Penggabungan SPDP-UPP: Hanya omong kosong
Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) mahu bergabung. Itulah berita terkini dalam politik Sarawak.
Sebenanrya, usaha penggabungan itu bukan cerita baharu.
Pada Mei lalu lagi dikhabarkan kedua-dua parti itu mempunyai hasrat untuk bergabung dan membentuk sebuah parti baharu yang dikenali sebagai Parti Demokratik Bersatu (UDP).
Penggabungan itu akan menjadi satu entiti politik demi kestabilan politik di negeri Sarawak, menurut laporan Malay Mail Online ketika itu, dengan memetik mantan Ketua Pemuda UPP Johnical Rayong yang menang sebagai calon langsung di kerusi Engkilili.
“Pemimpin UPP dan SPDP telah mencapai persetujuan petang semalam,” kata Rayong seperti dipetik akhbar berkenaan.
Namun, spekulasi mengenai penggabungan dan pembentukan UDP itu disangkal oleh bekas Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh.
“Tetapi mengenai pembentukan UDP, itu adalah spekulasi semata-mata kerana setahu saya mereka tidak menyebut mengenai pembentukan parti baharu seperti yang disebarkan,” katanya seperti dipetik media.
Tetapi bagi pemerhati, tiada angin pokok tak akan bergoyang. Apakah yang menjadi penghambat bagi membolehkan penggabungan ketika itu?
Dikatakan ketika itu, jika UDP dibentuk, Datuk Seri Tiong King Sing yang merupakan presiden SPDP akan kekal sebagai presiden, manakala Wong akan dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif di mana bidang kuasanya adalah sama dengan presiden.
Tiong pada sidang media beberapa hari yang selepas itu berkata, SPDP mempelawa UPP untuk membincangkan mengenai penggabungan antara kedua-dua parti itu. Keputusan itu katanya, telah dicapai sebulat suara dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi di ibu pejabat SPDP, Selasa lepas.
Dalam sejarah politik Sarawak, penggabungan bukan sesuatu yang asing. Sebenarnya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) lahir daripada penggabungan.
Beberapa tahun lalu, SPDP dan Parti Rakyat sarawak (PRS) juga berura-ura untuk bergabung, tetapi, ia tidak menjadi kenyataan. Untuk bergabung, bukan mudah. Bagi membolehkan sebarang penggabungan dua parti yang berbeza dasar dan ideologi serta keanggotannya, memerlukan banyak persefahaman, tolak ansur dan kompromi di kedua-dua pihak.
UPP mempunyai orientasi kecinaan dan dianggotai masyarakat Cina berbanding SPDP yang dianggotai ahli Bumiputera tetapi diterajui pemimpin Cina. Mungkinkah kedua-duanya dapat meleburkan perbezaan tersebut?
UPP mentafsirkan syor tanpa syarat bagi penggabungan dengan SPDP sebagai bersyarat. Inilah hebatnya orang politik. Mereka dapat membaca sesuatu kenyataan dengan pelbagai cara. Tiong dipetik sebagai berkata, mereka yang hendak menyertai parti itu perlu melakukannya tanpa syarat.
Untuk itu, UPP mentafsirkannya sebagai , ahli UPP yang hendak bergabung dengan SPDP menyertainya sebagai ahli biasa, dan peruntukan jawatan dalam SPDP tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi SPDP.
Jika Tiong serius untuk membuka pintu kepada UPP, kata parti itu, beliau tidak sepatutnya mengenakan syarat tanpa syarat. Keadaan ini berbeza daripada jika terdapat cadangan penggabungan daripada kedua-dua parti.
Bagi UPP, tidak realistik bagi satu pihak untuk berkorban segala-galanya dan membiarkan pemimpin dan ahlinya kepada pemimpin parti yang hendak disertai.
“Satu parti tidak boleh mengenakan kepada pihak lain bahawa ia perlu menyertai parti itu tanpa syarat, kerana itu tidak realistik dan tidak boleh diterima oleh parti yang hendak bergabung,” kata kenyataan UPP.
Memang, penggabungan kedua-dua parti itu dapat memperkukuh Barisan Nasional, kerana konflik dan politiking akan dapat dikurangkan.
Persoalannya, mungkinkah itu berlaku? Atau ia hanya omong kosong dan angan-angan. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment