14 Ahli Gabungan FAM Mengadap, Sultan Johor Perkenan TMJ Calon Jawatan Presiden FAM
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam satu pertemuan dengan delegasi ahli gabungan FAM hari ini berkenan untuk membenarkan anakandanya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lapor Berita Harian.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata pekenan Baginda Sultan Johor diperoleh dalam satu pertemuan di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi, di sini, pagi tadi.
Katanya, ketika pertemuan itu, Sultan Johor mahu melihat sokongan yang tulen daripada ahli gabungan yang mahukan Tunku Ismail menerajui tampuk pemerintahan tertinggi FAM.
“Tuanku juga bertitah jangan berikan tempoh tertentu, sebaliknya memberikan masa kepada Tunku Ismail bagi melakukan perubahan terhadap bola sepak negara.
“Dengan perkenan Sultan Johor, ahli gabungan FAM beranggapan Tunku Ismail bersetuju untuk menerima pencalonan bagi menyandang jawatan Presiden FAM pada pemilihan yang berlangsung bulan hadapan,” katanya.
Seramai 14 ahli gabungan FAM hadir pada pertemuan pagi tadi, manakala enam lagi iaitu Perak, Kelantan, Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak hadir.
“Pertemuan berlangsung selama satu jam dan pada mulanya kami menjangkakan pertemuan akan menjadi sedikit tegang, sebaliknya diberi layan mesra,” katanya.
– Siakapkeli.my
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
Post a Comment