'Macam Mana Nak Kahwin Dua Kalau Sekarang Dah Tak Berlaku Adil?!' - Confessor Terkedu Ditengking Oleh Janda
Kata kebanyakan orang, hargai apa yang telah dimiliki, jangan dah hilang baru nak menangis tak berhenti. Namun lelaki ini secara tidak sedar, dirinya terperangkap dalam permainannya sendiri. Mulanya berkawan, lama-lama terus berkenan. Hendak dijadikan isteri kedua, namun belum ada keberanian. Belum sempat nak melamar, janda itu sudah menunjukkan belangnya. Kini dia dilema sama ada mahu meneruskan atau tidak.
Kasihan si isteri di rumah, menjadi tunggul dan menjadi orang bodoh kerana menyangka lelaki yang juga bapa kepada anaknya itu suci dan tidak mengkhianati kepercayaannya. Kini dia meminta pandangan orang ramai. Jika isterinya tahu, pastinya dia ditinggalkan dan ketika itu mungkin dia akan mengenal erti penyesalan.
SAYA sudah berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan anak. Sepanjang perkahwinan ini, saya tidak pernah bergaduh dengan isteri dan memang semuanya okay walaupun saya ini bukan berpendapatan besar pun dan hanya bekerja biasa-biasa sahaja dan sebelum ini ada buat perniagaan sendiri. Tetapi dia faham dengan keadaan saya macam mana. Kalau setakat bergaduh kecil itu, adalah. Tetapi dalam 15-30 minit, kami berdamai semula.
Dalam tempoh itu, saya ada mengenali seorang janda ini. Usia perkenalan kami sudah hampir dua tahun. Awal perkenalan itu, memang tiada niat nak sampai ke hati dan perasaan. Hanya sekadar keluar dan berjumpa. Benda tak dirancang. Bila dah keluar dan berjumpa, hari ke hari, bulan ke bulan, hati dan perasaan pun memainkan peranannya. Kami sudah mula bersayang dan meluahkan rasa rindu.
Dari awal saya mengenalinya, dia memang tidak bekerja sebab dia terpaksa menjaga ibunya yang sakit. Lama kelamaan terdetik di hati saya untuk menjadikan dia sebagai isteri kedua sebab bila dah sayang, perasaan itu sudah tidak dapat berpatah balik. Saya mula menyimpan duit dan saya juga ada berjani dengan dia bahawa saya akan beri duit padanya setiap bulan dalam jumlah RM400-RM500.
Masa itu saya berniaga dan kerja sendiri saja dan perniagaan pada waktu itu memang okay lagi. Duit pun selalu diberi kepada dia setiap bulan. Kalau waktu raya, saya beri lebih sikit dalam RM700-RM800. Top up dan makan kalau masa kami keluar bersama, memang sayalah yang sentiasa belanja dia. Cuma beli baju dan lain-lain itu kadang-kadang sajalah, itupun tengok bajet sebab bila dah beri duit pada dia, saya tak boleh nak berbelanja lebih.
Nak dijadikan cerita, biasalah kan perniagaan mesti ada naik dan turun. Ditakdirkan perniagaan saya semakin hari semakin perlahan. Isteri saya pun bekerja, okaylah sikit tetapi saya tidak mengambil duitnya. Gaji dia, digunakan oleh dia sendiri. Cuma adakalanya dia belanja saya makan dan beli baju sehelai dua. Pernah juga dia bertanya bagaimana dengan perniagaan saya, okay atau tidak. Malah dia ada hulurkan sedikit wang untuk dibuat modal pusing.
Tetapi semakin hari perniagaan saya semakin merundum. Saya pun kurang beri duit pada bakal isteri kedua. Jadi saya pun carikan dia kerja sebab tidak mahu dia pula yang tertekan nanti. Alhamdulillah, dia dapat kerja, Tetapi jika saya mampu, saya hulur juga pada dia.
Kadang-kadang saya masak dan hantar makanan untuk dia di tempat kerja. Saya beli makanan dan hantar pada dia. Dia ada juga minta duit lebih. Saya beritahu yang saya tiada lagi wang untuk diberikan kepadanya. Lalu dia buat muka masam dan nak marah saya. Tapi saya pujuk dia sikit, okaylah selepas itu.
Tiga empat bulan saya bertahan dan bila perniagaan semakin merundum teruk, saya dah tak boleh nak buat apa lagi. Jadi saya ambil keputusan untuk tutup perniagaan saya dan cari kerja. Alhamdulillah saya ada rezeki bekerja dalam bidang saya seperti perniagaan yang jalankan sebelum ini. Gaji pun Alhamdulillah walaupun tidaklah sebesar mana.
Si dia ini pula bila dapat tahu saya kerja, mungkin dia fikir masa saya dengan dia sudah tidak banyak bersama seperti dulu. Dulu saya banyak masa terluang sebab kerja sendiri. Sekarang bila dah bekerja dengan orang, faham-fahamlah. Bekerja di waktu pejabat pula, tapi saya cuba juga balik kerja untuk singgah di tempat kerja bakal isteri kedua dan pergi makan bersama.
Tetapi dalam tempoh saya sibuk bekerja, mungkin dia risau sebab saya dah tak banyak berjumpa dengan dia sebelum ini. Lalu dia pun mulalah mencari ganti. Adalah seorang lelaki itu lebih tua dari dia. Saya menghubungi dia, katanya lelaki itu adalah kenalan kawan kakak dia, berstatus duda kalau tak silap. Orangnya kerja dengan kerajaan dan berduit juga.
Nak dijadikan cerita, dalam ketika dia asyik melayani WhatsApp, saya dapat trace dan akhirnya dia terkantoi. Bergaduh besar juga kami pada masa itu. Saya marah-marah dia dan dia tukar nombor lain dan berjanji tidak akan melayan lagi lelaki itu.
Bulan pertama bekerja, gaji saya tak penuh lagi, jadi saya beri dia RM200 dan kata;
"Untuk bulan ini, ini saja yang saya boleh bagi."
Dia okay lagi. Kemudian ada rezeki sikit, saya beri lagi pada dia RM100. Gaji bulan kedua, saya dapat gaji penuh. Saya kira-kira semua, tolak itu ini, saya bajet untuk dia RM400 saja. Sebenarnya nak beri RM500, tetapi saya belanja RM100 untuk top up dan nak keluar makan atau apa-apa nanti.
Dia mengamuk dan marah saya sebab dia ada hutang yang perlu dibayar, nak beli itu dan ini tak cukup. Saya dah beritahu elok-elok yang saya hanya mampu beri sebanyak itu sahaja. Dia marah saya lagi, macam-macam dia kata dan dia tidak puas hati.
"Macam mana nak kahwin dua kalau sekarang dah tak berlaku adil?!"
Masalahnya duit gaji saya itu, saya memang dah kira. Dah kira untuk belanja rumah, bayar hutang, loan, belanja peribadi dan untuk dia. Untuk isteri sendiri saya tak bagi pun, cuma saya beri dia duit belanja hari-hari untuk pergi kerja dan beli barang-barang dapur rumah. Tetapi dia tidak faham juga dan kata saya menipu, mungkir janji.
Saya dah jelaskan habis pada dia. Siap hantar gambar gaji masuk dan buku kira-kira belanja saya. Tetapi dia tetap tidak puas hati juga.
"Saya tak boleh nak buat awak isteri kalau perangai awak begini. Awak cari lain dan jaga diri," itu kata-kata terakhir saya pada dia.
Jadi, saya nak minta pandangan rakan-rakan di Kisah Rumah Tangga ini. Saya masih sayangkan dia, banyak kenangan kami dan dia pun baik dan selalu masak untuk saya, selalu mengambil berat tentang saya, romantik, cantik tetapi masalah satu itu saja. Boleh tak rakan-rakan bagi pandangan, apa yang saya perlu buat? Nak teruskan atau berhenti saja?
Sumber: Kisah Rumah Tangga via The Reporter
✍ Sumber Pautan : ☕ Sehinggit Media News
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2xujkgF
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment