Rosmah Malu Generasi Muda Tak Hormat Lagu Negaraku
Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor melahirkan rasa kecewa dan malu terhadap generasi muda pada masa kini kerana tidak menghormati lagu Negaraku.
Dengan nada kecewa, Rosmah berkata sekiranya lagu Negaraku serta bendera Malaysia tidak dihormati rakyat di negara ini, ia turut tidak akan mendapat penghormatan oleh pihak luar.
Malah, beliau turut menceritakan pengalamannya menghadiri program bersama Yang di-Pertuan Agong apabila terdapat segelintir golongan muda yang tidak menyanyikan lagu Negaraku, sebaliknya mereka bergurau ketika lagu kebangsaan itu berkumandang.
“Saya sering melihat generasi muda kita apabila berkumandang lagu Negaraku khasnya, mereka tidak hirau dan terus berbual dan ada yang terus berjalan tanpa rasa sekelumit malu dengan kebanyakan orang lain yang berdiri tegak menghormati lagu kebangsaan.
“Kalau kita tak reti hormat lagu Negaraku, apatah lagi orang lain. Kita tak boleh salahkan orang lain sebab kita sendiri tak tahu rasa hormat lagu Negaraku dan bendera kita.
“Kita tidak boleh harap rakyat asing hormat bendera kita kalau anda sendiri tidak hormat lagu Negaraku dan bendera anda sendiri.
“Saya memang rasa malu bila tengok generasi muda tidak menghormati lagu Negaraku,” katanya yang turut memetik insiden rakyat Australia yang memakai seluar dalam bercorak bendera Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup program Malaysia Dihatiku di sebuah hotel di ibu negara malam tadi.
Sementara itu, dalam ucapannya, Rosmah turut memberi nasihat kepada generasi muda supaya tidak berpecah belah.
Katanya, walau apa jua dugaan yang datang anak muda tidak boleh berputus asa sebaliknya mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional.
Jelasnya lagi, sekiranya seseorang mahu menganggap dirinya sebagai rakyat yang patriotik, maka mereka perlu menjadi seorang yang baik tingkah laku dan gigih berusaha mencapai kejayaan hidup.
“Kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang merintang, anak-anak muda sekalian tidak boleh berputus asa.
“Sebagai generasi muda yang merupakan kelompok terbesar mengisi ruang populasi kependudukan negara, pastinya peranan mereka terhadap negara amat diperlukan.
“Seseorang itu yang mahu menganggap dirinya sebagai rakyat Malaysia yang patriotik maka perlulah dia menjadi seorang yang baik tingkah lakunya, gigih berusaha untuk mencapai kejayaan hidup dan sedaya upaya membantu usaha kerajaan untuk mengekalkan perpaduan,” katanya lagi.
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2dwRciu
Post a Comment