Polis Padawan tumpaskan dukun antarabangsa, perdaya warga emas hingga wang tunai dan barang kemas RM14 ribu bertukar tangan
PADAWAN: Ditipu bulat-bulat. Itu nasib seorang warga emas dek percayakan tilikan inidivdu yang baharu dikenalinya.
Mangsa, seorang wanita berbangsa Cina berusia 58 tahun sedang dalam perjalanan balik ke rumah dari pasar sebelum didatangi seorang wanita Cina dan dua rakannya.
Mereka memberitahu kononnya sedang mencari seorang lelaki di kawasan berhampiran sebelum memgundang warga emas terbabit untuk naik bersama-sama ke dalam kenderaan bagi menunjuk jalan.
Ketika berada dalam kenderaan tersebut, salah seorang suspek kononnya membuat tilik nasib dan memberitahu warga emas terbabit yang anaknya akan mengalami kemalangan pada jam 12.00 tengah malam itu.
Termakan dengan kata-kata tersebut, mangsa terus meminta bantuan suspek untuk menyelamatkan anaknya dan sanggup membayar wang pengeras kepada suspek.
Mangsa kemudian mengeluarkan kesemua wang simpanannya berjumlah RM4,000 dan menyerahkan kepada suspek, termasuk barang kemas miliknya iaitu cincin emas, rantai, loket dan anting-anting — dengan satu harapan, anaknya dibantu untuk terhindar daripada bahaya dan kemalangan.
Suspek kemudian telah meletakkan kesemua wang dan barang kemas tersebut ke dalam satu bungkusan sebelum diadakan upacara sembahyang untuk keluarga mangsa, kononnya bertujuan menghindari bahaya.
Tanpa disedari mangsa, bungkusan tersebut sebenarnya telah ditukar dengan bungkusan lain, yang bentuknya sama seperti bungkusan asal.
Suspek memberitahu mangsa untuk membuka bungkusan tersebut hanya selepas tiga hari dan selepas tempoh berkenaan, mangsa mendapati barangan kemas dan wang miliknya lesap, dan digantikan dengan dua botol mineral dan lipatan surat khabar.
Mangsa akhirnya membuat laporan polis dan memaklumkan anggaran kerugian yang dialaminya berjumlah RM14 ribu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Merbin Lisa memberitahu, susulan laporan tersebut, empat jam kemudian sepasukan polis daripada Siasatan Jenayah Komersial Padawan telah menahan dua lelaki, dipercayai warga China dan Indonesia selain tiga wanita dua daripadanya warga China dan seorang warga Indonesia.
“Dukun antarabangsa” berusia 27 hingga 50 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong Stampin Tengah 12, di sini.
Penggeledahan lanjut kemudian menemui barangan kemas serta wang tunai RM6,618, wang Indonesia (Rp. 1.760), wang Hong Kong(HK$610), Reminbi China (¥1,150) dan wang Brunei (B$2).
Turut dirampas sebuah kereta Perodua, lima pasport antarabangsa, lima bentuk cincin emas, tiga pasang anting-anting, empat loket emas, tiga utas rantai emas, dua utas gelang emas serta lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama.
“Kesemua suspek telah direman lima hari bermula 14 Disember untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan siang tadi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan melakukan dorongan agar harta diserahkan.
“Kita menyeru sekiranya ada mangsa lain yang pernah diperdaya mangsa agar tampil membuat laporan polis.
“Ini kerana kami dapati antara barang rampasan termasuklah barangan kemas milik mangsa lain yang masih tidak diketahui pemiliknya.
“Ia dijumpai tersorok di bawah almari,” katanya lagi. – Sarawakvoice
✍ Sumber Pautan : ☕ KamekMiakSarawak
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2BlGp5M
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment