Macam mana doktor pakar Malaysia melawan doktor palsu kat Internet
Pseduosains bermaksud kepalsuan atas nama sains dan sebutan betul perkataan bagi pseduosains adalah ‘su.do.sains’ (silentkan huruf ‘P’).
Tahun lepas kita digemparkan dengan pendedahan pakar motivasi, ahli perniagaan dan artis terkenal beli gelaran PHD dari universiti palsu. Isu tu dapat perhatian seluruh Malaysia tapi isu penipuan doktor palsu dapat sambutan hambar je, lebih teruk bila dakwaan pseudosains berasaskan ubat dan rawatan mengarut ni sangat popular kat media sosial.
Perkara ni sangat serius sebab ramai orang kita dah kena ‘kencing’ dengan doktor palsu yang nak kaut keuntungan semata-mata.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pun main peranan lawan doktor palsu yang makin banyak ni melalui media sosial. Laman FB Medical Mythbuster Malaysia (MM3) adalah inisiatif KKM untuk bagi penerangan berkaitan hal-hal perubatan. Selain MM3, ada banyak lagi laman-laman FB yang jadi ‘cybertroopers’ untuk lawan doktor palsu, KKM siap buat mesyuarat tertutup dengan para admin FB yang bongkar penipuan doktor-doktor palsu ni semua.
Ini antara laman-laman FB doktor pakar yang wajib korang like
Ada banyak laman FB yang promote kaedah perubatan yang betul, ni antaranya;
- Medical Mythbusters Malaysia (M3)
- PseudoscieneWatch (PW)
- MO Frust
- Root of Science
- Medtweetmy
- The Dressar& Co.
- Dr Afiq Rahim
- Dr Suhazeli Abdullah
- Rakanmedik
Dalam bebanyak laman FB doktor pakar, laman PseudoscieneWatch (PW) paling ramai followers sebab cara diorang melawan doktor palsu paling ganas dan paling disukai netizen. Cuba korang check sendiri FB PW, tengok sendiri style diorang serang doktor penipu ni semua. Memang power!
Kenapa doktor pakar beriya-iya nak lawan ‘doktor’ palsu ni?
1. Untuk lawan tuduhan doktor palsu dan pertahankan institusi kedoktoran.
Sebelum seseorang bergelar doktor diorang wajib habiskan bertahun-tahun belajar kat universiti dan menjalani latihan praktikal. Tapi doktor palsu yang takde latar belakang bidang perubatan yang banyak cedok dari Google ni selamba je dakwa kaedah perubatan merepek diorang lebih berkesan daripada nasihat doktor pakar.
“Hospital kerajaan tak pernah ditutup, kami sedia membantu bila-bila masa sahaja. Kami tidak pernah mengganggu hak asasi pesakit. Saya pun tak terkira berapa ramai pesakit yang datang & mohon maaf kepada saya kerana tidak mengikut nasihat. Faham lah ye kenapa kami trauma, ribuan yang kami lihat memilih jalan yang akhirnya mereka sendiri sesali. Kami sedih lihat penderitaan mereka!” – Pakar Buah Pinggang, Dr Rafidah Abdullah. Dipetik dari laman FB beliau.
Laman-laman FB doktor pakar ni jugaklah yang aktif rungkaikan persoalan yang ditimbulkan oleh si ‘penunggang-penunggang agama’ yang berlidah lancang selamba tuduh perubatan moden tak selari dengan syarak. Sedangkan ramai ulama berpendapat perubatan moden menepati syariat kerana ia berlandaskan bukti dan kajian saintifik dan diorang tak manipulasi nas agama. Sebab tulah ulama sendiri gesa orang Islam rujuk doktor dan saintis dalam bab perubatan dan kesihatan, dan bukannya dari golongan pendakwah.
So kita orang awam, macam mana nak tahu doktor tu betul atau palsu? Macam mana nak tahu ubat-ubat kat pasaran tu legit?
Korang boleh semak nama-nama doktor yang bertauliah oleh KKM kat link ni. Ikut prosedur untuk pastikan ubat yang korang beli tu selamat dengan menonton video dari page FB Jom Kenal Ubat.
2. Melawan ubat dan produk kesihatan palsu
Prosedur kajian saintifik untuk buat ubat bukan senang bahkan ada kajian yang makan masa puluhan tahun. Tapi tu semua dibakul-sampahkan doktor palsu. Memang ‘naik minyak’ la doktor pakar bila dengar tuduhan gila macam tu.
Contoh isu vaksin, walaupun dah banyak pendedahan oleh pakar bahawa vaksin sangat penting dan kandungannya adalah selamat tapi tuduhan antivaksin kononnya suntikan vaksin tu agenda yahudi, sampai banyak mak bapak tak nak anak diorang disuntik vaksin. Sudahnya, anak yang tak berdosa jadi mangsa. Padahal negara Zionis Israel wajibkan rakyatnya disuntik vaksin.
3. Kaedah perubatan dan produk ubat palsu sangat merbahaya dan dah ada banyak kes maut!
‘Doktor-doktor’ palsu ni tak layak memakai gelaran doktor. Istilah yang sesuai untuk golongan macam ni adalah scammer, doktor palsu, doktor auta, atau lebih senang gelaran penipu adalah paling sesuai.
Produk dan kaedah rawatan kesihatan palsu ni sangat merbahaya sampai ada kes maut! Ada juga yang berani tipu boleh sembuhkan penyakit kronik macam kanser tapi sudahnya pesakit tu mati! So korang faham kan betapa seriusnya isu ni.
Beberapa produk, perubatan mengarut dan merbahaya yang ditentang doktor pakar.
- Gerakan antivaksin
- Air beralkali
- Ozon terapi
- Kelahiran bayi di rumah (Homebirth)/doula yang sesat
- Perubatan ganja
- Homeopati
- Merungkai mitos kaedah rawatan dan nasihat kesihatan yang merapu, contohnya rawatan cucuk jari untuk rawat strok.
Klik link ni untuk baca sendiri keluhan doktor pakar yang terpaksa berhadapan dengan pesakit yang dah ditipu oleh doktor palsu.
Perubatan kat hospital kerajaan ni boleh percaya ke?
Tahukah kita walaupun kos perubatan di hospital kerajaan sangat murah tapi ubat-ubatan yang disediakan hospital kerajaan sangat berkualiti tinggi. Walaupun hospital kerajaan selalu kena hentam kat media sosial tapi lot parking kereta kat hospital selalu penuh, tu tandanya rakyat Malaysia percaya dengan servis hospital, bahkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) jadi pilihan utama pasukan Obama waktu dia datang sini dua tahun lepas.
“Kehebatan HKL ini diiktiraf hatta ketika lawatan Presiden Obama. Pasukan perubatan Presiden Obama telah melakukan tinjauan berkali-kali selama berbulan-bulan sebelum lawatan Presiden Obama. Mereka mencari hospital terbaik yang boleh merawat Presiden mereka jika sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Segala aspek ditinjau terutamanya aspek kepakaran, availability multidisiplin, fasiliti dan kelengkapan dan sebagainya. Tinjauan turut dilakukan di hospital-hospital swasta yang berdekatan. Akhirnya mereka memilih HKL sebagai hospital yang akan merawat Presiden Obama. Keputusan mencerminkan kualiti dan standard HKL,” – Pakar Kecemasan dan Trauma, Dr Abdul Rahman Abdul Kadir. Dipetik dari FB beliau
3. Ramai yang percaya dengan doktor penipu dan membeli produk ubat-ubatan palsu
Industri perubatan bernilai trilion dollar, tak hairanlah ada banyak pihak yang nak ambil kesempatan tipu orang awam yang naif pasal perubatan.
Doktor palsu ni pulak sebenarnya businessman yang nak promote perniagaan diorang je, sedangkan doktor yang berkhidmat kat hospital kerajaan tu sekadar makan gaji bulanan je dan diorang tak buat bisnes untuk kaut keuntungan. Tapi dengan hanya bermodalkan screenshot testimoni pelanggan yang tak layak dijadikan sebagai bukti, doktor-doktor palsu ni berjaya menipu orang ramai.
Semua ubat wajib didaftarkan dengan KKM, klik link ni untuk tau macam mana nak semak senarai ubat yang berdaftar dan kat sini boleh rujuk senarai ubat yang dilarang penjualannya oleh KKM
“Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkenaan ubat-ubatan, anda boleh bertanya kepada mana-mana ahli farmasi di hospital, klinik-klinik kesihatan dan farmasi komuniti atau boleh menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722. Kami sedia membantu,” – Mohd Dziehan Mustapa. Dipetik dari FB medmythbusters.my
Industri Big Pharma sengaja buat penyakit supaya korang beli ubat?
Geng antivaksin paling suka dakwa wujudnya satu konspirasi oleh beberapa syarikat farmasi yang digelar sebagai Big Pharma yang didakwa mencipta wabak penyakit melalui beberapa syarikat farmasi dan diorang akan cipta ubat untuk wabak penyakit-penyakit tu semua bagi tujuan mengaut keuntungan melalui penjulan ubat-ubatan.
Antara tuduhan simplistik oleh golongan teori konspirasi Big Pharma;
- Sekumpulan elit bekerja secara sulit menipu manusia seluruh dunia dalam bidang perubatan.
- Majoriti orang tak tahu ‘kebenaran’ dan hanya segelintir kelompok kecil yang ada pengetahuan berkaitan teori konspirasi ni.
- Konspirasi ni disembunyikan oleh syarikat-syarikat besar yang berkomplot dengan Big Pharma sehingga teori konspirasi ni tak disebarluaskan media.
Sebelum korang percaya dengan dakwaan ni, korang rujuk link ni dan baca dari sudut ekonomi yang mematahkan tuduhan kononnya Big Pharma memonopoli pasaran vaksin. Secara logiknya, kalau vaksin ni adalah sumber duit untuk Big Pharma, diorang patut biarjelah kanak-kanak dapat penyakit, sebab dari situ Big Pharma ni boleh la buat duit dengan cipta macam-macam ubat lagi.
“Maka, andai teori konspirasi diguna pakai, boleh saya katakan — golongan penentang vaksin inilah sebenarnya agent big pharma, biar ramai-ramai sakit dan boleh jual ubat mahal-mahal, malah bergantung dengan ubat sepanjang hajat,” – Mastura MY. Dipetik dari FB beliau.
Sebab tulah banyak cendiakawan barat anggap isu Big Pharma ni sebenarnya hanyalah teori konspirasi murahan yang diperbesarkan oleh golongan perubatan alternatif yang turut disifatkan sebagai ‘intellectually lazy’ (‘kajian yang dangkal’).
“Ini adalah taktik “Fear Factor” yang digunakan oleh scammer kesihatan untuk mengalih perhatian kepada produk pseudosains mereka dan juga menakutkan pengguna agar mempercayai helah mereka,” – Dr Afiq Rahim. Dipetik dari FB beliau.
Malangnya, alasan teori konspirasi ni senang dihadam, dipercayai dan mudah disebarkan kepada orang ramai.
Metod laman FB doktor pakar lawan dakwaan mengarut doktor palsu
Ada banyak cara page-page FB doktor pakar ni lawan doktor palsu, antaranya;
1. Lawan dengan hujah saintifik
Dalam al-Quran pun ada ayat bahawa kebenaran akan menghapuskan kebatilan. Doktor palsu mana reti lawan hujah saintifik yang mantap. Bak kata lagenda pengulas sukan negara, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, “Ahhh…Tak terjawab di situ!”
2, Guna bahasa santai, sarkastik, dan ‘kasar’.
Setiap laman FB doktor pakar ada style penulisan masing-masing. Penulisan Medical Mythbuster Malaysia (MM3) dan Root of Science prefer guna bahasa yang lebih formal tapi PW ni pulak lebih kasar dan sarkastik, sebab tulah PW ada paling ramai haters dari golongan pro-doktor palsu.
Dengan pendekatan PW yang menulis dengan bahasa yang agak kasar ni, diorang berjaya dapat paling banyak followers FB berbanding page-page FB lain dan banyak posting FB diorang ditularkan netizen termasuk dari para doktor pakar lain.
3. Galakkan orang ramai buat aduan pada pihak berkuasa
Laman-laman FB ni semua takde autoriti untuk ambil tindakan undang-undang terhadap doktor-doktor palsu tu semua, diorang sekadar boleh mendedahkan penipuan doktor palsu sehabis boleh. Cara paling berkesan untuk kita tolong laman-laman FB n adalah dengan buat aduan pada pihak berkuasa yang betul. Jangan mengadu kat pejabat JPJ pulak ye.
Cabaran yang terpaksa dihadapi melawan ‘doktor’ palsu
1. Bantah media arus perdana yang menyiarkan kaedah perubatan dan doktor palsu
Salah satu cara media meraih pendapatan adalah melalui iklan, so bila ada pihak yang sanggup bayar harga yang sesuai untuk slot iklan dalam media diorang, maka keluarkan ‘laporan berita semasa’ yang sebenarnya hanylaah sebuah bentuk iklan yang berbayar.
PW paling banyak bongkar media tempatan yang suka promote pseudosains ni. Korang boleh rujuk kat page diorang, berlambak dah media yang kena ‘tiaw’ dengan PW sebab media-media ni promote doktor palsu serta tip-tip kesihatan yang tak berasas.
2. Kena ugut, FB kena report dan di banned
PW adalah contoh paling baik untuk korang faham cabaran yang terpaksa laman FB doktor hadapi. Ramai orang tanya kenapa PW guna nama samaran untuk serang doktor palsu? Sebab cara macam ni lebih berkesan untuk diorang mengelak dari ancaman orang yang dengki. Menurut PW, diorang bukan kisah pun bila geng pro-doktor palsu ni ‘butthurt’ dengan diorang.
- Pernah diugut bunuh, santau, dilucut jawatan, disaman, dipindahkan tempat bertugas, bahkan ada orang atasan pun tidak bersetuju dengan pembongkaran PW!
- FB PW kena banned oleh Facebook akibat direport oleh golongan doktor palsu, tapi PW berjaya bangkit semula. Yeay!
Mungkin ini cara paling berkesan untuk sedarkan pengguna media sosial daripada kena tipu dengan doktor palsu
Media sosial dah jadi platform kegemaran orang sekarang. Sebab tulah doktor pakar terpaksa gunakan media sosial untuk bongkar penipuan atas nama sains ni. Hasilnya sangat memberangsangkan bila laman-laman FB doktor pakar kat FB mula dapat ratusan ribu followers.
Semenjak banyak siri pendedahan yang tip top dari laman FB ni, orang ramai makin berhati-hati dengan fenomena doktor palsu ni. Orang awam termasuk selebriti pun dah tarik balik sokongan terhadap kaedah perubatan mengarut.
Peranan FB macam PW sangat berkesan. Diorang dah berjaya menelanjangkan banyak doktor palsu termasuklah organisasi yang menjual sijil kedoktoran penipu yang aktif buat konvokesyen syok sendiri kat Malaysia. Tapi dalam masa sama, kita kena respek jugak kat semua laman FB doktor pakar yang korbankan masa diorang tak kira siang atau malam dok depan laptop semata-mata nak banteras kita dari ditipu doktor palsu. Tabik spring kat diorang.
Sebagai orang awam kita patut sokong 100% usaha doktor-doktor pakar yang gigih habiskan masa diorang untuk mendidik orang ramai dari terjebak dengan penipuan doktor palsu. Like FB diorang dah teruskan share info-info perubatan yang betul supaya doktor-doktor palsu tu semua berjaya dihapuskan.
Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2lxmZFO
a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>
Post a Comment