Hi! Welcome Back and Stay Tune! Amerika Kembali Menjadi Proteksionis Di Bawah Trump - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Amerika Kembali Menjadi Proteksionis Di Bawah Trump

Orang yang membantah TPPA akhirnya mendapat apa yang mereka inginkan. Tetapi yang anehnya, presiden US sendiri yang membatalkan TPPA. Apa sudah jadi?

Kalau ikutkan hujah mereka yang anti TPPA, TPPA ialah agenda Yahudi/Rothschild/Wolf of Wall Street atau senang kata, ‘kapitalis’. Jadi, mengapa Trump yang kapitalis mahu membatalkan rancangan kapitalis? Wayang apa yang mahu dimainkan?

Sebenarnya tiada wayang pun. Nak memahami fenomena ekonomi politik antarabangsa kita perlu mendalami teori-teori ekonomi politik antarabangsa (‘international political economy’ – IPE), bukan teori konspirasi atau teori acah-acah Marxis yang tidak Marxis.

Perkara yang perlu kita fahami ialah konflik di antara 2 pendekatan utama dalam IPE iaitu perdagangan bebas (‘free trade’) dan dasar perlindungan atau proteksionisme (‘protectionism’). Mungkin ramai tidak tahu, kapitalis ini pun ada 2 jenis: kapitalis perdagangan bebas dan kapitalis proteksionis. Kapitalis Marxis pun ada.

Perdagangan bebas (laissez-faire) bermaksud perdagangan tanpa halangan. Halangan di sini merujuk kepada cukai / tarif ke atas barangan import dan juga halangan bukan tarif (‘non-tariff barrier’).

Jadi, dalam sistem perdagangan bebas, barangan import dan eksport tidak dikenakan cukai. Kelebihan perdagangan bebas ialah ia dapat meminimakan kos transaksi, secara langsung memaksimakan keuntungan para pedagang dan mengurangkan harga barang.

Kekurangan perdagangan bebas ialah ia tidak dapat melindungi kepentingan tempatan. Kalau orang ramai suka membeli barangan Jepun, maka keuntungan akan pergi ke Jepun. Kalau majikan suka mengupah pekerja Pakistan, maka gaji akan dibayar kepada orang Pakistan. Pasaran itu ‘kejam’.

Proteksionisme pula bertentangan dengan perdagangan bebas. Pelbagai halangan diwujudkan untuk meminimakan kemasukan barangan dan modal asing demi melindungi kepentingan tempatan, sama ada kepentingan industri atau pun kepentingan masyarakat (misalnya membendung pengaruh budaya negatif).

Dengan mengenakan tarif, barangan import menjadi lebih mahal dan ia menggalakkan orang membeli barangan tempatan. Kekurangan proteksionisme ialah ia mengehadkan pilihan pengguna. Kadang kala pengguna terpaksa membeli barangan tempatan yang berkualiti rendah kerana barangan asing terlalu mahal.

Orang selalu mengaitkan perdagangan bebas dengan negara maju. Sebenarnya tidak benar. Jepun dan Korea Selatan dilihat sebagai ‘maju’, namun mereka sangat proteksionis. Dasar proteksionisme membolehkan mereka membangunkan industri gergasi seperti Toyota dan Samsung.

Kita jarang mendengari nama industri dari negara yang mengamalkan perdagangan bebas (Hong Kong, Singapura, Switzerland) kerana mereka lebih banyak mengusahakan sektor perkhidmatan.

Walaupun ramai menganggap US ini sinonim kepada perdagangan bebas, sebenarnya US dapat menjadi ekonomi terbesar di dunia hanya kerana mengamalkan dasar proteksionis dari 1865 sehingga 1933.

Di US, tidak semua kapitalis menyokong perdagangan bebas, kerana ada kapitalis yang lebih beruntung jika pasaran US ditutup, dan ada kapitalis yang lebih beruntung jika US membuka pasarannya dan mereka dapat menerokai pasaran luar.

Baca: Elon Musk Dipilih Sebagai Penasihat Terbaru Amerika Selepas Mengkritik Perlantikan Donald Trump

Terdapat persaingan di antara puak ‘free trader’ dan ‘protectionist’ dan masing-masing melobi kerajaan US untuk mendirikan dasar yang menguntungkan mereka. Sektor perbankan dan kewangan (Wall Street) adalah pendukung pasaran bebas yang paling tegar.

