Bukan semua yang manis itu Gula! Pemberontakan SUPP Keatas PBB?
16 April 2016
SUPP akhirnya menunjuk belang mereka sebenar apabila salah seorang ahlinya menyaran agar semua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak bergabung bangkit menentang PBB.
Perkara ini diluahkan oleh seorang ahli SUPP iaitu "LTC" (nama singkatan) pada status Facebooknya semalam.
Menurut LTC, mengikut status quo dalam BN Sarawak, 20 kerusi telah diperuntukan untuk SUPP dan maka itu SUPP seharusnya mempertahankannya tanpa kompromi.
"Sekiranya PBB mahu melanggar tradisi status quo yang berusia 50-tahun ini dan meyusun semula jumlah kerusi yang sedia ada, sudah sampai masanya SUPP, PRS dan SPDP bangkit dan menubuhkan BN Sarawak yang baru," kata LTC.
"SUPP tidak akan berdiam diri, sama ada PRS dan SPDP memilih untuk berdiam diri, itu terpulang kepada mereka," tambahnya lagi.
"SUPP akan sentiasa menjadi pengimbal didalam BN Sarawak. Sudah sampai masanya bagi rakyat Sarawak membuat pilihan sama ada mereka mahu PBB sendirian menjadi kerajaan Sarawak? Atau mereka mahu gabungan beberapa parti memerintah Sarawak? Saya yakin mereka rakyat Sarawak tidak mahu diperintah oleh sebuah parti."
"Jika SUPP, PRS dan SPDP tidak diberi kuota kerusi di dalam BN Sarawak, SUPP, PRS dan SPDP harus duduk berbincang dan merancang untuk meletakkan calon terbaik diantara tiga parti tersebut untuk diletakkan bertanding di setiap kawasan yang ditandingi PBB," kata LTC lagi.
Ulasan penulis kepada status LTC adalah LTC hanya bersikap seperti seorang anak kecil (SUPP) yang menangis kerana gula-gulanya dirampas adiknya (UPP) sendiri. Dalam hal ini, adik yang merampas gula-gula itu nyata lebih "kuat dan berpengaruh".
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem yang bertindak sebagai seorang "ayah" telah bertindak secara adil dan acap kali menyaran kedua-dua pihak (termasuk SPDP dan TERAS) agar berdamai dan segera menyelesaikan permasalahan mereka namun saranan beliau bagaikan menuang air diatas daun keladi sahaja.
Secara logiknya, haruskah Adenan merampas kembali kerusi yang dimenangi telah calon UPP (sebelum keluar SUPP) dan memberinya kepada SUPP walaupun mengetahui UPP mempunyai peluang yang jauh lebih tinggi untuk menang dari SUPP?
Sebelum ini, SUPP menyatakan pendirian mereka menyerahkan keputusan pemilihan calon ditangan Adenan. Dan semestinya Adenan akan memilih mereka yang paling berpotensi untuk menang.
SUPP sepatutnya sedar dan mengakui parti mereka tidak segagah dahulu yakni sebelum UPP terbentuk pun, SUPP sudah menghadapi masalah daripada segi sokongan dari orang Cina sendiri dimana kerusi-kerusi yang mereka menangi pada PRN10 yang lepas adalah kawasan majoriti Bumiputera.
Berbanding dengan PBB yang bertanding di 35 kerusi telah menang kesemuaan kerusi yang mereka tandingi.
Kini memang terbukti sudah, perjuangan SUPP hanyalah semata-mata untuk kuasa parti mereka sahaja bukan untuk BN Sarawak.
Presiden SUPP Datuk Sim Kui Hui harus menyatakan pendiriannya mengenai perkara ini kerana sekiranya beliau berdiam diri, bermakna rancangan pemberontakkan ini telah mendapat restu darinya.
Beliau seharusnya bersyukur kerana diberi kedudukan senator walaupun, kemudiannya dia menjadi tamak dan bertindak menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melantiknya menjadi menteri penuh dalam kabinet namun ditolak oleh PM. Nanti penulis akan dedahkan perkara ini pada penulisan yang akan datang.~ Sarawakiana
Post a Comment