Seorang maut, dua kenderaan guru perempuan berlanggar, terjunam dan terbalik dalam parit di Lundu
LUNDU: Kerana tergelincir ketika memandu dalam gelap, seorang guru perempuan maut apabila kenderaan Perodua Viva yang dipandunya melintang ke tengah jalan sebelum dirempuh oleh sebuah kenderaan Proton Pesona yang dipandu juga seorang guru perempuan yang datang dari arah yang sama, dekat sini awal pagi tadi.
Kejadian berlaku di atas jalan yang berbatu dan tidak berturap berhampiran feri Rambungan, yang sedang dalam proses naik taraf untuk mengelakkannya dinaiki air.
Menurut Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Alexson Naga, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 pagi tadi ketika kedua-dua kenderaan ini sedang bergerak menuju Lundu dari Kuching.
“Akibat pelanggaran tersebut kedua-dua kenderaan terjatuh ke dalam parit berdekatan, dengan kenderaan Perodua Viva terbalik dan dimasuki air.
“Kedua-dua mangsa juga tersepit, namun pemandu kenderaan Perodua Viva kemudian didapati tidak bernyawa.
Kata Alexson, mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai Noriza Mohamed, 31, seorang guru di SMK Lundu yang berasal dari Kampung Teluk Melano.
“Manakala pemandu kenderaan Proton Pesona yang cedera dikenali sebagai Raudatul Jannah Shariman, dari Kampung Pinang Jawa.
Penolong Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan memberitahu, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 6 pagi dan sebuah jentera serta sebuah ambulans EMRS digerakkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dengan kekuatan seramai sembilan pegawai dan anggota.
“Anggota kemudian mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dengan menggunakan hydraulic rescue tools.
“Mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada pasukan paramedik untuk dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata Farhan.
Punca sebenar kes masih dalam siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment