Filem Ini Membawa ‘Jiwa’ Sihir Dan Rasuk Yang Memaparkan Hubungan Manusia Dan Jin
Apabila bersembang perihal filem seram, maka dengan pantas memori akan mengingati kembali beberapa babak dari filem-filem seram yang popular.
Siapa boleh lupa babak muntah dalam The Exorcist, Samara melangkah keluar dari TV, atau babak lif di dalam Dark Water ataupun babak Suzanna memakan satay di dalam Sundel Bolong.
Namun, pernah terfikir akan filem seram dari Turki?
Untuk minggu ini, aku memilih untuk menulis perihal filem arahan Hasan Karacadag berjudul Dabbe: Cin Carpmasi (DCC) atau Curse of Jinn yang dikeluarkan pada 2013. Sinopsis ringkas, ketika majlis perkahwinan, seorang gadis bernama Kubra telah dirasuk oleh sesuatu.
Seorang psikiatris yang juga rakan lama Kubra iaitu Dr Ebru telah datang untuk membantu. Dalam masa yang sama, Ebru dibantu oleh seorang pengamal perubatan Islam bernama Faruk. Ketika semuanya hampir selesai dan kelihatan lancar, mereka sebenarnya merungkai satu misteri yang lebih gelap dari apa yang disangkakan.
Sebelum aku memanjangkan nota ini, aku ingin ulang soalan yang aku pernah tanyakan kepada orang-orang tua dahulu (malah perkara ini juga aku bangkitkan dalam novel tulisan aku) iaitu, kenapa bukan anjing?
Maksud aku begini. Dari satu aspek mentaliti, anjing dilihat terlalu hina dan najis. Walau anjing dibenarkan dipelihara oleh agama untuk menjaga kebun atau ladang, tapi kerana persepsi itu anjing tidak digunakan.
Maka orang dahulu lebih gemar menyerahkan tugas itu pada ‘hantu raya’ yang dianggap lebih ‘halal’ untuk menjaga rumah, kebun dan melindungi keluarga. Apabila hantu raya itu mula mewarnai salasilah, adakah ia masih salah hantu raya?
Dabbe: Cin Carpmasi (DCC) bagi aku ialah contoh sebuah filem yang berkata perihal hubungan ini. Begini. Bagi aku, filem ini terbahagi pada dua fasa.
Pertamanya, hubungan manusia dan logik. Di dalam DCC, Dr Ebru mewakili manusia yang kontang chemistry hubungan dengan alam kerana dalam filem ini dapat dilihat sebolehnya dia cuba mencari bukti saintifik dan logika pada setiap yang dianggap paranormal dan sering mempersoalkan setiap yang berlaku.
Ia amat kontradik dengan Faruk selaku perawat paranormal yang jenuh menepis tuduhan berdasarkan logik Dr Ebru. Sebagai penonton, aku yakin pasti semua akan menyokong Faruk yang ‘percaya’ berbanding Dr Ebru yang kurang percaya. Konflik ini bagi aku tiada apa yang menarik selain klise dan telah banyak kali diulang dalam filem termasuk dalam filem tempatan.
Namun memasuki fasa kedua iaitu hubungan manusia dan jin, baru aku rasakan filem ini sebenarnya bermula. Selaku pengarah aku rasakan Hasan Karacadag cuba memberikan gambaran agar manusia faham yang tangan jin tak akan pernah kotor untuk membunuh.
Mudah bicara, jin bernama Sare yang merasuk gadis bernama Kubra tak akan sesekali didakwa di mahkamah dan sihir pula divisualkan sebagai jambatan turun temurun paling relevan untuk manusia dan jin berhubung.
Seronoknya mengenai DCC, setiap inci dan detail sihir itu dipaparkan secara jelas. (Mungkin cara sihir yang dipaparkan dekat dengan budaya masyarakat Turki untuk menimbulkan mood ngerinya. Kerana itu, aku memuji filem Nasi Tangas (2014) yang bagi aku antara filem yang rajin dalam paparan sihirnya).
Oleh kerana DCC membawa ‘jiwa’ sihir dan rasuk, tumpuan filem ini tidak kepada siapa yang dirasuk, tetapi lebih kepada alam rasukan dan gangguan tanpa memikirkan sangat perihal manusia.
Segala apa yang jin mampu lakukan ditonjolkan dengan jelas dan menyeret kita sebagai penonton berfikir cara detektif, apa sebenarnya yang jin mahu?
Sebab itu aku gemar pada sisi filem ini yang memberi bayangan jelas, siapa yang kita patut takutkan sebenarnya kerana jin hanya mengikut arahan dan tidak pura-pura. Mungkin kerana itu perkataan munafik dan hipokrit bersesuaian untuk manusia.
Namun, masih ada beberapa aspek teknikaliti dan keraguan di sana sini (apatah lagi jika sudah biasa dengan filem bertema exorcism dan sihir).
Mungkin kerana ia berkonsepkan found footage, ada beberapa kekurangan dari segi kemasan yang menimbulkan syak dan waham mengenai realiti sebuah found footage.
Tetapi, aku memaafkan kelemahan-kelemahan itu atas kekuatan cara seramnya yang tidak memaksa untuk seram, tetapi memberitahu bagaimana untuk seram.
Cumanya jika tidak faham bagaimana seram cara DCC dan gagal merasai hubungan yang dibina, maka ia satu filem yang tak akan sesekali meninggalkan kesan.
Ringkasnya, mungkin ini bukan filem yang hebat secara literalnya. Tetapi untuk faham hubungan kita dan alam lain, ini boleh menjadi filem yang amat baik dan adegan ular di dalam keranda itu sememangnya antara pengalaman ngeri seorang penonton seperti aku.
Oh ya. Jika soalannya di mana aku menonton filem ini, anda boleh tonton versi penuh di laman YouTube. Mungkin selepas ini anda akan mula memasukkan filem Turki di dalam kamus filem seram anda selepas menontonnya.
Skor filem: 8/10
Sumber : VOCKET
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
Post a Comment