10 Jenis Pasta Yang Anda Patut Tahu Bagaimana Cara Memasaknya
Restoran makanan Itali sinonim dengan hidangan berasaskan pasta. Bahkan, ada pelbagai jenis pasta yang mungkin kita tidak biasa dengar dan mungkin juga tidak pernah mendengar tentangnya jika restoran itu memang pakar dalam hidangan dari Itali.
Pasta dipopularkan sekitar pertengahan abad ke-20 di Itali. Secara asasnya ia diperbuat daripada campuran bahan-bahan seperti tepung, telur dan air; lalu dikeringkan.
Dikatakan terdapat berpuluh-puluh jenis pasta yang terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk. Ada yang panjang, ada yang pendek. Ada juga yang berbentuk unik dan berwarna-warni.
Pasta perlu direbus dalam air mendidih, kemudian barulah dikombinasikan dengan bahan-bahan hidangan lain seperti salad atau digaulkan bersama sos dan ditaburkan dengan keju diatasnya.
Makanan yang berusia lebih 500 tahun ini menjadi pilihan di serata dunia tanpa mengira bangsa. Pasta mudah dimasak ini juga menyihatkan tubuh badan dan tahan lama jika disimpan dengan sempurna.
Satu lagi keistimewaannya, ia boleh dihidangkan dalam keadaan panas atau sejuk. Selain itu, pasta juga merupakan pilihan yang baik dari segi kesihatan disebabkan kandungan kalorinya yang rendah, diperkaya dengan folat dan membekalkan serat.
Pernah dengar perkataan pasta macaroni, fettucine atau ravioli? Apakah perbezaan mereka? Tak tahu?
Baiklah, memandangkan kita tidak mungkin kenal semua jenis pasta dan cara masakan yang sesuai dengannya, di sini terdapat 10 jenis pasta yang anda patut tahu. Turut disertakan cara penggunaannya dalam masakan.
1. Macaroni
Berasal daripada perkataan ‘maccheroni’, makaroni adalah pasta pendek berbentuk lengkung seperti huruf C. Ia juga dipanggil pasta ‘elbow’. Hidangan yang paling popular ialah macaroni yang dibakar bersama keju (macaroni and cheese). Namun begitu, makaroni juga boleh direbus lalu digoreng atau dimasukkan ke dalam sup.
2. Farfalle
Farfalle dalam bahasa Itali bermaksud kupu-kupu. Juga dikenali sebagai pasta ‘bowtie’ kerana bentuknya. Ia lazat dijadikan salad pasta sejuk atau dicampur bersama semangkuk daging dan sayur-sayuran.
3. Conchieglie
Conchieglie bermakna cangkerang dalam bahasa Itali. Pasta yang berbentuk cangkerang ini wujud dalam pelbagai saiz. Bagi yang bersaiz besar, boleh disumbatkan inti kemudian dibakar. Yang bersaiz sederhana pula boleh dijadikan kaserol atau dimakan bersama sos berdaging dan bersaiz paling kecil pula boleh dimasukkan ke dalam sup atau stew.
4. Fettucine
Maksud fettucine ialah ‘riben kecil’ kerana bentuknya yang leper dan panjang berbentuk seperti potongan-potongan riben. Ia sesuai dimakan bersama sos pekat seperti sos tomato berdaging atau carbonara
5. Angel Hair
Berbentuk seperti spageti tetapi lebih kecil dan halus seakan mihun. Pasta ini cepat dimasak dan mudah disediakan. Sesuai digandingkan bersama kuah yang tidak terlalu pekat atau dikacau goreng dengan sedikit mentega, minyak zaitun kemudian ditabur sedikit herba kering Itali.
6. Gnocchi
Gnocchi adalah pasta berbentuk bebola atau bujur yang diperbuat daripada kentang, telur dan tepung. Strukturnya sedikit kenyal dan sesuai dihidangkan dengan sebarang sos pekat atau dibakar bersama tomato dan keju.
7. Orzo
Jangan tersilap menyangka orzo ini nasi ya! Orzo sebenarnya ialah pasta namun bentuknya seakan-akan nasi. Pasta ini boleh digaul dengan sayuran atau sebarang protein dan dijadikan salad. Boleh juga dimasukkan ke dalam sup atau stew.
8. Penne
Pasta ini berbentuk tiub iaitu berlubang di tengah dan dipotong serong dihujungnya. Berukuran lebih kurang 2 inci, pasta penne sesuai digunakan dalam bersama sos pekat atau dijadikan salad.
9. Ravioli
Ravioli merupakan pasta berbentuk segi empat atau bulat yang berisi inti. Pelbagai jenis inti seperti keju, daging, sayur-sayuran atau makanan laut boleh diisi ke dalam doh pasta nipis untuk menghasilkan ravioli ini. Ia seterusnya dimasak dalam sos, sup atau digoreng dengan sedikit minyak zaitun.
10. Fusili
Bermakna ‘corkscrew’ dalam bahasa Itali, disebabkan bentuknya. Turut dikenali sebagai pasta ‘spiral’. Fusili sesuai dimasukkan ke dalam salad atau dihidangkan dengan sos yang pekat. Kadangkala fusili dihasilkan dalam pelbagai warna menjadikan ia suatu hidangan yang menarik di atas pinggan.
Sumber : VOCKET
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
Post a Comment