Pencemaran air: Rakan Alam kemuka 6 cadangan
KUALA LUMPUR: Rakan Alam memandang berat insiden penutupan loji yang hampir berlaku setiap tahun di negara ini.
Timbalan Pengerusi Rakan Alam, Dr Mohammad Ibrahim berkata, antara langkah yang perlu dilaksanakan untuk menangani masalah berkenaan adalah dengan menggunakan inovasi teknologi untuk memantau pelepasan sisa cecair dan pepejal secara proaktif dari lokasi industri.
Selain itu beliau berkata peruntukan belanjawan yang lebih tinggi untuk menyokong pelan strategik yang sudah digariskan Dasar Sumber Air Negara khususnya buat agensi penguat kuasa yang terlibat sama ada di peringkat Kerajaan Pusat ataupun di peringkat Kerajaan Negeri juga amat penting.
Dr Mohammad juga berharap agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berganding bahu untuk segera mewartakan kawasan tadahan air, selain melibatkan penyertaan masyarakat sebagai ‘Penguat kuasa Sukarelawan’.
Beliau turut mencadangkan Pelan Tindakan Kecemasan Bersepadu dilaksanakan melalui kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk membantu seluruh pengguna ketika gangguan bekalan air dalam masa yang munasabah.
Pada tahun ini sahaja, katanya, kita dikejutkan dengan gangguan bekalan air bersih kepada 120 ribu pengguna di Johor akibat penutup Loji Rawatan Sungai Johor, Semanggar 1 dan 2 serta Tai Hong. Diikuti dengan penutupan Loji Rawatan Air Semenyih Selangor beberapa hari yang lalu sehingga menjejaskan bekalan air bersih kepada 1.8 juta penduduk dari 4 daerah di Negeri itu.
“Kenapa masalah yang sama iaitu penutupan Loji Rawatan Air (LRA) saban tahun berlaku di Negara ini? Yang paling mengejutkan Rakan Alam adalah pengakuan dari Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili baru-baru ini bahawa penutupan LRA Semenyih Selangor akibat pencemaran sudah pun berlaku sebanyak 6 kali dari 2006 lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun diakui beberapa langkah tindakan dan pelan strategik untuk pemuliharaan sumber air sudah dikenal pasti sehingga Dasar Sumber Air Negara (DSAN) digubal dan diluluskan pada tahun 2012, insiden pencemaran air sehingga menjejaskan LRA khususnya pada tahun ini sahaja menunjukkan sasaran untuk memastikan sumber air yang terjamin dan lestari untuk menyokong keperluan manusia dan alam sekitar di Negara ini masih jauh dari sasaran yang kita harapkan.
Berdasarkan dua insiden di Johor dan Selangor itu, katanya, Rakan Alam berharap pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui agensi yang ada dapat memberi fokus atau tumpuan yang lebih kepada cadangan yang dikemukakannya.
Beliau berkata, Rakan Alam yakin dengan tumpuan kepada cadangan berkenaan mampu mengurangkan insiden pencemaran air dalam jumlah yang ketara malah dapat memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat sentiasa dilindungi sepanjang masa. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment