Miliki raut wajah jelita dan tiket bergelar anak Tan Sri Vincent Tan bukan bermakna Chryseis Tan Sheik Ling hidup bersenang-lenang tanpa usaha
KUALA LUMPUR : Miliki raut wajah jelita dan kehidupan dikelilingi kemewahan sebagai anak konglomerat terbesar negara, Tan Sri Vincent Tan, bukan tiket bersenang-lenang bagi Chryseis Tan Sheik Ling, 29.
Sebaliknya, diajar menjadi wanita profesional, justeru selayaknya anak perempuan kedua Vincent ini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif, Berjaya Times Square dan menjawat beberapa jawatan dalam Kumpulan Berjaya, milik keluarganya.
Justeru, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Jiwa Chyrseis juga menjurus pada bidang perniagaan apabila kini sudah memiliki rangkaian kafe jus, selain mengendalikan aplikasi fesyen, Goxip.
Dengan pelbagai kejayaannya, Chyrseis tersenarai antara 300 figura gred ‘A’, di majalah Tatler Malaysia, bijak merencana kerjaya dan menjadi antara tonggak memperluaskan empayar bapanya.
Chyrseis berkata, jawatan yang disandang tidak diperoleh semudah itu tanpa berusaha dan selain kemampuan mengendalikan selok-belok dunia perniagaan.
Katanya, beliau belajar menguruskan pelbagai jenis perniagaan dan memegang beberapa jawatan menjadikannya lebih matang.
“Kita kena yakin dan berani untuk menceburi pelbagai bidang serta berikan komitmen sepenuhnya untuk mengelola syarikat.
“Pada mulanya saya terbabit dalam pengurusan pusat beli-belah Berjaya Times Square sebagai pengarah syarikat.
“Saya dibantu oleh Koh Huey Min selaku mentor yang cukup berpengalaman,” kata Chyrseis yang menjadikan bapanya yang tersenarai pada kedudukan ke-20 dalam Forbes sebagai idolanya.
Chryseis turut berperanan dalam pengurusan struktur operasi perlu sempurna untuk memastikan kelancaran perniagaan di samping memuaskan pelbagai pihak khususnya pelanggan.
“Saya melihat setiap hari sebagai peluang untuk belajar perkara baharu. Tahun lalu saya diberi tanggungjawab mengetuai sebuah projek pembukaan hotel premium di Kyoto, Jepun. Ia sangat mencabar, tetapi kami sepasukan berjaya mengendalikan dengan baik.
“Terus terang saya katakan hampir setiap hari berdepan dengan cabaran khususnya untuk menyelesaikan masalah syarikat,” katanya.
Chryseis bertuah kerana dikelilingi pekerja yang bukan saja komited tetapi aktif melontarkan pandangan bernas.
“Dalam proses membentuk diri, saya tidak katakan saya terbaik atau keputusan itu sentiasa di tangan sendiri sebagai ketua, tetapi kami bekerja di dalam kumpulan,” katanya.
“Kami mempunyai kumpulan pekerja yang kukuh dan berkemahiran tinggi yang kesemuanya begitu,” katanya ketika ditemui di kafe miliknya, Greyhound, Bukit Bintang, baru-baru ini.
Melihat kepada perkembangan trend terhadap kemajuan teknologi, Chryseis berkongsi mengenai pelaburannya terhadap aplikasi fesyen, Goxip yang mendapat sambutan cukup memberangsangkan.
“Aplikasi itu dilancarkan pada tahun lalu di Hong Kong dan ia mendapat perhatian ramai peminat fesyen yang boleh mengakses dengan mudah untuk mencari pakaian atau aksesori.
“Penggunaan hashtag pakaian hari ini (#OOTD) yang sering kita gunakan membolehkan anda miliki pakaian persis selebriti pada harga mampu milik.
“Aplikasi berfungsi seperti Instagram, iaitu anda turut mempunyai akaun peribadi dan mencari apa saja fesyen idaman yang digemari,” katanya.
Sebelum menceburi bidang perniagaan, beliau sudah menguasai ilmu perniagaan dengan mengikuti pengajian dalam bidang akaun dan kewangan, di London selama setahun.
Kemudian meneruskan pengajian di Beijing, China bagi menguasai bahasa Mandarin dan menyelami gaya pasaran ekonomi di sana.
Sekembalinya beliau ke tanah air selepas beberapa tahun menuntut pengajian di luar negara dengan ilmu penuh di dada, Chryseis mula mengorak langkah dalam dunia perniagaan.
Kini, beliau boleh menghela nafas lega, beliau mahu meneroka keindahan dunia dengan melancong. Sungguhpun begitu, keutamaannya adalah memastikan perniagaan yang dijalankan berjalan lancar.
“Kemudahan teknologi membenarkan saya kerja dari luar tanpa berada di pejabat sepanjang masa. Berurusan menerusi e-mel, panggilan video serta perkhidmatan pesanan ringkas menjadi medium jika saya berada di luar kawasan,” katanya.
Profil: Chryseis Tan
Umur: 29
Pendidikan: Ijazah bidang seni liberal kajian antarabangsa di Universiti Waseda, Tokyo
– Mengikuti program pertukaran pelajar akaun dan kewangan di London
Pengiktirafan: Antara 300 figura Gred A, majalah Tatler Malaysia
Jawatan:Ketua Pegawai Eksekutif pusat beli-belah Berjaya Times Square
-Pengarah Eksekutif Berjaya Land Berhad
-Pengarah Eksekutif Berjaya Assets Berhad
-Pengarah Berjaya Assets Food Sdn Bhd
-Pengarah dan Pengerusi Natural Avenue Sdn Bhd
-Pengarah dan Pemegang Amanah Primadona Solutions Sdn Bhd
Sumber: Bharian
Sumber Miliki raut wajah jelita dan tiket bergelar anak Tan Sri Vincent Tan bukan bermakna Chryseis Tan Sheik Ling hidup bersenang-lenang tanpa usaha
✍ Sumber Pautan : ☕ Trending Now
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2xAjFit
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment