Hi! Welcome Back and Stay Tune! 8 Versi Resepi Kuah Kacang Untuk Panduan Dapur Anda - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

8 Versi Resepi Kuah Kacang Untuk Panduan Dapur Anda

Kuah kacang sememangnya terkenal sebagai salah satu menu utama menjelang hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Sebenarnya pelbagai resepi kuah kacang yang boleh anda dapati dengan cara yang mudah iaitu melalui carian di google ataupun youtube sahaja. Bagi memudahkan pencarian anda, infosantai ingin berkonsi pelbagai versi resepi atau cara buat kuah kacang seperti resepi kuah kacang Terangganu, resepi kuah kacang satay Kajang, resepi kuah kacang Kelantan, kuah kacang tanpa santan, kuah kacang nasi impit dan sebagainya untuk panduan anda dan juga pihak infosantai sendiri. Resepi kuah kacang ini diperolehi hasil daripada carian admin infosantai melalui google dan dikumpulkan dalam satu artikel bagi memudahkan anda dalam mencari resepi kuah kacang yang terbaik dan pastinya sedap.

1. Resepi Kuah Kacang Nasi Impit Terengganu

Resepi kuah kacang nasi impit terengganu ini merupakan salah satu cara memasak nasi himpit beserta  kuah kacang yang sememangnya terkenal di Terengganu. Cara menyediakannya adalah seperti berikut:

Bahan yang diperlukan untuk membuat Nasi Impit :

  • 3 cawan beras biasa
  • 15 cawan air
  • 3 sudu kecil garam

Nota: Gunakan cawan yang sama untuk menyukat beras dan juga air.

Cara Buat Nasi Impit :

  1. basuh beras terlebih dahulu, kemudian masukkan air, garam ke dalam periuk dan masak seperti memasak nasi biasa.
  2. Apabila kandungan air dalam periuk semakin sedikit dan nasi mulai terbentuk, kacau dan mampatkan nasi tersebut. Dalam masa yang sama gunakan api perlahan.
  3. Kacau dan lenyek nasi setiap 3-5 minit sehingga mampat dan sebati. Semakin kerap nasi dikacau semakin lembut dan cantik nasi  impit tersebut. Terus kacau nasi sehingga air betul-betul kering dan nasi menjadi lembut.
  4. Ambil bekas seperti mangkuk dan sebagainya, pastikan bekas tersebut mampu menampung kesemua nasi impit yang dimasak tadi. Sapukan sedikit minyak atau marjerin di permukaan bekas bagi memastikan nasi impit tidak melekat pada permukaan bekas nanti.
  5. Masukkan nasi impit ke dalam bekas dan ratakan, ambil sehelai plastik bersih dan sapukan sedikit marjerin.
  6. Mampatkan nasi impit dengan memberikan tekanan menggunakan plastik yang disapu marjerin tadi.
  7. Sejukkan nasi impit dalam 3 hingga 5 jam sebelum dipotong.

Bahan yang diperlukan bagi kuah kacang Terengganu :

  • 1 kg kacang tanah
  • 3 batang serai dititik
  • 1 mangkuk air asam jawa
  • 1 senduk gula melaka
  • 3 senduk minyak masak
  • Garam dan gula pasir secukup rasa

Bahan kisar :

  • 20 tangkai cili kering dibuang biji dan direbus hingga mendidih
  • 15 hingga 17 ulas bawang besar
  • 2 inci halia

Penyediaan Kacang Tanah :

  1. Goreng kacang tanah menggunakan 3 sudu minyak masak.
  2. Sejukkan kacang tanah tadi
  3. Tumbuk kasar kacang tanah menggunakan lesung  (kulit tidak perlu dibuang).

Cara buat kuah kacang :

  1. Panaskan minyak masak terlebih dahulu
  2. Kemudian tumis serai yang telah dititik hingga naik baunya.
  3. Masukkan bahan-bahan kisar.
  4. Masak hingga cili  yang dikisar tadi telah masak sepenuhnya
  5. Masukkan air asam jawa dan kacang yang telah ditumbuk.
  6. Masukkan gula melaka, gula pasir dan garam secukup rasa.
  7. Masak hingga mendidih dan pecah minyak.

