Benarkah Kita Menghukum Untuk Mendidik Anak, 7 Perkara Ini Perlu Diambil Kira Terlebih Dahulu Sebelum Menghukum Anak
Mempunyai anak merupakan anugerah terindah buat ibu bapa, ia adalah salah satu tahap yang baru, yang mana ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang harus dipikul dalam memastikan anak, dan keluarga mempunyai keperluan yang mencukupi.
Anak seperti sehelai kain putih, yang mana ibu bapa adalah insan yang mencorak mereka. Jadi, didikan yang baik harus diterapkan kepada diri mereka semenjak kecil lagi. Degil, sukar mendengar kata, atau kuat menangis antara perangai yang sudah sebati dengan ,mereka, dan jika berdepn situasi seperti ini, ibu bapa mungkin mudah untuk memarahi.
Namun begitu, tidak semua kesalahan, atau perbuatan harus diberikan hukuman, dan menganggap ia adalah proses untuk mendidik, kerana menurut laman Parent Connect, terdapat 7 perkara yang perlu diambil kira, sebelum boleh menghukum anak.
Mari kita ketahui, apa 7 perkara tersebut.
BETULKAH KITA MENGHUKUM KERANA MENDIDIK? 7 FAKTOR YANG PERLU DIAMBIL KIRA
Apabila anak menunjukkan tingkah laku yang tidak menyenangkan kita dan menimbulkan kemarahan kita, perasaan geram itu akan membuatkan kita ingin menghukum. Hukuman itu dirasakan perlu bagi tujuan mendidik. Sebelum menghukum, adakah jelas dalam hati dan pemikiran kita akan tujuan kita menghukum?
HUKUMAN YANG MENDIDIK SEPATUTNYA:
SEBELUM MENGHUKUM PERLULAH:
1) Mengambil Kira Tahap Perkembangan Anak
Kebanyakan tingkah laku anak kecil yang menyebabkan kita sering melabel mereka sebagai nakal dan degil, berlaku kerana perkembangan fizikal, emosi, kognitif (pemikiran), dan sosial mereka belum berkembang. Kiranya dihukum dengan tidak wajar, anak-anak ini tidak faham di mana silapnya mereka. Hukuman itu mungkin hanya menyakitkan fizikal mereka, menakutkan mereka dan mengganggu emosi mereka tetapi tidak mendidik mereka untuk berubah.
Contohnya anak yang sering tumpahkan air atau pecahkan pinggan, berkemungkinan belum matang perkembangan motor halus dan motor kasarnya ataupun kemungkinan belum mencapai koordinasi tangan dan mata yang sempurna. Faktor perkembangan perlulah diambil kira sebelum menghukum.
Anak kecil yang menggigit rakannya atau tidak mahu berkongsi permainan, berada dalam fasa perkembangan sosial dan emosi yang belum lagi terbentuk sepenuhnya. Anak ini harus dibantu dan dibimbing terlebih dahulu. Menghukum dengan menampar tangannya atau pipinya tidak membantu perkembangan sosial dan emosi anak tersebut. Hukuman itu sudah tentulah tidak mendidik.
Anak yang sering memukul, menumbuk dan mengasari kanak-kanak lain kemungkinan besar meniru perbuatan orang dewasa yang rapat dengannya ataupun meniru aksi watak yang ditonton di kaca tv. Cari puncanya terlebih dahulu.
2) Menyediakan Keperluan Asas
Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk menyediakan keperluan asas anak supaya mereka dapat berkembang dengan sihat dan cerdas. Tertunai atau tidak keperluan asas ini juga menentukan tingkah laku anak-anak. Keperluan asas bukanlah hanya makanan, pakaian, rehat, tidur dan tempat tinggal.
Keperluan asas seorang anak juga termasuk perhatian, ‘connection’, keselamatan, rasa kekitaan (belonging), peluang untuk bermain dan peluang eksplorasi. Apabila keperluan asas ini tertunai, anak-anak merasa selamat, sihat, disayangi dan dihargai.
Apabila keperluan asas ini tidak tertunai, anak akan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan meluahkan emosi. Anak akan berkomunikasi melalui perbuatan seperti berkelakuan tidak tentu arah, menjadi kaget, tidak mengikut arahan dan peraturan, menguji batasan, lasak tidak bertempat, sering mengomel dan sebagainya.
Sebelum menghukum anak, fikirkanlah dahulu tentang kesempurnaan sifat dan tanggungjawab kita sebagai ibubapa. Usah menjadi ketam.
3) Tidak Membanding-Bandingkan Anak
Hukuman yang dikenakan kerana “anak yang ini tidak sama seperti kakaknya”, atau “tidak sama seperti adiknya” atau “tidak sama seperti anak si fulan dan si fulan” atau “tidak sama seperti kita masa kecil dahulu”, dengan jelas bukanlah hukuman yang mendidik.
Hukuman yang mendidik memfokuskan pada tingkahlaku dan bukannya kepada individu.
Apabila kita membanding-bandingkan, kita lebih memberi fokus kepada individu. Yang mengecewakan kita adalah tingkah lakunya bukan orangnya. Apabila perbandingan dibuat, hukuman itu sudah lari dari matlamat mendidik.
Setiap anak adalah berbeza, tidak perlu dibanding-bandingkan. Ibubapa perlu meluangkan masa untuk mengenali kelebihan dan kekurangan anak. Hanya dengan cara itu kita dapat berlaku adil kepada anak. Tanpa mengenali anak, dan tanpa memahami kenapa anak tersebut berkelakuan tidak sama seperti orang lain, hukuman itu hanyalah satu kekejaman dan penderaan terhadap anak.
4) Tidak Melabel
Dari semasa ke semasa, seorang anak membentuk imej diri (self image). Cara yang paling berkesan untuk anak mengenali dirinya adalah melalui kata-kata dan gambaran-gambaran yang diberikan oleh individu-individu di sekeliling anak terutamanya ibubapa, guru, pengasuh, saudara-mara dan rakan-rakan rapat.
Gunakanlah perkataan-perkataan yang menyakinkan anak bahawa mereka sememangnya baik dan boleh menjadi baik dan lebih baik. Ingatkanlah anak tentang kebaikan yang pernah mereka lakukan dan tingkah laku positif yang pernah mereka tunjukkan. Tunjukkanlah bahawa kita menghargai dan mengharapkan kebaikan daripada anak.
Memaki hamun, memperkecil-kecilkan dan melabel dengan panggilan yang tidak elok akan mematikan semangat anak. Ia juga akan menjadi suara-suara dalam diri anak yang akan menghalang mereka untuk membuat kebaikan. Suara-suara dalaman itu akan membentuk diri dan keperibadian mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘Kata-kata adalah suatu doa’.
5) Dahului Dengan Bimbingan, Susuli Dengan Bimbingan
b) Adakah di rumah sudah ada peraturan untuk membentuk disiplin anak?
c) Adakah kita meluangkan masa dan membimbing anak melalui kisah-kisah teladan yang boleh menyentuh naluri mereka?
d) Adakah hukuman itu juga disusuli dengan bimbingan (follow through) yang konsisten? Atau adakah hukuman itu sekejap ada sekejap tidak ada?
6) Tidak Menggunakan Allah SWT dan Neraka Untuk Mengugut Anak
Anak-anak kecil cepat merasa takut. Ketakutan tidak membantu anak untuk berkelakuan lebih baik malah anak akan menjauhkan diri dari faktor yang menakutkan anak. Berikanlah anak khabar gembira tentang betapa penyayang, pengasih dan pengampunnya Allah SWT. Apabila mereka berbuat walau sekecil-kecil kebaikan, yakinkanlah bahawa Allah SWT sayangkan mereka dan kasihkan mereka yang berbuat kebaikan.
7) ‘Connection’
Akhir sekali, hukuman yang mendidik adalah hukuman yang lebih merapatkan ibubapa dan anak dari segala aspek. Jika hukuman tersebut hanya menimbulkan kebencian dan mempengaruhi ‘connection’ dan komunikasi antara ibubapa dan anak, hukuman itu tidaklah mendidik. Hukuman itu hanya memudaratkan lagi keadaan.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
– Siakap Keli
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
Post a Comment