‘Rakyat Kena Sedia Berubah’
PARTI Bersatu sah bergelar parti politik di negara ini tanggal 8 September. Walaupun baru lebih dua minggu didaftarkan, sambutan rakyat terhadap parti baharu diterajui Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan di luar jangkaan.
Fenomena politik ini seakan memberi nafas baharu kepada dunia politik negara yang sebelum ini hanya diwarnai BN dan Pakatan Harapan.
Aura beberapa bekas pemimpin Umno yang kini menerajui kepimpinan Bersatu seolah memberi tamparan hebat kepada Umno. Kepada wartawan, ROSLINDA HASHIM, Naib Presiden Bersatu, Datuk
Seri Mukhriz Mahathir menjelaskan misi dan hala tuju parti itu.Apa tujuan Bersatu ditubuhkan? Benarkah mahu membawa suara hati rakyat atau semata-matu ingin membalas dendam terhadap Umno?
Bersatu tidak mahu sekadar menjadi pembangkang selamanya, walaupun kita membawa suara rakyat, kita serius mahu tubuhkan kerajaan baharu di Malaysia. Saya harap rakyat mempersiapkan diri mengubah minda mereka untuk bersedia hadapi pertukaran kerajaan di peringkat Pusat kerana kami nekad mahu selamatkan negara ini daripada pelbagai kemelut. Kita bukan rakus kuasa atau jawatan, sebaliknya jelas dalam perlembagaan parti, kami menolak rasuah dan salah guna kuasa. Ini bukan sekadar cakap kosong atau mahu pancing sokongan, disebabkan itu pemimpin Bersatu dikenakan syarat sumpah jawatan dengan memegang al-Quran.
Sambutan terhadap parti ini dikatakan luar biasa. Apakah faktor penerimaan rakyat, adakah disebabkan rasa simpati kepada pemimpin ‘bersih’ yang dipecat atau rakyat memang dahagakan perubahan?
Saya akui ramai yang serahkan borang keahlian sejak pendaftaran dibuka, khususnya kalangan muda. Pada peringkat awal mungkin itu antara sebabnya, namun selepas tragedi itu, kami perlu serius tunjukkan bahawa Bersatu adalah alternatif yang boleh diyakini, bukan hanya kerana parti dibarisi tokoh politik berpengalaman seperti Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal atau dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya kerana kami berupaya tarik golongan yang sebelum ini tidak terlibat politik. Antaranya, bekas pegawai tinggi kerajaan yang boleh menyumbang dalam aspek pentadbiran, selain pakar ekonomi yang boleh berkongsi idea untuk atasi kemelut ekonomi. Kami beroleh sokongan pelbagai lapisan masyarakat yang mahukan perubahan. Dalam tempoh beberapa bulan sebelum PRU14, Bersatu akan tonjolkan kerajaan bayangan yang boleh meyakinkan rakyat, inilah barisan kepimpinan yang akan terajui kerajaan supaya rakyat dapat lakukan perbandingan dengan barisan Kabinet sedia ada. Saya akui dari aspek kualiti, beberapa pemimpin kerajaan sedia ada menunjukkan ketidakmatangan mereka dalam mengeluarkan kenyataan pelik seolah-olah memberi gambaran mereka tidak layak menang PRU lalu, tambahan pula kalangan mereka ada berjawatan menteri.
Bersatu diterima baik di Kedah. Dalam konteks negeri ini, adakah dek simpati kerana Datuk Seri dicantas daripada jawatan menteri besar secara paksaan atau stigma rampasan kuasa oleh pimpinan Umno Kedah menyebabkan rakyat Kedah memberontak?
Mungkin itu antara faktor penerimaan Bersatu di Kedah, namun saya tidak boleh mengharapkan simpati itu akan kekal hingga PRU14. Kami perlu tunjukkan Bersatu mampu bina kerajaan yang akan membela nasib rakyat lebih baik berbanding kerajaan sekarang. Ketika saya terajui Kedah selama dua tahun sembilan bulan, dibandingkan dengan tempoh kepimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (Menteri Besar), saya tak nampak apa kejayaan yang dicapai? Walaupun saya disuruh undur atas alasan gagal mentadbir dengan baik, adakah kepimpinan sekarang lebih baik daripada pentadbiran saya. Saya tidak nampak alasan digunakan untuk paksa saya lepaskan jawatan itu beri kekuatan kepada kerajaan sedia ada. Saya percaya sebelum ini manifestasi penolakan (rampas kuasa) berlaku dalam Stadium Darul Aman apabila Ahmad Bashah diboo, kini penolakan itu beralih dalam bentuk rakyat mendaftar sebagai ahli Bersatu.
Benarkah ramai bekas pimpinan terkenal Umno kini ahli Bersatu?
