Rombakan portfolio exco Terengganu mulai 1 Ogos
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini mengumumkan penstrukturan semula portfolio anggota mesyuarat kerajaan negeri (exco) melibatkan beberapa pertambahan dan pertukaran tugas.
Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan memaklumkan, penstrukturan itu berkuat kuasa 1 Ogos ini dan ia tidak membabitkan perubahan dari segi jumlah keanggotaan exco.
Menerusi penstrukturan itu, tiga exco kekal dengan portfolio masing-masing, manakala tujuh lagi termasuk Ahmad Razif mempunyai pertambahan dan pertukaran tugas.
Tiga exco yang kekal dengan portfolio masing-masing ialah Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Exco Perindustrian dan Perdagangan Negeri), Datuk Rozi Mamat (Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri) serta Rosli Othman (Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri).
Selain jawatan Menteri Besar, Ahmad Razif turut memegang portfolio Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli, Pelancongan dan Kebudayaan.
Portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang dipegang beliau pula kini disandang Datuk Mohd Jidin Shafee yang sebelum ini memegang portfolio Pelancongan dan Kebudayaan.
Portfolio Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan kini dipegang Nawi Mohamad yang bertukar portfolio dengan Roslee Daud.
Roslee kini menyandang portfolio Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang sebelum ini dipegang Datuk Muhammad Pehimi Yusof yang kini memegang portfolio Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Portfolio Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan kini dipegang A Latiff Awang yang bertukar portfolio dengan Ghazali Taib yang kini memegang portfolio Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/2a8oxPb
Post a Comment