Nota: Kuah kacang akan semakin menjadi pekat setelah dimasak kerana semakin lama, kacang akan mengembang. Kelazatan kuah kacang ini bergantung dengan nisbah gula melaka garam dan gula pasir yang anda gunakan.

2. Resepi kuah kacang sate Kajang

Resepi ini merupakan resepi kuah kacang khasnya untuk dimakan bersama sate. Walaubagaimanapun ianya juga sesuai dan sangat sedap dimakan bersama nasi himpit. Sebenarnya ada beberapa resepi kuah kacang sate kajang yang boleh didapati menggunakan carian google namun admin ingin berkongsi resepi ini kerana ianya terbukti sangat sedap setelah admin mencuba untuk membuatnya sendiri. Kredit kepada blog blogospi atas perkongsian resepi ini.

Bahan Untuk Kuah Kacang Sate Kajang :

  • 1 kg kacang tanah – buang kulit
  • 2 keping gula melaka
  • garam secukup rasa
  • 1 mangkuk kecil air asam jawa
  • 15 cili kering – buang biji rendam air panas dan kisar halus

Bahan hiris nipis :

  • 2 inci lengkuas
  • 7 ulas bawang putih
  • 2 batang serai
  • 2 inci halia
  • 11 biji bawang merah

Cara Buat Kuah Kacang Sate Kajang

  1. Panaskan minyak kemudian goreng kacang tanah yang telah dibuang kulitnya.
  2. Kisar kasar kacang tanah goreng tadi setelah sejuk sedikit.
  3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali kemudian goreng bahan hiris nipis hingga harum kemudian angkat dan kisar halus bersama sedikit air.
  4. Panaskan 3 senduk besar minyak dalam kuali dan goreng cili kisar bersama bahan hiris nipis yang telah digoreng dan dikisar halus tadi.
  5. Masukan air secukupnya dan kacang tanah yang sudah dikisar dan masak hingga mendidih.
  6. Masukan air asam jawa, gula melaka dan perasakan dengan garam secukup rasa dan masak hingga kuah menjadi pekat dan pecah minyak.

Akhir sekali, hidangkan kuah kacang ini bersama-sama dengan sate ataupun nasi himpit. Boleh juga dijadikan kuah dan dimakan bersama-sama nasi. Selamat Mencuba !.

3. Resepi Kuah Kacang Cucur Udang

Resepi kuah kacang cucur udang ini berasal dari Utara dimana kuah kacang tanah yang dihasilkan adalah tanpa menggunakan minyak. Ianya sangat sedap dan sesuai dihidangkan bersama dengan Cucur Udang. Berikut merupakan resepi dan cara membuat cucur udang dan kuah kacang.

Bahan-bahan untuk menyediakan cucur udang :

  • 500 gram tepung gandum
  • 1 ikat daun kucai
  • 1 sudu kecil kunyit
  • 1 ulas bawang besar
  • 1 sudu besar air kapur

Cara buat cucur udang :

  1. Bancuh tepung dengan air hingga sebati.
  2. Gaulkan bancuhan tepung bersama daun kucai (yg dipotong 1 inci), serbuk kunyit, bawang besar yg dihiris nipis, air kapur, udang, garam dan gula secukup rasa.
  3. Panaskan minyak sehingga sederhana panas, kautkan aduanan sebanyak satu senduk penuh dan tuangkan ke dalam kuali.
  4. Goreng dengan api sederhana kuat dan angkat apabila cucur menjadi keperangan.

