3 tan wajib ada).
- Deposit foodtruck 10% (harga on the road RM55K) – RM5,500 (untuk kurangkan bayar bulanan).
- Bayaran bulanan – RM600.
- Papan menu/bunting – RM300 (nak jimat guna white/black board).
- Sticker food truck basic – RM500 (terpulang citarasa korang).
- Modal untuk pusing – RM3,000 (min).
- Kelengkapan – RM4,000 (bergantung pada perniagaan).
- Stok barang mentah – RM2,000 (bergantung pada perniagaan).
- Lesen niaga PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) – RM5,000 setahun (anggaran)
- Maintenance – RM300
Anggaran: Lebih kurang dalam RM20,000 untuk foodtruck skala kecil (tapi ia juga boleh cecah hampir RM100,000).
Banyak kan bajet? So kalau korang berminat nak buka Food Truck tapi bajet masih tak cukup, korang tak perlu risau sebab kerajaan ada sediakan pinjaman seperti:
- MARA ada menawarkan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM) kepada para usahawan perniagaan bergerak yang menggunakan kenderaan, kontena, kabin atau karavan dengan had pembiayaan sebanyak RM250,000 untuk syarikat milikan tunggal atau perkongsian manakala RM500,000 bagi Syarikat Sendirian Berhad.
- Dana Usahawan Muda SME, sebuah dana yang diwujudkan oleh kerajaan untuk golongan belia mendapatkan pembiayaan memulakan perniagaan dengan had pembiayaan sebanyak RM20,000 hingga ke RM100,000.
Kami cuba hubungi SME Bank untuk bertanyakan mengenai pinjaman ni dan mereka memberitahu bahawa tempoh pinjaman bergantung kepada grace period (berapa lama sebelum korang perlu bayar balik). Antara 5-7 tahun dengan grace period 1-2 tahun.
“Sekiranya pemohon tidak memiliki Sijil Keusahawanan, pemohon perlu menyertai latihan keusahawanan yang dianjurkan oleh SME Bank dengan bayaran RM600 selama 3hari” – SMEBank. Ketika dihubungi oleh SOSCILI.
Sebenarnya terdapat banyak lagi badan-badan pinjaman lain yang korang boleh rujuk kat sini.
Berapa pendapatan bulanan mereka?
Mesti korang tertanya-tanya berapalah agaknya pendapatan mereka ni kan? Boleh untung ke? Hmm takutlah nak berniaga.
Dan… ini jawapan beberapa perniaga food truck (jangan terkejut ye) :
“… kini pendapatan bersih setiap bulan yang diperolehi mencecah RM10,000”.- Muhammad Hafiy, Pengasas Babarittos Food Truck. Dipetik dari Sinar Harian.
“Alhamdulillah, pendapatan harian dan bulanan yang diperoleh juga lumayan serta sambutan para pelanggan amat menggalakkan. Dalam sehari kami boleh perolehi jualan RM1,000.”- Siti Tun Zairiah, pengasas Sukamari, dipetik dari Kosmo.
Malah jika mengikut anggaran daripada Kuantan Food Truck Club, pendapatan bagi satu food truck di lokasi yang tepat, boleh mencecah jualan harian sehingga RM1,000 ke RM2,000. Jualan bulanan pula antara RM40,000- RM45,000. Tapi sekiranya hari tu ada event, pendapatan jualan harian di sesebuah event boleh cecah RM5,000 sehari (rasa macam nak berenti kerja dan terus buat bisness food truck sekarang ni jugak).
Lokasi perniagaan memainkan peranan penting
Lokasi perniagaan merupakan perkara yang perlu dititikberatkan oleh setiap perniaga yang ingin memulakan perniagaan. Malah mereka boleh pilih sendiri lokasi yang nak digunakan sama ada nak berbayar atau tak berbayar.
Tempat perniagaan berbayar
Mereka mempunyai penganjur yang akan mengenakan caj tertentu kepada perniaga tetapi biasanya pulangan yang diperolehi oleh perniaga memang berlipat kali ganda (jika ada event).
Tempat perniagaan tak berbayar
Yang ni biasanya jenis parking kat tepi jalan, tepi kedai, tepi bangunan dan yang sewaktu dengannya lah. Tapi kalau jenis macam ni pulak, korang akan berhadapan dengan risiko untuk kena saman.
Lokasi jualan juga perlu bersesuaian dengan apa yang nak dijual. Sebagai contoh kalau nak jual cendol, carilah kawasan riadah, tempat parking yang sentiasa ada orang dan opkoslah waktu berniaga tu kena waktu tengah hari panas terik (kalau boleh masa matahari ada kat atas kepala). Kalau jual nasi berlauk pulak, ia sesuai dikawasan pejabat dan tak ganggu lalu lintas.
“Pemilihan lokasi sangat penting. Kami pernah berniaga dilokasi yang salah dan hasil yang diperolehi memang sedikit tetapi bila kami tukar ke tempat lain, tempat yang ada student, jualan kami memberangsangkan.”- Rosman Hussin, Pengurus Humble Chef ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
“Selepas mengalami kegagalan di awal perniagaan, saya mengambil keputusan menukar pendekatan dan lokasi jualan… Alhamdulillah, sekarang kami boleh dikatakan berjaya,”- Muhammad Hafiy, Pengasas Babarittos Food Truck. Dipetik dari Sinar Harian.
Cipta kelainan pada menu jualan
Modal dah ada kat tangan, tapi tak tahu nak jual apa yang sesuai? Ok kami kongsi sikit beberapa tips dalam memilih menu jualan bagi korang yang baru nak mula berniaga :
“Kalau nak berniaga, ciptalah produk anda sendiri. Jangan tiru idea orang lain.” -Rosman Hussin, Pengurus Humble Chef ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Untuk pengetahuan korang, Humble Chef merupakan penjual utama yang menjual pasta dengan harga RM5. Itulah kelainan yang diciptanya sendiri dan dalam masa yang sama, dia memang penggemar pasta.
“Idea menjual pasta tu datang kerana biasanya pasta akan dijual dengan harga yang mahal. So kami cuba mencipta kelainan dan sehingga sekarang harganya masih kekal jika tak campur GST lah.” -Rosman Hussin, Pengurus Humble Chef ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Seperti perniagaan Dr Mark Rony pulak, ia terkenal dengan burger daging yang mempunyai patty tebal. Rasanya yang enak dan tersendiri membuatkan ramai pembeli menggemarinya. Malah burger daging jualannya mampu dijual antara 80 hingga 100 biji sehari.
“… daging burger dari Dr Mark Rony dibuat sendiri menggunakan resipi tersendiri dan rotinya juga dihasilkan oleh saudara (home made)”.- Rony Hassan, perniaga food truck Dr Mark Rony. Dipetik dari Sinar Harian.
Antara menu yang unik ialah nasi lemak chicken chop yang dibawakan oleh pengasas Cik Mak Pak Hang.
“Idea ni datang sebab ada kawan yang memang meniaga nasi lemak setiap pagi dan nasi lemak dia sangat sedap….dan aku pun ada seorang lagi kawan yang pandai gila masak wertern food, sebab dia ada pengalaman memasak di hotel. ” – Elmi, pengusaha CIk Mak Pak Hang. Dipetik dari The Level.
Kelebihan jika berniaga food truck
Menurut Facebook Malaysian Food Truck, antara kelebihan berniaga food truck dari restoran atau cafe biasa ialah, perniaga boleh buat pinjaman bayaran secara bulanan (sama macam korang beli kereta atau motosikal).
“Perniagaan food truck lebih praktikal dan mudah dibawa ke mana-mana tapak perniagaan… kos penyelenggaraan untuk perniagaan ini juga jauh lebih murah.”- Amran Mat Said, perniaga Anie Noor D’Klate. Dipetik dari Kosmo.
“Modal berniaga food truck ni sangat-sangat rendah tetapi keuntungan yang akan diperolehi memang tinggi.”- Rosman Hussin, Pengurus Humble Chef ketika di interview oleh SOSCILI.
Food truck yang berjaya membawa brandingnya sendiri
Korang pernah dengar tak nama La Famiglia yang menyajikan makanan Itali dengan harga yang murah serendah RM5-RM9 je setiap hidangan.
Walaupun tak mempunyai sebarang latar belakang di dalam bidang pengurusan makanan, namun beliau dan rakan kongsinya selaku sahabat karibnya sendiri (sejak sekolah rendah berkawan baik) telah bersama-sama membina perniagaan dari bawah.
“Kami mula dengan membuka gerai kecil di Damansara Heights, kini La Famiglia sudah mempunyai beberapa cawangan di Lembah Klang dan Melaka.”- Danial Marizd, Pegawai Operasi La Famiglia, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Perniagaan beliau kini telah hampir 3 tahun lamanya. Apa yang menarik dengan La Famiglia lagi ialah, mereka bukan je setakat mempunyai Facebook, Instagram, Twitter dan website, tapi turut mempunyai app sendiri!
“Kami merupakan food truck yang pertama mempunyai apps dan mempunyai reward system. Sesiapa yang download apps ni dan makan, mereka boleh redeem point. 10 kali makan, 20 kali makan, kami akan bagi pelanggan makan secara percuma.”- Danial Marizd.
Untuk pengetahuan korang lagi, La Famiglia ni bukan food truck biasa-biasa je tau yang jual makanan kat tepi jalan tu, tapi mereka mempunyai konsep tersendiri iaitu ‘Food, Fashion, Lifestyle’. Dorang jugak turut menjual baju, vape dan lego. Malah menurut Danial lagi, kini mereka dalam proses untuk mengembangkan lagi sayapnya.
“Kami bukan bergerak dengan makanan je, tapi kami turut membawa branding sekali.”- Danial Marizd.
Di mana ada jalan, di situ ada food truck
So sebenarnya korang semua pun boleh je nak berjaya macam mereka ni. Bagi mereka yang dah ada perniagaan food truck pula, boleh je kalau nak kembangkan lagi perniagaan seperti yang dilakukan oleh La Famiglia.
Pepatah Melayu ada mengatakan ‘bukan senang nak jadi senang, bukan susah nak jadi susah’. begitulah juga dalam dunia perniagaan, yang pasti akan ada cabarannya seperti dilalui oleh beberapa pengusaha food truck seperti Pengasas Babaritos Food Truck:
“Pada awal perniagaan saya pernah mendapat keuntungan RM20 je sehingga membuatkan saya terfikir nak berhenti berniaga. Pernah juga saya diejek dan menyatakan bahawa perniagaan saya ini tak boleh pergi jauh.”- Muhammad Hafiy, Pengasas Babarittos Food Truck. Dipetik dari Sinar Harian.
Moga dengan adanya artikel ni, ia akan memberi inspirasi dan dapat membantu korang macam mana cara nak berniaga food truck.
Akhir kata, selamat maju jaya dari kami di SOSCILI!
Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2dTVBv9
a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>
Post a Comment