Terima Siapa Saja Yang Menang Presiden FAM
TAN Sri Annuar Musa beramah mesra dengan sebahagian masyarakat cina sambil menyampaikan ang pau diut raya pada Majlis Malam Tahun Baru Cina di Hotel Grand River (GRV) Kota Bharu. – Foto Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa berkata beliau bersikap terbuka dan akan menerima siapa sahaja yang menang dalam pemilihan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bulan hadapan.
Bagi Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu, FAM hanya persatuan kecil dan diterajui oleh pemimpin bola sepak, justeru tidak perlu timbul ketegangan atau situasi yang menjejaskan keharmonian.
Dengan itu, Annuar berharap akan ada perubahan dalam corak bola sepak negara kerana semua calon yang bertanding adalah berkelayakan.
“Soal pemilihan presiden biarlah ditentukan pada 25 Mac ini dan saya harap bola sepak Malaysia akan jadi lebih baik selepas ini.
“Bola memerlukan keceriaan, kesatuan, kerjasama dan semangat kesukanan. Jadi sebarang keputusan saya terbuka menerimanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menjangkakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bakal memenangi pemilihan jawatan itu pada Kongres FAM, 25 Mac ini.
Hingga hari ini hanya Annuar yang sudah menghantar borang pengesahan pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden FAM.
Tunku Ismail, Khairy serta bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat sebelum ini dilaporkan turut dicalonkan namun masih belum mengesahkan menerima pencalonan.
Semua calon terbabit perlu membuat pengesahan menerima pencalonan hingga Isnin ini dengan senarai akhir bertanding akan diumumkan pada mesyuarat exco FAM, 20 Februari ini.
Sumber : Siakapkeli
P/S Kami muatkan beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Jangan lupa untuk Like & Share! 😍 💕
Post a Comment