Pandang Pertama Samsung Galaxy J7+ : Peranti Dwi Kamera Samsung Pada Harga Lebih Mampu Milik
Dengan harga RM3999, Samsung Galaxy Note 8 adalah di luar jangkauan kebanyakan pengguna di Malaysia. Harga premium untuk peranti premium bukanlah perkara baru tetapi hanya sejak dua tahun kebelakangan ini ia melangkaui RM3000 sebuah.
Bagi yang masih inginkan sebuah peranti Samsung dengan sistem dwi-kamera, Samsung Galaxy J7+ juga ditawarkan di Malaysia pada harga hanya RM 1599. Adakah ia masih berbaloi untuk dimiliki? Berikut ialah pandang pertama kami untuk peranti dwi-kamera Samsung di dunia.
Spesifikasi
Samsung Galaxy J7+ | |
---|---|
Skrin | 5.5″ SAMOLED FHD (401 PPI) |
Pemproses | MediaTek Helio P20 |
CPU | 4 x 2.39 GHz Cortex A53 4 x 1.6 9GHz Cortex A53 |
Cip Grafik | Mali-T880 MP2 |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB) |
Kamera Utama | 12+5 Megapixel f/1.7+f/1.9, , PDAF |
Kamera Depan | 16 Megapixel f/1.9, FLash |
Bateri | 300 mAh (Tiada pengecasan pantas) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
Jalur LTE | Cat 6 |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Harga Jualan | RM 1599 |
Samsung Galaxy J7+ ialah sebuah peranti kelas pertengahan yang dilengkapi skrin 5.5″ SAMOLED HD penuh. Tiada sokongan resolusi QHD ataupun HDR disini. Apa yang anda dapat ialah skrin yang sama seperti yang ditemui sebelum ini pada Galaxy A7.
Pemproses MediaTek Helio P20 digunakan dan bukannya pemproses dari keluarga Exynos. Ia sebuah pemproses lapan teras dengan empat teras pada kelajuan 2.39 GHz dan empat lagi teras pada kelajuan 1.69 GHz. Memori sebesar 4GB dipadankan pula dengan storan sebesar 32GB dengan sokongan kad MikroSD sehingga 256GB.
Sistem dwi kamera yang digunakan ialah gabungan sensor 13+5 Megapixel f/1.7+f/1.9 manakala kamera selfie pula sebesar 16-Megapixel lengkap dengan sokongan flash. Jelas sekali Galaxy J7+ ialah peranti yang mensasarkan peminat selfie dan cuba bersaing dengan Oppo dan Vivo yang kini merajai kategori niche ini.
Sistem dwi-kamera yang digunakan adalah untuk menghasilkan kesah bokeh Live Focus. Tiada sokongan zoom optikal ataupun OIS disertakan seperti pada Galaxy Note 8. Pada waktu yang sama kedua-dua kamera hanya mampu merakam video pada tetapan maksimum 1080P 30FPS. Had ini ditetapkan oleh perisian keran Helio P20 ialah pemproses yang menyokong rakaman 4K 30FPS.
Bateri sebesar 3000 mAh disertakan tetapi aneh sekali tidak menyokong sebarang sistem pengecasan pantas. Port pengecasan juga masih lagi MikroUSB. Ini sedikit sebanyak meletakkan Galaxy J7+ di belakang Oppo yang memberikan sokongan pengecasan VOOC pada peranti selfie kelas pertengahan mereka. Sekali lagi tindakan Samsung ini agak aneh kerana Helio P20 menyokong pengecasan pantas PumpExpress 2.0 MediaTek.
Beberapa lagi fungsi yang tidak disertakan ialah kalis air IP68, NFC dan sokongan Samsung Pay. Kesemua ini dikorbankan bagi membolehkan Galaxy J7+ dijual pada harga yang lebih mampu milik RM1599.
Bagi pelanggan yang inginkan fungsi-fungsi ini, mereka boleh menemuinya pada Samsung Galaxy A5 dan Galaxy A7 2017 yang dijual sebagai peranti kelas peranti kelas pertengahan premium Samsung. Ini mungkin keputusan perniagaan supaya Galaxy J7+ tidak mengganggu jualan peranti Galaxy A 2017.
Rekabentuk
Rekaan Galaxy J7+ adalah lebih tradisional tanpa skrin dwi-lengkung atau panel berkaca. Dari hadapan ia menyamai rekaan Galaxy A dengan skrin 2.5D yang dibulatkan pada bahagian sisi. Pada bahagian dahi terdapat kamera selfie, flash dan sensor proximity.
Pada bahagian dahu terletak tiga butang navigasi kapasitif. Butang home fizikal dihimpit dengan butang back pada sebelah kanan dan butang multi tasking pada sebelah kiri, Sebuah pengimbas cap jari terbina pada butang home. Terdapat sokongan lampu pada butang multi tasking dan back bagi memudahkan navigasi pada waktu malam.
Bergerak ke sisi kanan terdapat sebuah butang kuasa dan pembesar suara yang menghala ke sisi. Rekaan yang agak aneh ini sama seperti yang ditemui pada Galaxy A 2017. Sisi kiri pula terdapat dua butang kawalan suara serta talam SIM. Talam SIM yang digunakan perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan. Dua SIM bersaiz nano disokong bersama juga dengan satu kad mikroSD. Talam plastik yang digunakan adalah dari jenis hibrid. Akhir sekali sebuah bicu audio 3.5mm dan port pengecasan mikroUSB terletak pada bahagian bawah.
Panel belakang yang diperbuat dari logam mempunyai kemasan yang pusam. Kotoran dan cap jari tidak mudah melekat pada permukaan ini. Galaxy J7+ bukanlah peranti yang licin dan pengguna tidak perlu risau ia mudah terlepas dari pegangan.
Rekaan antena pada bahagian atas dan bawah mengingatkan kami kepada rekaan iPhone 6. Tidak seperti iPhone 6, tiada bonjol kamera pada Galaxyt J7+. Dwi-kamera yang digunakan terletak di dalam peranti tanpa sebaran bonjolan yang menyukarkan peranti diletakkan rata di atas permukaan meja.
Sisi bulat dan permukaan adalah kombinasi yang baik untuk membuatkan peranti selesa dipegang walaupun hanya dengan sebelah tangan. Peranti tidak mencengkam telapak tangan walaupun dipegang dengan lama.
Antaramuka +
Android 7.1.1 digunakan dengan pelancar Samsung Experience. Tiada butang khas untuk membuka talam aplikasi. Sebaliknya tatalan dari bawah ke atas perlu dilakukan. Ini selari dengan rekaan pada S8 dan juga Pixel Launcher. Tatalan ke kiri akan memaparkan skrin khas untuk Bixby. Ia menggantikan fungsi Briefings yang sebelum ini ditemui pada kesemua peranti Samsung. Samsung Galaxy j7+ ialah peranti keempat yang menerima sokongan Bixby setakat ini walaupun tidak dilengkapi butang pelancar khas.
Antaramuka adalah kemas dan tiada perbezaan ketara dengan yang dilihat pada S8 dan Note 8. Kami hanya menggunakan peranti ini selama beberapa minit tetapi tidak menemui sebarang sela masa. Perlu kami nyatakan dengan Android 71.1., Galaxy J7+ sebenarnya menggunakan sistem operasi yang lebih terkini berbanding Galaxy S8 yang masih menggunakan Android 7.0. Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang disertakan oleh Samsung pada peranti ini.
Multi Window – Menggunakan sistem multi-window natif Android Nougat bagi melancarkan dua aplikasi serentak.
Bixby – Pembantu maya Bixby disokong walaupun tanpa butang khas seperti yang wujud pada Galaxy S8.
Always One Display – Paparan notifikasi dan waktu walaupun dengan skrin terkunci.
One Handed Mode – Mengecilkan saiz paparan skrin. Ini boleh diaktifkan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau menatal skrin dari bawah ke atas dengan pantas.
Theme – Mengubah tema antaramuka sekiranya tema yang disediakan tidak memenuhi citarasa pengguna.
Device Maintenance – Aplikasi yang mengoptimasikan peranti serta program anti virus.
Kesimpulan
Samsung Galaxy J7+ ialah peranti alternatif kepada bagi mereka yang tidak mahu berbelanja lebih untuk sebuah Galaxy Note 8. Ia masih dilengkapi sistem dwi-kamera tetapi tanpa sokongan zoom optikal dan OIS. Dengan harga lebih 50% lebih murah tidak mengejutkan fungsi lebih mewah seperti NFC, Samsung Pay, kalis air, stylus dan pengecasan pantas tidak disertakan.
Tetapi peranti masih selesa dipegang kerana rekaannya yang lebih tradisional. Tiada skrin lengkung dan tubuh kaca membuatkan peranti lebih tahan lasak sekiranya terjatuh. Ini adalah dari pengalaman peribadi kami sendiri. Spesifikasi kelas pertengahan MediaTek Helio P20 ini masih boleh menjalankan aplikasi tanpa masalah. Sela masa tidak kami sedari semasa mencuba Galaxy J7+ di reruai Samsung.
Di pasaran sekarang semakin banyak peranti dwi-kamera dengan pemproses kelas pertengahan. Dengan harga jualan RM1599 ia adalah harga yang agak kompetitif. Kami akan cuba mengulas Samsung Galaxy J7+ di masa hadapan sekiranya diberikan oleh pihak Samsung. Teruskan bersama Amanz untuk lebih banyak berita mengenai peranti pintar terkini di pasaran.
✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2xsSDcB
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment