VIDEO: Cerita Di Sebalik Rekod Kereta Produksi Terpantas Di Dunia 19 Tahun Lalu, McLaren F1 – 386 Km/j
[embedded content]
Kira-kira 20 tahun lalu, dunia supercar tidak semeriah sekarang dan hanya dibintangi berberapa nama seperti Ferrari, Lamborghini, dan McLaren. Zaman tersebut, masih lagi belum ada Bugatti Veyron, Pagani Zonda, mahupun Koenigsegg Agera. Walaupun tidak mempunyai kuasa sebuas hypercar zaman sekarang, supercar pada era tersebut dibina tanpa apa-apa bantuan pemanduan elektronik dan semuanya hadir dengan kotak gear manual, membuatkan mereka dari kalangan golongan yang hanya mahu memilikinya sebagai objek lambang kekayaan tidak membelinya, kerana tidak mampu untuk memandu dan menjinakkan kereta-kereta berkenaan.
Jika anda gilakan permainan video paling pada era itu, pastinya anda akan ingat permainan video Need For Speed II dan jentera paling pantas yang ditampilkan iaitu McLaren F1. Jentera ini bukan sahaja paling pantas dalam permainan video, malah diiktiraf sebagai kereta produksi terpantas di dunia pada era tersebut.
McLaren F1 muncul buat pertama kali dalam pasaran pada tahun 1992, dan untuk memperingati ulang tahun ke-25 supercar ini, McLaren telah menyiarkan video bagi menceritakan bagaimana rekod ‘kereta produksi paling pantas di dunia’ dicipta pada tahun 1998. F1 yang ditugaskan untuk memahat rekod dunia berkenaan dipandu oleh Andy Wallace, iaitu salah seorang pelumba McLaren F1 GTR dalam perlumbaan Le Mans 24 Jam.
Tidak seperti rekod kelajuan darat lain yang biasanya dilakukan di kawasan lapang seperti padang pasir atau dataran garam seperti di Salt Flats, rekod ini dibuat di litar Ehra-Lessien Proving Ground, Jerman, dan menggunakan tayar produksi bagi menggambarkan keadaan dunia nyata sebenar.
Menurut Wallace, McLaren menawarkan tugas ini kepadanya bagi mengetahui kelajuan sebenar yang boleh dicapai oleh supercar ini. Setelah persetujuan dicapai dalam satu perbincangan ringkas, seluruh pasukan bergegas ke Jerman untuk melakukannya, termasuk salah seorang pereka F1 – Gordon Murray.
Wallace juga turut menyatakan, tugas ini bukanlah semudah yang disangka dan beliau mungkin tidak akan melakukannya lagi jika diminta untuk membuatnya sekali lagi sekarang.
Untuk mencapai kelajuan maksimum pada laluan lurus, Wallace perlu terlebih dahulu untuk mengekalkan kelajuan 240 km/j pada selekoh tebing litar berkenaan. McLaren F1 mencapai had kelajuannya pada 293 km/j, dan bacaan purata yang diambil sebagai rekod rasmi adalah 386.4 km/j (240.1 batu sejam). Rekod ini terus dipegang oleh Wallace dan McLaren F1 selama 7 tahun, sebelum dipecahkan oleh Bugatti Veyron pada tahun 2005 dengan kelajuan 408.47 km/j (253.81 batu sejam).
McLaren F1 juga merupakan kereta pertama yang menampilkan casis monocoque yang dibina menggunakan material gentian-karbon. Selain itu, komponen lain kereta ini juga dibuat dari bahan-bahan ringan berteknologi tinggi seperti titanium, magnesium dan juga kevlar. Pembinaan supercar ini turut melibatkan emas, di mana material berkenaan digunakan sebagai penebat haba di ruang enjinnya.
Selain dikenali dengan rekaan pintu ‘rama-rama’, F1 turut mempunyai rekaan unik pada bahagian kabin, di mana kedudukan pemandu diletakkan di bahagian tengah, bersama dua tempat duduk penumpang pada bahagian belakang. Jentera ini dijana oleh enjin BMW V12 6.1 L NA berkuasa 618 hp, diletakkan pada bahagian tengah. Kuasa dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan manual bersama klac carbon tiga lapis dari AP.
GALERI: McLaren F1
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
Post a Comment