Muhyiddin gagal, majoriti ahli UMNO setia kepada Najib
PETALING JAYA: Timbalan Presiden UMNO yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak mempunyai tempat dalam parti kerana majoriti ahli parti itu masih setia bersama Datuk Seri Najib Razak.
Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata demikian susulan tindakan Muhyiddin serta beberapa pemimpin UMNO lain yang digelar kumpulan penentang Najib mengadakan jelajah Selamatkan Malaysia ke seluruh negara.
Katanya, Muhyiddin sudah tidak mempunyai cara lain untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan siri jelajah untuk mengkritik Najib menjadi pilihan terakhir beliau.
“Bagi saya mereka (Muhyiddin dan kumpulan penentang Najib) sudah tidak ada tempat tempat dalam UMNO.Muhyiddin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Tun Dr M0ahathir Mohamad adalah orang-orang yang kecewa dalam UMNO.
“Saya rasa Muhyiddin dan (kumpulan penentang Najib) tidak mampu dan akan gagal untuk jatuhkan Najib. Muhyiddin sekarang sudah tidak ada pengikut, maksud saya orang UMNO yang setia dengan dia pun takut untuk menunjukkan diri bersama Muhyiddin,” katanya kepada FMT.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Muhyidin serta kumpulan penentang Najib yang berada dalam UMNO supaya keluar parti kerana usaha yang dibuat bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak akan berhasil.
“Kalau kamu (Muhyiddin) tak suka Najib kamu keluar sahaja UMNO, jangan pergi bising dekat luar, kerana bagi saya tindakan itu tidak bermoral dan tidak beretika,” katanya.
Sementara Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Muhyiddin sebenarnya sedang berhadapan dengan tugas yang berat untuk menarik sokongan rakyat terutamanya ahli UMNO untuk menentang Najib.
“Jadi Muhyiddin cuba menghidupkan momentum penentangan sehingga Najib turun,” katanya.
Dalam siri jelajah ke seluruh negara, Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan berputus asa mendesak Najib supaya berundur sebagai Perdana Menteri, bagi menyelamatkan negara daripada terus menanggung beban dan kerugian terutamanya berhubung skandal dalam 1MDB.
Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini mendedahkan banyak kepincangan dalam 1MDB termasuk menyalurkan dana kepada syarikat yang tidak wujud dan hutang yang ditanggung 1MDB berjumlah RM50 bilion.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1MALquu
Post a Comment