Ada yang berjawatan dalam Umno sertai Bersatu, ada yang serah borang senyap-senyap kerana menunggu masa sesuai untuk umum. Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian pun ada sertai kami, ini petanda positif. Kita tidak paksa sesiapa, ini atas keinginan mereka yang mahukan perubahan. Ramai kalangan rakan-rakan lama dalam Umno pun berminat, mereka mesra Bersatu tetapi belum daftar.
Rakyat kini semakin berani bersuara menyatakan bantahan terhadap pemimpin setelah Tun Dr Mahathir mula mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka. Situasi ini tidak dapat dilihat sebelum ini. Apa petandanya?
Jika pemimpin itu tidak berani mengkritik atau tegur kesalahan pemimpin atasan, kerana takut diambil tindakan atau dibuang kerja atau dianiaya, sampai bila-bila pun kita terima nasib sama. Walaupun mungkin rakyat tidak memihak pada kerajaan sedia ada, tak kan kita mahu tunggu PRU untuk bertindak perbetulkan keadaan. Atas sebab cemas itulah, saya dan Tun Mahathir bersuara kerana mahu perbetulkan keadaan dalam parti, namun kami yang terima akibatnya. Malah Majlis Raja-Raja pernah bertitah minta kerajaan selesaikan isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) agar keyakinan rakyat dapat dipulihkan terhadap kerajaan (BN), supaya rakyat kekal sokong kerajaan namun titah tidak diendahkan, teguran itu tidak diberi perhatian. Pemimpin perlu ambil risiko bertindak, baharu rakyat berani berubah.
Sebagai sebuah parti bongsu, adakah Bersatu sudah bersedia berdepan cabaran PRU14?
Kami sedang mempersiapkan diri! Bersatu akan bertanding sebanyak mungkin kerusi Dun dan parlimen, namun untuk capai hasrat itu parti perlu tambahkan keahlian secukupnya. Sasaran kami untuk capai 500,000 ahli menjelang hujung tahun ini. Dengan jangkaan PRU14 akan diadakan antara enam bulan hingga tempoh setahun, paling awal Mac 2017, Bersatu perlu siap sedia dalam semua aspek. Saya yakin hasrat kami untuk bina kerajaan baharu tercapai jika mendapat sokongan padu dan rakyat mendaftar sebagai ahli. Saya sendiri akan mengetuai Bersatu di Kedah (Pengerusi Bersatu Kedah), malah saya juga akan bertanding di Kedah, kawasan mana biarlah dirahsiakan dahulu. Telahan konon saya akan bertanding di Putrajaya oleh pihak tertentu adalah silap. Saya pilih Kedah!
Sebelum ini Datuk Seri tegaskan, pembangkang perlu elakkan pertandingan tiga penjuru, supaya berlaku satu lawan satu dengan BN pada PRU14. Bagaimana dengan kehadiran calon bebas yang kelak akan pecahkan undi di kawasan?
Aspek ini perlu diperhalusi. Calon bebas biasanya dari sebuah parti, namun mereka tidak akan ke mana jika berseorangan. Mereka mungkin hilang deposit, namun yang kita bimbangkan ialah calon bebas itu ditaja pihak tertentu. Mereka mungkin berpakat dengan mana-mana parti atau pihak tertentu untuk pecahkan undi. Kita perlu selidik sama ada calon itu ditaja parti atau bergerak atas individu.
Umno kini giat melakukan kempen daftar pemilih, pada masa sama Bersatu rancak mendaftar keahlian. Adakah situasi berbeza ini memberi sebarang kesan?
Memang ada kesan tersendiri namun hakikatnya, seseorang yang mendaftar sebagai pengundi tidak semestinya undi parti itu. Ada kemungkinan mereka yang mendaftar parti Umno, memilih Bersatu pada PRU14. Pendirian generasi muda di luar jangkaan, jangan ambil mudah. Namun saya agak kesal apabila dimaklumkan proses daftar pemilih kini makin rumit, terdapat aduan borang kehabisan di pejabat pos, ia tidak sepatutnya berlaku, keadaan itu seolah ada usaha menidakkan hak orang muda untuk mengundi, kerana umum mengetahui generasi muda cenderung kepada pembangkang.
Difahamkan wujud borang palsu keahlian Bersatu diedar untuk tujuan sabotaj. Adakah ia berlaku di semua negeri?
Beberapa lokasi dikesan edarkan borang palsu antaranya di Pulau Pinang dan Perak. Kami berjaya mengesan tiga jenis borang palsu, mirip borang asli termasuk logo. Saya bimbang ada yang tersilap isi borang palsu, mohon berhati-hati. Saya ingin tegaskan, terdapat nombor siri pada borang asli untuk rekod pendaftaran selain untuk elak pemalsuan ahli. Borang atas talian juga boleh diakses untuk kemudahan.
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2cEmN1L
Post a Comment