Seni menjebak tekukur di ‘kota konkrit’
KUALA LUMPUR, 23 Okt — Berbekalkan ‘senjata’ jebak, racik serta denak, maka bermulalah misi si pemikat burung untuk mengadu nasib menangkap tekukur dan merbuk.
Lokasinya bukan dipinggir hutan seperti lazim menjadi tumpuan mereka yang menggemari hobi ini, sebaliknya di sekitar ‘kota konkrit’ Kuala Lumpur.
Kawasan yang dituju ialah Kolam Takungan Banjir Kampung Boyan, Sungai Bunus dan Syed Umno Syed Yahya bersama rakan sepemikatnya yang hanya mahu dipanggil Pak Din menaruh harapan tidak pulang dengan tangan kosong.
Pokok-pokok yang ditanam di sekeliling kolam memberi kehidupan kepada beberapa spesies burung, antaranya bangau, merbuk, layang-layang dan tekukur.
Tiga buah jebak dipasang di atas salah satu pokok. Denak atau pemikat iaitu seekor burung tekukur berada di dalam jebak sebagai pengumpan. Burung itu akan menjalankan tugasnya, memanggil tekukur liar datang untuk berlaga dengannya.
Jika nasib menyebelahi Syed Umno dan Pak Din, tekukur liar akan datang mendekati untuk menyerah diri pada jebak yang menanti. Penulis secara kebetulan bersua dengan kedua-dua pemikat burung ini ketika menyertai program Eksplorasi Sungai Bunus pada awal September lepas.
Warisan kesenian
Memikat burung tekukur serta merbuk menggunakan jebak dan racik adalah warisan peninggalan nenek moyang terdahulu yang ternyata masih dapat dipertahankan sehingga hari ini.
Bukan sahaja mereka yang berusia, malah ramai juga anak muda yang jatuh cinta dengan hobi yang mampu memberi kepuasan diri ini. Ia juga boleh memberi pulangan lumayan sekiranya dapat membawa pulang tekukur dan merbuk berkualiti tinggi untuk dijual kepada peminat burung tersebut.
Menurut Pak Din, 68 yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak beliau mula belajar memikat burung sejak berusia lapan tahun dan hobi itu diteruskan apabila berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1973.
Pengalaman luas pesara kakitangan awam ini menyebabkan Syed Umno, 62 turut memilih hobi yang sama setelah mereka bertemu di Kuala Lumpur sekitar tahun 1986.
“Sejak menjadi pesara makin keraplah kami memikat burung terutama pada hujung minggu,” kata Syed Umno bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Saja nak seronok-seronok habiskan masa lapang,” Pak Din yang menetap di Keramat mencelah.
Taman-taman rekreasi sekitar Kuala Lumpur terutama Taman Sungai Bunus di Setapak antara yang kerap dikunjungi pada hujung minggu. Kebiasaannya burung tekukur mudah ditemui di kawasan itu selain kawasan kebun bunga dan semak.
Menaiki motosikal, Pak Din mahupun Syed Umno akan membawa kelengkapan wajib seperti jebak, racik, denak dan bunjut untuk menyimpan tekukur yang berjaya dipikat. Sekitar pukul 8 pagi, jebak dipasang di tempat yang sesuai seperti di dahan pokok yang rendah atau dengan memasang jebak pada pancang untuk diletakkan pada tempat yang tinggi.
“Ada kalanya terpaksa menunggu dari pagi sampai petang akhirnya pulang dengan tangan kosong.
“Memang memerlukan kesabaran tetapi seni memikat burung itu yang menyebabkan kita leka dengan hobi ini terutama apabila mendengar suara pemikat memanggil burung liar datang,” ujar Pak Din.
Keunikan Tekukur
Suara burung tekukur memainkan peranan paling penting dalam memilih burung terutama untuk dijadikan pemikat atau denak.
Menurut Pak Din, kelantangan suara burung sama ada kecil, sedang atau besar berpotensi untuk pergi lebih jauh sebagai pemikat. Itu merupakan faktor utama yang dicari selain bentuk fizikalnya yang boleh dilihat sama ada burung itu cepat jinak, mudah dibentuk atau sebaliknya.
“Jika burung tidak berkualiti biasanya saya lepaskan saja atau beri pada rakan-rakan lain. Saya hanya simpan yang benar-benar berkualiti untuk dijadikan burung pemikat.
“Ada juga yang dijual bergantung kepada kualitinya. Pernah saya jual antara RM200 hingga RM1,500,” katanya sambil menambah kegarangan dan keberanian burung pemikat juga jadi penentu burung liar untuk datang berlaga.
Menurut Pak Din, beliau lebih suka menggunakan jebak untuk memikat burung kerana burung pemikatnya lebih selamat kerana terkurung di dalam jebak. Apabila burung liar memijak batang kayu yang dipasang pada jebak, burung akan tersangkut pada jaring yang dipasang.
Sementara itu, Syed Umno pula lebih suka menggunakan racik atau jerat kaki yang dipasang berdekatan dengan pemikat. Menggunakan tali tangsi, dawai, tali nilon, racik mempunyai bilangan mata berbeza mengikut citarasa pemikat itu.
“Bila burung tekukur liar datang dekat untuk berlaga kakinya tersangkut pada gelung racik itu, “ katanya.
Hasilkan jebak sendiri
Selain memikat burung, menghasilkan jebak juga mempunyai nilai keseniaan yang tinggi dan menurut Pak Din, tidak ramai mempunyai kemahiran menghasilkan jebak kerana ia agak rumit.
Bagaimanapun beliau bernasib baik kerana dikurniakan kelebihan bakat untuk menghasilkan sendiri jebak tanpa mempelajari daripada mereka yang pakar membuatnya.
Hanya dengan melihat kerja tangan orang lain, beliau boleh menghasilkannya sendiri dengan kualiti yang tidak kurang hebatnya.
“Ini salah satu cara untuk menjimatkan kos membeli jebak. Saya tak belajar dengan mana-mana pembuat jebak. Ini kurniaan dari Allah saya boleh hasilkan sendiri,” ujar Pak Din yang setakat ini menghasilkan lebih 20 jebak termasuk jebak puyuh yang memerlukan kehalusan ukiran tangan.
Melakukan secara tradisional dengan kudrat tangannya sendiri dengan dibantu beberapa alatan seperti pamahat dan tukul, biasanya beliau akan mengambil masa lebih kurang sebulan setengah untuk menyiapkannya.
Barangan utama menghasilkan jebak seperti papan, beliau menggunakan kayu terpakai seperti kayu jati dan ada juga menggunakan papan kayu nyireh.
“Biasanya untuk tapak saya guna papan jati dan untuk pintu kecil yang berukir, menggunakan kayu nyireh sebab kayu jenis ini lembut tetapi tidak mudah pecah,” katanya bilah buluh dan rotan pula digunakan untuk kerangka luaran jebak.
Jebak boleh bertahan lama sekiranya tidak dibiarkan berpanas dan berhujan.
Walaupun tiada anggota keluarga Pak Din dan Syed Umno yang meminati hobi memikat burung, namun kedua-duanya berharap masih ada generasi muda lain meneruskan seni memikat burung tekukur, merbuk serta menghasilkan jebak ini agar ia tidak terkubur begitu sahaja. — Bernama
Sumber Seni menjebak tekukur di ‘kota konkrit’
✍ Sumber Pautan : ☕ Macam Macam hal laaaa... Anda patut tahu!!!
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2itM3xo
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment