Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan: Oppo R9s - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan: Oppo R9s

Oppo R9s
Chipset Qualcomm Snapdragon 625
CPU 8 x Cortex-A53 2.0 GHz
GPU Adreno 506
Memori 4GB RAM
Storan 64GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 16MP auto-focus, f/1.7, rakaman 4K
Kamera Hadapan 16MP, f/2.0, rakaman 1080p
Skrin 5.5-inci AMOLED, 1080×1920 piksel, 401 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi, A-GPS, Bluetooth 4.0
Sistem Android 6.0 Marshmallow + Color OS 3.0
Bateri 3010 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 145g, 6.6mm

Oppo sebelum ini dilihat lebih banyak memasarkan peranti yang memfokuskan kepada selfie seperti model Oppo F1 Plus dengan kamera setinggi 16MP. Berbeza pada kali ini, Oppo R9s memfokuskan kepada keupayaan kamera belakang dengan jumlah aperture yang besar untuk meningkatkan lagi mutu penggambaran. Ia hadir dengan kamera 16MP f/1.7 yang membantu untuk memberikan pencahayaan yang lebih terang untuk penggambaran.

Spesifikasi Oppo R9S diposisikan sebagai peranti kelas pertengahan dengan kehadiran cip Snapdragon 625 daripada Qualcomm. Kelajuan pemprosesan ini menawarkan prestasi lebih tinggi berbanding Oppo F1 Plus yang membawakan cip MediaTek Helio P10. Dari segi penggunaan memori, kedua-dua peranti ini masih mengekalkan jumlah memori yang sama dengan 4GB RAM.

Persamaan yang dibawa kedua-dua peranti ini adalah dari saiz skrinnya iaitu pada saiz 5.5-inci yang berasaskan skrin AMOLED. Resolusinya masih sama iaitu 1080p yang dilihat masih mendapat tempat pada hari ini. Tetapi pada Oppo R9s, keselamatan skrin telah dipertingkatkan dengan kaca Gorilla Glass 5 berbanding Gorilla Glass 4 pada Oppo F1 Plus.

Dengan fokus terhadap keupayaan kamera belakang, ia juga beraksi dengan beberapa peranti utama seperti Galaxy S7 Edge yang juga menawarkan aperture yang sama iaitu sebesar f/1.7. Menariknya, ia ditawarkan pada harga RM1798 sekaligus mensasarkan fungsi fotografi pada harga yang lebih rendah berbanding memiliki peranti utama. Namun dengan penawaran spesifikasi kelas pertengahan, bolehkah ia memberikan nilai yang hebat untuk pengguna?

Rekabentuk

Rekabentuk Oppo R9s banyak mengambil inspirasi dari rekaan siri Oppo F1 baik dari segi rekaan hadapan dan belakang peranti ini. Rekaan hadapannya membawakan pengimbas cap jari statik yang juga berfungsi sebagai butang home. Sebaris dengan pengimbas cap jari ini turut menempatkan butang back dan multitasking kapasitif yang mempunyai sokongan lampu untuk penggunaan waktu gelap.

Bercakap mengenai prestasi pengimbas cap jari, saya boleh kata prestasinya hampir serupa seperti Oppo F1 Plus iaitu memberikan masa tindak balas sekitar 0.2s untuk menyahkunci peranti. Prestasi seperti ini cukup pantas apabila dibanding dengan kebanyakan peranti seperti Honor 8 yang menawarkan tindak balas sekitar 0.4s.

Rekaan belakang peranti pula agak mirip seperti siri Oppo F1 dengan penampakan garisan antena pada bahagian atas dan bawah. Rekaan antena ini walau bagaimanapun telah diberi pembaharuan dengan garisan yang lebih nipis yang kini telah dipecahkan kepada tiga garisan. Apabila dilihat pada bahagian atas peranti, ia menempatkan kamera 16MP f/1.7 yang kini membawakan rekaan sedikit terkeluar seperti kebanyakan peranti utama.

Pada bahagian sisi kanan peranti menempatkan butang kuasa disamping menawarkan slot kad sim dan storan tambahan microSD. Slot ini walau bagaimanapun hadir dengan rekaan hibrid sekaligus tidak dapat memanfaatkan kedua-dua sim kad apabila kad microSD sedang digunakan. Butang pelarasan suara ditempatkan di bahagian sisi kiri peranti dilihat mudah untuk dicapai walaupun memegang di sebelah tangan. Beberapa sambungan lain seperti earphone jack 3.5mm masih dikekalkan di bahagian atas peranti sementara menawarkan sambungan Micro-USB di bawah peranti.

Paparan pada Oppo R9s masih mengekalkan pengalaman yang sama seperti Oppo F1 Plus dengan kehadiran saiz 5.5-inci berasaskan AMOLED. Skrin jenis ini menawarkan paparan yang sangat terang disamping memberikan perwarnaan yang jitu untuk memaparkan kandungan multimedia. Paparan AMOLED ini juga amat membantu untuk jangka hayat bateri atas penggunaan tenaga yang lebih rendah berbanding IPS LCD.

Resolusi 1080p yang didatangkan masih berpatutan untuk kegunaan harian dengan ketumpatan piksel yang cukup tinggi iaitu 401ppi. Melihat skrin peranti ini dari sudut berbeza juga tidak memberikan sebarang masalah apatah lagi dilihat di bawah pencahayaan matahari. Untuk tujuan keselematan, Oppo telah meningkatkan ketahanan skrin Oppo R9s yang kini menggunakan kaca Gorilla Glass 5.

Pihak Oppo juga menawarkan satu variant sahaja untuk Oppo R9s dengan storan dalaman setinggi 64GB. Ia satu jumlah storan yang besar untuk pemasangan aplikasi, permainan, video, dan gambar-gambar anda. Tetapi sekiranya storan 64GB ini tidak mencukupi apatah lagi dengan kehadiran fungsi rakaman 4K pada peranti ini, Oppo R9s masih menyediakan sokongan storan luaran setinggi 128GB melalui penambahan kad microSD.

Sistem

Oppo R9s masih menjalankan dengan Color OS 3.0 seperti yang hadir pada Oppo F1 Plus. Ia membawakan antaramuka ceria dengan perletakkan aplikasi di home screen tanpa sebarang app drawer. Antaramukanya digarap dengan begitu kemas dan moden yang mana banyak dipengaruhi daripada antaramuka sistem operasi iOS. Cuma apa yang membezakannya dengan Oppo F1 Plus, Color OS 3.0 pada Oppo R9s kini telah dijana dengan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow berbanding Android 5.1 Lollipop pada sebelum ini.

Color OS 3.0 turut menawarkan beberapa kustomasi menarik seperti sokongan tema yang boleh dimuat-turun. Ia juga hadir dengan screen off gestures yang membolehkan pengguna mengaktifkan aplikasi dengan hanya melukis sesuatu gesture ketika skrin dimatikan. Ia turut menyertakan aplikasi Security Center dalam memudahkan pengguna menguruskan memori dan juga aplikasi yang sedang berjalan pada telefon anda.

Saya juga turut memuji Oppo dalam usaha mengurangkan perletakkan bloatware pada peranti mereka. Pada Oppo R9s, hanya terdapat aplikasi WPS Office dan Facebook sahaja yang dipasang secara terbina. Ia tidak begitu membebankan malah boleh dibuang sekiranya anda tidak menggemari dengan kehadiran aplikasi-aplikasi ini.

Benchmark Oppo R9s

Prestasi

​Sepanjang mengulas beberapa peranti Oppo sebelum ini, saya tidak mempunyai sebarang isu apabila melibatkan prestasi. Perkara ini termasuk Oppo R9s ini yang menawarkan pengalaman penggunaan harian yang cukup pantas melalui penggunaan cip kelas pertengahan Snapdragon 625.

Membuka aplikasi dan halaman web mampu dilancarkan dengan singkat tanpa perlu menunggu untuk seketika waktu. Begitu juga dari penggunaan multitasking, membuat penukaran aplikasi ke aplikasi lain terasa sangat lancar walaupun beberapa aplikasi lain sedang berjalan di belakang tabir. Penggunaan memori setinggi 4GB RAM dilihat banyak membantu untuk kelancaran prestasi ini.

Cip pemprosesan Snapdragon 625 yang digunakan pada Oppo R9s turut digunakan pada Xiaomi Redmi Note 4 untuk pasaran antarabangsa. Apabila diuji pada ujian benchmark, cip ini menawarkan skor sekitar 66297 selepas melakukan ujian pada AnTuTu Benchmark. Ia dilihat lebih tinggi berbanding Oppo F1 Plus melalui penggunaan cip MediaTek Helio P10 dengan mata sekitar 51158. Markah yang dicatatkan pada Oppo R9s juga meninggalkan sebuah flagship lama seperti LG V10 yang dijana dengan cip Snapdragon 810.

Dari segi prestasi permainan, Oppo R9s mampu memainkan permainan seperti Modern Combat 5 dengan lancar bersama bacaan frame rate yang begitu konsisten. Begitu juga memainkan permainan Asphalt Xtreme yang dilihat agak berat bagi kebanyakan peranti kelas pertengahan, namun Oppo R9S ini mampu memainkannya tanpa sebarang isu.

Kamera

Menjadi fokus kepada peranti ini adalah dari segi kamera 16MP f/1.7 yang dilihat mampu meningkatkan mutu fotografi terutama penggambaran waktu gelap. Saya sebenarnya cukup kagum dengan prestasinya atas penghasilan noise yang sangat rendah disamping meningkatkan pencahayaan penggambaran secara automatik. Prestasinya mengingatkan saya menggunakan peranti Galaxy S7 dengan kamera 12MP f/1.7, cuma pada kali ini saya menggunakan peranti yang harganya lebih berpatutan.

Begitu juga dari segi kawalan warnanya, ia dilihat menyerlah dengan perwarnaan yang hampir kepada neutral. Ia tidak terlalu saturated dan saya boleh kata warnanya agak seimbang dari segi kawalan warna cool dan warm. Keperincian imej terutama pada waktu siang juga memberikan hasil penggambaran yang tajam seperti kebanyakan peranti yang menyertakan sensor kamera dengan jumlah aperture yang besar.

Kamera hadapan Oppo R9s masih menawarkan prestasi yang sama seperti Oppo F1 Plus dengan kehadiran sensor 16MP f/2.0. Seperti peranti sebelumnya, prestasi selfie pada peranti ini cukup terang yang mana dibantu oleh algoritma pencantikkan wajah Beautify 4.0. Ia juga masih menyertakan fungsi mod Beautify yang membolehkan pengguna membuat pelarasan kulit untuk dipadankan pada selfie anda.

Beberapa fungsi turut ditawarkan pada peranti ini seperti mod HDR yang membantu untuk memberikan pencahayaan yang lebih baik pada gambar anda. Ia turut menyertakan mod Ultra HD yang membolehkan anda mengambil gambar sebesar 50MP melalui padanan kepingan gambar yang diambil. Peranti ini juga mampu menghasilkan gambar GIF dengan memilih mod GIF Animation pada aplikasi kamera peranti ini.

Fungsi kawalan manual yang hadir pada Oppo R9s dilihat menawarkan tetapan yang menyeluruh seperti kawalan ISO dan shutter speed. Oppo R9s menawarkan tetapan ISO sehingga 3200 saat bersama kawalan shutter speed sehingga 16 saat. Ia juga menyertakan kawalan white balance, exposure, dan fokus yang boleh ditetapkan mengikut keperluan fotografi anda.


Satu perkara yang menjadi nilai tambah kepada Oppo R9s berbanding F1 Plus adalah keupayaan rakaman 4K berbanding 1080p. Ia menawarkan resolusi yang cukup tinggi sekaligus memberikan keperincian video yang tajam apabila dilihat pada paparan beresolusi tinggi ini. Dari segi kualitinya saya boleh kata agak baik dari segi perwarnaan, namun gegaran pada video amat jelas dilihat atas ketiadaan Optical Image Stabilization (OIS).

Bateri

Peranti ini dilihat bukan sahaja memberikan prestasi kamera yang baik untuk harian, malah prestasi baterinya juga adalah sesuatu untuk dipuji. Dengan menampilkan kapasiti bateri sebesar 3010 mAh, Oppo R9s memberikan prestasi yang cukup baik untuk penggunaan sepanjang hari.

Menggunakan peranti ini, saya mudah mencapai penggunaan sekitar 14 jam dengan bacaan Screen-on-Time (SoT) sekitar 6 jam 48 minit. Ia suatu bacaan bateri yang cukup baik atas ketahanan bateri melebihi 4 jam SoT. Bacaan bateri ini juga sedikit menewaskan Oppo F1s dengan kehadiran kapasiti yang lebih kurang sama dengan bacaan SoT sekitar 6 jam 27 minit.

Oppo R9s turut menawarkan fungsi pengecasan pantas VOOC yang mampu menyingkatkan masa pengecasan peranti. Mengecas peranti ini hanya memerlukan sekitar 30 minit sahaja untuk mencapai sekitar 75%. Ia begitu pantas yang mana memerlukan sekitar sejam sahaja untuk mengecas peranti sehingga 100%.

Rumusan

Oppo R9s masih meneruskan kegemilangan Oppo F1 Plus yang menawarkan sebuah peranti yang seimbang dari sudut rekaan, paparan, kamera, prestasi, dan bateri. Oppo F1 Plus atau dikenali sebagai Oppo R9 telah dijual secara laris di China sehinggakan mampu mengalahkan jualan iPhone yang berada di tempat pertama buat sekian lama. Resipinya adalah mudah — dengan menghasilkan sebuah peranti yang menawarkan pengalaman penggunaan terbaik bersama kelima-lima aspek yang dinyatakan di atas.

Oppo R9s juga kini telah memfokuskan kepada kamera utama yang kini memberikan pengalaman fotografi yang lebih baik terutama ketika waktu malam. Kehadiran sensor 16MP f/1.7 sangat membantu untuk penggambaran waktu gelap malah meningkatkan lagi keperincian imej untuk penggambaran waktu siang. Disamping itu, Oppo R9s turut meningkatkan sudut prestasi yang kini dijana dengan Snapdragon 625 untuk penggunaan harian yang lebih pantas.

Pro
  • Aperture sebesar f/1.7 sangat membantu untuk penggambaran gelap
  • Prestasi lancar dan konsisten untuk penggunaan harian
  • Rekaan selesa untuk dipegang
  • Pengimbas cap jari mampu menyahkunci peranti dengan singkat
  • Menawarkan prestasi bateri sepanjang hari
  • Color OS 3.0 kini didatangkan dengan Android 6.0 Marhsmallow
  • Menyokong pengecasan pantas VOOC
Kontra
  • Tiada OIS
  • Tiada sokongan NFC
  • Tidak hadir dengan slot sim & microSD berasingan.
  • Tidak menjamin kemaskini untuk akan datang

Cuma ada beberapa perkara yang dilihat menjadi kekurangan pada peranti ini seperti ketiadaan Optical Image Stabilization (OIS) dalam membantu untuk mengurangkan gegaran ketika mengambil gambar dan juga video. Ia juga tidak menyertakan NFC yang sedikit sebanyak menyukarkan pengguna menyambungkan peranti yang berasaskan NFC. Bagi peminat peranti dwi-sim, peranti ini juga tidak membolehkan anda memanfaatkan kedua-dua sim dan kad microSD secara serentak atas kehadiran slot sim yang berasaskan hibrid. Satu lagi kelemahan adalah dari segi pemberian kemaskini Android baru yang dilihat kurang diambil perhatian oleh pihak Oppo.

Walau bagaimanapun, saya berasa seronok menggunakan Oppo R9s ini sepanjang mengujinya sekitar sebulan. Saya cukup suka dengan rekaannya yang kelihatan kemas, paparan AMOLED yang cukup terang, dan juga sistem pengecasan VOOC yang memberikan masa pengecasan yang cukup singkat untuk mengecas penuh peranti. Ia juga memberikan pengalaman pengguna seimbang yang pastinya anda akan berpuas hati apabila anda menggunakan peranti ini. Bagi saya, Oppo R9s adalah sebuah peranti yang sangat disyorkan bagi anda yang mahukan sebuah peranti yang pantas, kamera dengan hasil yang menyerlah, bersama keupayaan bateri sepanjang hari.






Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/2kwBl58

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.