Hi! Welcome Back and Stay Tune! Setiausaha Pemuda BN tempelak Aziz Isa, mencabar perang rasuah di Pulau Pinang terlebih dahulu - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Setiausaha Pemuda BN tempelak Aziz Isa, mencabar perang rasuah di Pulau Pinang terlebih dahulu

KUCHING: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak malam tadi mencabar Pemuda Sosialis DAP supaya memulakan usaha memerangi rasuah di Pulau Pinang jika mereka benar-benar serius mahu memerangi gejala rasuah seperti yang didakwa.

Setiausahanya, Leonard Jambu berkata, tidak perlu untuk Pemuda Sosialis DAP berpura-pura, kononnya sehingga  menunggu mereka berjaya menawan Putrajaya untuk memerangi rasuah.

“Sebaliknya mereka boleh dan harus  memulakannya di negeri yang kini dalam pentadbiran pembangkang, khususnya Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Di Pulau Pinang katanya, Ketua Menteri DAP, Lim Guan Eng sendiri kini berhadapan perbicaraan di mahkamah atas pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah paras nilai pasaran.

“Manakala Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) negeri Pulau Pinang untuk Projek Terowong Dasar Laut  bernilai RM6.34 bilion yang penuh dengan kontroversi juga sudah dua kali gagal dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan kini sudah terlewat selama setahun.

Malah yang lebih menggerunkan, kata Leonard,  kos yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut  yang mencecah RM305 juta itu juga masih menjadi persoalan besar bagi rakyat Pulau Pinang sendiri.

“Ini jelas membuktikan kenyataan media yang dibuat oleh Abdul Aziz Isa, Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak yang juga Setiausaha Publisiti Pemuda Sosialis DAP Petra Jaya, kononnya mereka akan memerangi rasuah secara besar-besaran jika berjaya menawan Putrajaya, adalah gimik dan sandiwara politik semata-mata.

“Ia ibarat ‘cakap tidak serupa bikin’,” katanya.

Tegas Leonard, memerangi dan menghapuskan gejala rasuah sememangnya menjadi keutamaan Kerajaan BN selama ini.

“Dan usaha berterusan dilakukan untuk memperkukuh dan memartabatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjayakan agenda benci rasuah.

DAP katanya, hanya pandai mempolitikkan isu dan bermain ‘blaming game’.

“SPRM bertindak tanpa mengira latar belakang parti dengan banyak tangkapan sudah dibuat termasuk yang terbesar di Sabah baru-baru ini.

“Itulah komitmen Kerajaan BN dalam membanteras rasuah dan kebebasan diberikan kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan memerangi rasuah.

Malah di Sarawak katanya, YAB Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sendiri amat lantang bersuara membanteras rasuah dan memberi amaran akan menyokong tindakan tegas terhadap pelakunya.

“Ini dapat disaksikan dengan pembekuan permit pembalakan dan perladangan serta usaha memerangi pembalakan haram secara berterusan.

“Pada masa sama juga agensi penguatkuasaan negeri semakin diperkasakan.

Menurut Leonard, merujuk kepada kenyataan Bank Dunia pada tahun 2008,  rasuah jika tidak dibendung boleh menyebabkan negara kerugian RM10 billion setahun dari segi pertumbuhan domestik, dan ia merupakan kenyataan secara umum.

“Bank Dunia menyebut secara am bahawa  rasuah boleh menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi sesebuah negara mengalami defisit antara 2 peratus hingga 4 peratus.

Bank Dunia tambahnya, tidak pula mengatakan bahawa Malaysia mengalami kehilangan RM10 billion kerana gejala rasuah.

Kenyataan Pemuda Sosialis DAP yang kononnya Ketua Audit Negara melaporkan bahawa RM28 billion telah dibazirkan dalam pemerolehan kerajaan juga tidak tepat.

“Ketua Audit Negara tidak pernah mengeluarkan laporan sebegini dan besar kemungkinan, angka RM28 billion ini dipetik daripada propaganda media sosial pembangkang sendiri.

Justeru itu Pemuda BN Sarawak berharap Pemuda Sosialis DAP lebih bertanggungjawab atas kenyataan rasmi mereka dan tidak lagi memetik angka dan fakta salah, daripada sumber yang tidak sahih untuk mengelirukan rakyat.

“Hakikatnya Kerajaan BN sudah lama memerangi rasuah dan penyelewengan, sedangkan Pemuda Sosialis DAP ‘baru bangkit dari tidur’,” tegasnya. – Sarawakvoice



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.