Proteksionisme di US dipelopori oleh Alexander Hamilton, Menteri Kewangan US yang pertama. Hamilton melihat US berpotensi menjadi ‘great’, dan untuk menjadi “great” US perlu membangunkan industri yang dapat menandingi Britain, dan untuk membangunkan industri US perlu mengenakan cukai ke atas barangan asing untuk melindungi industri bayi (‘infant industry’) tempatan.

Hamilton menamakan pendekatannya sebagai ‘American System’ manakala perdagangan bebas sebagai ‘British System’. Namun, dasar Hamilton hanya menguntungkan negeri-negeri utara yang tidak bergantung kepada eksport.

Ia merugikan negeri-negeri selatan yang bergantung kepada eksport, terutamanya perdagangan kapas dengan British. Ketidakpuashatian negeri-negeri Selatan terhadap dasar Hamiltonian menjadi salah satu sebab Perang Saudara US semasa Abraham Lincoln (1861-1865), juga seorang penganut fahaman Hamilton.

Walaupun US telah meninggalkan fahaman Hamiltonian sejak 1930-an, kelembapan ekonomi sejak 2008 membuat sebahagian besar rakyat US mempersoalkan amalan dasar perdagangan bebas dan ingin mengembalikan proteksionisme.

Itu sebabnya tidak kira Trump, Clinton atau Sanders, tiada seorang pun berani menyokong TPPA yang merupakan agenda perdagangan bebas. Obama melihat TPPA sebagai strategi mendua kali gandakan eksport US, dan pada masa yang sama memecahkan dominasi ekonomi China ke atas Asia.

Setelah membakul sampahkan TPPA, Trump juga ingin menyemak semula NAFTA. Trump bukan sahaja ingin meminimakan persaingan asing, malah juga ingin menghukum pedagang dan pelabur US yang ingin melabur di luar. Trump mahu ‘America first’.

Bagi mereka yang anti sangat dengan kapitalisme atau imperialisme, jangan terlalu awal bergembira dengan penarikan diri US dari TPPA. Siapa yang paling untung dengan tindakan US tersebut, tidak lain China?

Tanpa persaingan US, China boleh memaksimakan kuasa ekonominya. Perdagangan Malaysia dengan China kini menyamai 12% dari jumlah perdagangan Malaysia secara keseluruhan, perdagangan Malaysia dengan US pula menyamai 10%.

Bayangkan kalau perdagangan kita dengan US dikurangkan menjadi 2%, kemungkinan besar China akan mengambil alih 8% tersebut dan menambah syernya ke 20%, menjadikan ia semakin mendominasi ekonomi kita.

Kebergantungan ekonomi kepada China (atau kepada mana-mana negara saja) adalah bahaya. Dari segi ekonomi, katakan ekonomi China runtuh, kita pun akan ikut meruntuh juga.

Dari segi keselamatan, China boleh mengguna dominasi ekonomi untuk memberi tekanan kepada negara yang tidak koperatif. Pada zaman Aquino, China telah pun ‘menghukum’ Filipina dengan mengehadkan import pisang dari Filipina, dan ia membuat Filipina serba salah kerana pisang merupakan salah satu sumber pendapatan utama Filipina, dan Filipina bergantung kepada pasaran China untuk eksport pisangnya.

Hanya selepas Duterte pergi mengampu China, baru larangan import pisang dimansuhkan. Itu pun ada yang mengangkat Duterte sebagai ‘wira’ melawan US.

Prinsip geo-ekonomi ini sama sahaja seperti geo-politik, iaitu imbangan kuasa. Sesebuah kuasa besar tidak akan bertindak sewenang-wenangnya jika terdapat sebuah lagi kuasa yang menjadi pengimbangnya.

Sayangnya, TPPA yang sepatutnya menjadi peluang keemasan bagi US mengimbangi dan mengurangkan pengaruh ekonomi China di Asia bakal menjadi sejarah. Para intelektual hipster boleh bantah TPPA, boleh bantah US, namun apa solusi yang telah ditawarkan untuk menyelamatkan kita dari hegemoni ekonomi China?

Bacaan lanjut:
America’s Protectionist Takeoff 1815-1914 (Michael Hudson, 2010)
The Rise and Fall of the American System (Songho Ha, 2009)
Kicking Away the Ladder: Development Strategy in Historical Perspective (Ha-Joon Chang, 2002)

Baca lagi: Kemenangan Trump Petanda Rakyat Amerika Ingin Kembali Mencari Jati Diri

Let's block ads! (Why?)





Sumber : VOCKET

P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.