Bahan-bahan untuk kuah kacang cucur udang :

  • 2 ulas bawang merah (dipotong nipis atau dicincang)
  • 3 ulas bawang putih (dipotong nipis atau dicincang)
  • 1 inci halia (dipotong nipis atau dicincang)
  • 1 mangkuk kacang tanah
  • 1 senduk cili kisar
  • 1 sudu kecil paste udang kering
  • 3 sudu besar gula melaka
  • 2 sudu kecil tepung jagung yang dicairkan
  • garam dan gula secukup rasa

Cara-cara penyediaan kuah kacang cucur udang :

 

  1. Goreng kacang tanah tanpa menggunakan minyak sehingga rapuh kemudian tanggalkan kulit kacang tanah tadi.
  2. Kacang tanah yang telah digoreng dikisar halus.
  3. Panaskan 3 sudu besar minyak
  4. Tumiskan bahan cincang bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi.
  5. Masukkan cili kisar dan udang kering, kacau hingga pecah minyak.
  6. Masukkan satu cawan air dan kacang yang di kisar halus.
  7. Masukkan gula, garam dan tepung jagung.
  8. Masak sehingga mendidih sehingga mencapai kepekatan yang diingini.

4. Resepi Nasi Impit Kuah Kacang Kelantan dan Sambal Kelapa

Resepi Nasi Impit Kuah Kacang Kelatan berbeza sedikit dengan kuah kacang yang lain kerana ianya berasa sedikit pedas, manis serta rasa sedikit berlemak dan yang paling penting, mempunyai rasa yang sangat sedap. Nasi impit yang digunakan adalah versi nasi impit segera. Berikut merupakan cara membuat nasi impit kuah kacang versi kelantan.

Bahan-bahan untuk nasi impit dan kuah kacang :

  • 6 bungkus nasi impit segera
  • 0.5 kg kacang tanah – goreng tanpa minyak dan dikisar kering (tanpa air)
  • 3 labu bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 ulas bawang merah
  • 1 inci halia
  • 15 tangkai cili kering
  • 3 keping nisan
  • 6 sudu besar gula
  • 5 batang serai di ketuk
  • garam secukup rasa
  • 1 liter santan
  • Separuh cawan minyak masak

Cara menyediakan Nasi Impit :

Rebus 6 bungkus nasi impit segera tadi kemudian sejukkan.

Cara menyediaakan kuah kacang Kelantan :

  1. Goreng kacang tanah tanpa menggunakan minyak sehingga rapuh, sejukkan seketika. Buang kulitnya, kemudian kisar atau blender kering kacang tadi.
  2. Potong cili kering dan rebus dengan sedikit air.
  3. Kisar bawang besar, bawang putih , bawang merah, cili kering dan halia
  4. Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar atau blender tadi dan masukkan juga serai yg telah di ketuk. Tumis sehingga wangi dan pecah minyak.
  5. Masukkan santan, dan kacang, kacau seketika.
  6. Kemudian masukkan nisan, gula, garam, dan asam keping.
  7. Ambil masa untuk merasa sedikit kuah kacang, jika kurang manis atau masin, tambahkan gula atau garam secukup rasa.
  8. Masak hingga terbit minyak dan kuah agak pekat sikit, kemudian tutup api.
  9. Sedia untuk dihidangkan.

Bahan-bahan sambal kelapa :

Bahan-bahan bagi menyediakan sambal kelapa adalah seperti berikut:

  • 2 ekor Ikan sardin (selaye). Ikan yang lain boleh digunakan seperti ikan kembung atau selar.
  • 2 Biji kelapa
  • 7 Ulas bawang merah
  • Halia setengah inci
  • Serai
  • Gula melaka/nise dua keping
  • Gula sesudu besar

Cara membuat sambal kelapa versi Kelantan :

Cara-cara menyediakan sambal kelapa Kelantan adalah seperti berikut.

  1. Bersihkan ikan dan toskan.
  2. Masukkan ikan kedalam periuk, masukkan air sehingga ikan tenggelam, masukkan 2 atau 3 asam keping dan sesudu garam dan biarkan ikan direbus dalam masa lima minit.
  3. Goreng kelapa tanpa menggunakan minyak dengan api perlahan sehingga keperangan dan garing. Tumbuk kelapa yang telah digoreng sehingga sedikit lumat.
  4. Tumbuk bawang merah dan halia sehingga lumat.
  5. Kemudian masukkan nise, tumbuk sehingga sebati dan sedikit berair, kemudiannya masukkan sedikit gula dan satu sudu teh garam. Apabila gula telah hancur dan sebati, masukkan isi ikan rebus dan tumbuk sekali lagi sehingga sebati.
  6. Seterusnya bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi digaul dengan kelapa goreng yang juga telah ditumbuk sehingga sedikit lumat. Gaul sehingga sebati.
  7. Adunan ini kemudian ditumbuk sekali bagi memastikan rencah bawang dan isi ikan betul-betul sebati. Pastikan anda menggunakan sudu semasa proses mengalihkan atau menggaul bahan-bahan yang ditumbuk ini bagi memastikan ianya tahan lebih lama.
  8. Hidangkan bersama-sama nasi himpit dan kuah kacang.

5. Resepi Kuah Kacang Tanpa Santan

Kebiasaannya penyediaan kuah kacang menggunakan santan bagi memberikan rasa yang lebih berlemak dan sedap. Namun bagi mereka yang tidak gemarkan santan ataupun inginkan kuah kacang yang kurang berlemak makan resepi kuah kacang tanpa santan ini mungkin sesuai untuk anda. Kaedah penyediaan kuah kacang tanpa santan adalah seperti berikut:

Bahan-Bahan Tesepi Kuah Kacang Tanpa Santan:

  • 500 g kacang tanah digoreng tanpa minyak kemudiannya dikisar.
  • 2 1/2 senduk cili giling tambahkan sedikit cili kering yang dikisar.
  • Gula melaka atau gula pasir secukupnya.
  • 2 batang serai (diketuk)
  • Setengah cawan minyak masak (lebih sedikit lagi bagus).
  • Air secukupnya
  • Bahan-bahan kisar:
    2 batang serai
    10 biji bawang merah
    4 ulas bawang putih
    1 labu bawang besar
    1 inci lengkuas
    1 inci halia

Cara menyediakan kuah kacang :

  1. Masukkan kacang tanah dan air secukupnya ke dalam periuk. Kacau dengan kerap bagi memastikan kacang tidak berketul-ketul. Jika terlebih air, biarkan ianya masak lebih lama dengan api sederhana. Semakin lama dimasak, semakin pekat kuah tersebut. Apabila kuah menjadi pekat tutup api tadi
  2. Tumiskan bahan-bahan kisar bersama serai sehingga naik bau. Kemudian masukkan cili giling. Kemudian tumis lagi sehingga pecah minyak. Kemudian tutup api.
  3. Masukkan bahan-bahan yang telah ditumis tadi ke dalam periuk kuah kacang. Nyalakan semula apinya dengan menggunakan api kecil.
  4. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
  5. Kacau perlahan-lahan hingga sebati dan keluar minyak.
  6. Tutupkan api.
  7. Hidangkan bersama satay, nasi himpit, rendang dan sebagainya.

6. Resepi Kuah Kacang Daging

Resepi kuah kacang daging menggunakan daging sebagai bahan utama selain daripada kacang yang ditumbuk atau dikisar kasar. Cara penyediaan kuah kacang daging adalah seperti berikut:

Bahan bahan kuah kacang daging :

  • Bahan-bahan yang perlu dikisar:
    10 biji bawang merah
    5 ulas bawang putih
    1 1/2 inci halia
    1 inci lengkuas
    3 batang serai*
    2 sudu besar ketumbar
    1 sudu makan jintan manis
    1 sudu makan jintan putih
    4 biji buah keras
  • 2 cawan cili kisar
  • Air secukupnya
  • 1 kg daging dipotong kecil
  • 1 kg kacang tanah digoreng dan dikisar
  • Air asam jawa
  • Sedikit gula merah
  • Garam dan gula secukupnya

Cara Penyediaan Kuah Kacang Daging :

  1. Tumis semua bahan yang telah dikisar sehingga naik bau atau wangi.
  2. Masukkan cili kisar dan kacau hingga naik minyak.
  3. Masukkan daging dan air. Masak hingga daging empuk.
  4. Masukkan kacang tanah goreng yang dikisar dan kacau hingga mendidih.
  5. Masukkan air asam jawa, gula merah, garam dan gula. Kacau hingga naik minyak
  6. Masak sehingga kuah kacang daging menjadi pekat.
  7. Hidangkan bersama-sama dengan sate atau nasi himpit.

7. Resepi Kuah Kacang Hj Samuri

Kuah Kacang Hj Samuri juga sangat terkenal dengan kelazatannya apatah lagi jika dihidangkan bersama dengan satay. Bagi anda yang inginkan sedikit kelainan dalam menyediakan kuah kacang, mungkin resepi kuah kacang Hj Samuri ini sesuai untuk anda. Berikut merupakan bahan dan kaedah penyediaan kuah kacang  Hj Samuri.

Bahan-Bahan Kuah Kacang Hj Samuri :

  • 500 Gram kacang mentah (goreng dan tumbuk kasar)
  • 7 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 batang serai
  • 1.5  inci halia
  • 5 tangkai cili kering
  • 2 papan gula melaka
  • 2 sudu asam jawa (ditambahkan sedikit air di dalam mangkuk, asingkan biji asam  jawa dan diambil airnya sahaja).
  • Gula dan garam secukup rasa

Cara membuat Kuah Kacang Hj Samuri :

  1. Potong nipis bawang merah, bawang putih, halia, serai, dan cili kering kemudian tumiskan semuanya dengan minyak yang mencukupi
  2. Pastikan bahan-bahan yang digoreng dalam langkah 1 menjadi cukup garing
  3. Toskan gorengan tadi dan kisar atau blender halus. (gunakan sedikit air semasa proses mengisar)
  4. Masukkan bahan yang dikisar tadi ke dalam periuk.
  5. Masukkan juga air asam jawa, dan kacang tanah yang telah ditumbuk kasar.
  6. Kacau rata kesemuanya.
  7. Didihkan campuran dalam periuk tadi dengan api sederhana.
  8. Masukkan gula melaka, garam dan gula secukup rasa.
  9. Jika kuah terlalu pekat, tambahkan sedikit air.
  10. Apabila telah mendidih, tutup periuk dan gunakan api kecil.
  11. Teruskan memasak sehingga minyak dari kacang tanah telah naik ke permukaan (pecah minyak). Kacau dengan kerap bagi memastikan kuah tidak melekat pada dasar periuk.
  12. Apabila kuah kacang telah pecah minyak, kuah menjadi pekat, tutup api.
  13. Hidangkan bersama sate atau nasi himpit.

8. Kuah Kacang Simple

Resepi kuah kacang “simple” merupakan kaedah memasak atau menghasilkan kuah kacang yang mudah tanpa menggunakan bahan-bahan yang banyak. Resepi ini sesuai untuk anda yang inginkan resepi yang tidak terlalu memeningkan atau bagi anda yang baru berjinak-jinak dalam menu kuah kacang ini. Berikut merupakan bahan dan cara penyediaan kuah kacang simple.

Bahan-Bahan :

  • 500 gram kacang tanah
  • 1 inci lengkuas
  • 3 biji bawang merah
  • Segengam cili kering
  • 3 batang serai
  • Gula melaka
  • Garam

Cara Menyediakan Kuah Kacang Simple :

  1. Kacang tanah digoreng tanpa minyak sehingga masak dan rapuh. Kemudian buangkan kulitnya.
  2. Tumbuk serai dan lengkuas
  3. Kisar bawang merah dan cili kering
  4. Tumbuk halus kacang yang telah digoreng dan dibuang kulit tadi.
  5. Masukkan minyak ke dalam kuali, tumis serai, lengkuas, bawang merah dan cili kering yang telah ditumbuk dan dikisar tadi.
  6. Setelah pecah minyak, masukkan kacang yang telah ditumbuk.
  7. Masukan gula melaka dan garam.
  8. Tunggu sehingga minyak naik ke permukaan dan kuah menjadi pekat.
  9. Hidangkan.

Tips: Bagi memastikan kuah kacang yang dihasilkan betul-betul lazat dan sedap, anda perlu memastikan kacang yang digoreng betul-betul masak, bahan kisar ditumis sehingga pecah minyak, kuah menjadi pekat dan pecah minyak dan kombinasi gula dan garam yang mantap.

 

 

 

The post 8 Versi Resepi Kuah Kacang Untuk Panduan Dapur Anda appeared first on InfoSantai.



✍ Sumber Pautan : ☕ InfoSantai

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2ItKR5n

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.