Ibu bapa pelajar hilangkan diri di Paris mahu jumpa JPA
SUNGAI PETANI – Ibu bapa kepada pelajar Malaysia yang dilapor hilang di Paris sebelum ini Nur Shakinah Naim, 19, mahu bertemu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membincangkan status pengajiannya.
Bapanya Naim Awang, 46, berkata, pertemuan dengan penaja anaknya itu juga bertujuan mencari universiti tempatan yang sesuai untuk anaknya bagi meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan.
“Alhamdulillah kami selamat sampai bersama Nur Shakinah ke tanah air, namun buat masa ini dia tinggal di rumah saudara kami buat sementara waktu bagi memberi ruang kepadanya untuk menenangkan fikiran,” katanya kepada Bernama.
Naim dan isterinya Nor Halizah Ahmad, 43, kembali ke Malaysia pada Jumaat lalu setelah hampir seminggu berada di Paris untuk bertemu dan membawa Nur Shakinah pulang.
Kehilangan pelajar itu sejak 23 September lepas dilaporkan oleh teman serumahnya, bagaimanapun dia ditemui selamat pada 29 September lalu.
Difahamkan Nur Shakinah menghilangkan diri kerana tertekan dengan pengajiannya.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekula jaya, Takim Batu, Kedah ini melanjutkan pengajian ke Universitaire de Technologie (IUT), Rouen, Perancis atas tajaan JPA.
Universiti Malaysia Perlis (Unimap) sebelum ini dilapor sebagai bersedia untuk menawarkan tempat kepada Nur Shakinah. – Bernama
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment