Polis Kuching berkas perompak hotel bersiri awal pagi tadi
KUCHING: Perompak bersiri hotel bajet yang menjadi viral selepas aksinya dirakam dalam rakaman litar tertutup baru-baru ini berjaya diberkas pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Kuching dan Ibu Pejabat Kontijen tengah malam tadi.
Suspek yang berusia 32 tahun ditangkap sekitar jam 12.35 pagi hasil intipan pasukan tersebut di salah sebuah hotel bajet berhampiran Pusat Komersial Central Park, Jalan Road dekat sini.
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar, ketika ditangkap, suspek dalam keadaan khayal, dipercayai kerana dadah.
“Suspek mula melakukan aksinya ada jam 10.20 pagi, 2 Oktober lalu apabila merompak sebuah hotel bajet di Jalan Airport dekat sini.
“Ketika itu suspek telah menuju ke kaunter untuk membuat tempahan bilik, sebelum mengeluarkan sebilah parang, mengacunya kepada petugas kaunter dan memaksanya menyerahkan wang tunai sebanyak RM1,900 sebelum melarikan dua telefon bimbit.
Kata Dev lagi, suspek sekali lagi mengulangi tindakannya, dan kali ini merompak sebuah hotel bajet di Taman Satria Jaya, BDC dekat sini sekitar jam 3.25 pagi.
“Suspek berjaya memaksa petugas kaunter wanita untuk menyerahkan wang tunai RM1,500 dan telefon bimbit.
Kes ketiga pula berlaku sekitar jam 2.20 pagi, 7 Oktober lalu apabila suspek menyerbu sebuah hotel bajet di Padungan.
“Ketika ini mangsa dan dua rakannya berjaya melarikan diri dan suspek mengejarnya, sebelum berundur apabila mendapati petugas kaunter berjaya mendapatkan pertolongan pelanggan hotel.
“Bagaimanapun suspek berjaya melarikan satu unit laptop dan dua telefon bimbit.
Pada pagi yang sama kata Dev, sekitar jam 5.30 pagi, suspek merompak sebuah lagi hotel bajet di Jalan Song Thian Cheok dekat sini, dan sekali lagi petugas wanita berjaya melarikan diri apabila melihat suspek membawa parang.
“Bagaimanapun suspek berjaya menahan pengawal keselamatan hotel sehingga dia menggeledah laci dan melarikan wang tunai RM150.
Pada hari yang sama kata Dev, suspek melakukan rompakan kelima sekitar jam 7.25 petang hotel bajet yang sama, yang dirompaknya pada 2 Oktober dan berjaya melarikan wang tunai RM350 dan telefon bimbit.
“Rompakan keenam berlaku pada 8 Oktober lalu, sekitar jam 4.20 pagi di Jalan Rock apabila suspek pergi ke kaunter untuk bertanyakan bilik, sebelum seorang rakannya muncul dan menghayunkan parang kepada petugas kaumter.
“Petugas wanita tersebut bagaimanapun menggunakan tangan untuk mengelak tetakan suspek, menyebabkan dia terpaksa menerima 18 jahitan selepas itu.
“Dalam aksi ini, suspek melarikan wang tunai RM200,” kata Dev.
Pada Ahad lalu, suspek mengganas lagi.
“Kali ini dia merompak sebuah bakeri di Taman BDC sekitar jam 9.30 malam ketika kedai hendak ditutup.
“Dua pekerja yang melihat suspek menyerbu masuk dengan menggunakan parang, berusaha menyelamatkan diri termasuk seorang bersembunyi di dalam tandas.
Berang dengan tindakan pekerja terbabit, kata Dev, suspek berulang kali menetak pintu tandas dan memaksa pekerja wanita tersebut
keluar dan menyerahkan wang tunai RM2700 yang disimpan di dalam laci kaunter.
Kata Dev, kejayaan ini amat membanggakan kerana pasukan khas yang ditubuhkan bekerja siang malam tanpa kenal penat lelah untuk menjejakinya.
Suspek kini sedang ditahan reman untuk membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment