Hi! Welcome Back and Stay Tune! Berbasikal Jadi Cara Hidup Mobiliti Di Kota - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Berbasikal Jadi Cara Hidup Mobiliti Di Kota

KUALA LUMPUR: Basikal bukan benda baru bagi Azrul Nasir Zaini.

Sejak kecil dia memang berbasikal, dan ia menjadi gaya hidupnya sejak berhijrah dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Bermula 2008, ke mana-mana sahaja Azrul akan berbasikal; untuk bergerak sekitar ibu kota mahupun ke tempat kerja.

Dia memiliki kereta, tetapi lelaki berusia 34 tahun ini memilih untuk terus berbasikal kerana manfaatnya kepada kewangan, masa dan kesihatan dirinya.

“Saya seorang yang sangat tidak aktif, tak bersukan langsung. Sukan yang saya ceburi pun kebanyakannya tak lama. Berbasikallah yang paling lama bertahan.

“Sebelum berkahwin pun saya memang naik basikal pergi mana-mana. Kereta ada pun buat emergency sahaja, atau untuk ke tempat-tempat jauh yang tak mampu untuk saya berbasikal,” katanya.


Bermula 2008, ke mana-mana sahaja Azrul akan berbasikal; untuk bergerak sekitar ibu kota mahupun ke tempat kerja – Gambar Astro AWANI/ISRAR KHALID

Bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat di Bangsar, setiap hari Azrul berbasikal dari rumahnya di Kampung Padang Balang, Sentul ke tempat kerjanya.

Bersama kenderaan lain yang berpusu-pusu pada waktu pagi, dia melalui Sentul, Jalan Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), melewati Dataran Merdeka dan Stesen KTM Kuala Lumpur sebelum dapat menggunakan laluan basikal khas yang diwujudkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga ke kompleks Midvalley.

“Kalau naik kereta, saya kena keluar rumah paling lewat pukul 7.30 pagi. Lambat sikit akan sangkut sebab memang jam all the way dari kawasan rumah saya sampai KL, dan akan sampai pejabat sejam setengah kemudian atau lebih. Tapi naik basikal hanya makan masa 45 minit sehingga sejam sahaja.

“Satu lagi dari segi perbelanjaan saya banyak jimat. Kalau naik kereta, minyak RM20 tahan untuk dua hari pergi balik kerja, mujur tak ada tol. Naik basikal saya hanya belanja dalam RM30 hingga RM40 untuk servis basikal setiap bulan,” jelasnya.

Boleh saja kalau dia berkereta, tetapi jelas Azrul dia akan membuang masa di atas jalan raya yang sepatutnya boleh diperuntukkan untuk memandikan anaknya yang baru sahaja lahir beberapa bulan lepas dan bersama keluarga.

Keluar rumah sekitar pukul 8 atau 8.15 pagi, dia selalunya akan sampai ke tempat kerja tepat pada waktunya jam 9 pagi, mujur juga waktu masuk kerjanya yang agak fleksibel.

Tiba di tempat kerja, tempat untuk meletakkan basikalnya pula menjadi hal.

Ada tempat parkir khas basikal di kawasan kompleks Midvalley itu, tetapi agak jauh dari pejabatnya malah lebih teruk, ia dipenuhi dengan motosikal.


Azrul melewati Dataran Merdeka dan Stesen KTM Kuala Lumpur sebelum sampai ke tempat kerja – Gambar Astro AWANI/ISRAR KHALID

Begitulah masalah yang dihadapi oleh bukan sahaja Azrul tetapi juga orang yang menjadikan basikal sebagai medium pengangkutan utama mereka, iaitu tempat parkir.

Sebelum mula bekerja di menara The Gardens di situ empat tahun lepas, dia pernah bekerja di beberapa syarikat yang bertempat di sekitar Lembah Kelang, iaitu di Jalan Yap Kuan Seng dan Jalan Klang Lama.

Menceritakan pengalamannya bekerja di Jalan Yap Kuan Seng, hal sama juga yang terpaksa dihadapinya iaitu tiada tempat parkir khas untuk basikal, kesudahannya dia mengunci basikalnya pada tiang hentian bas di hadapan bangunan pejabatnya.

“Pergi ke bangunan-bangunan lain pun begitu. Selalunya saya akan lock terus. Jadi datanglah dua tiga orang pengawal keselamatan kata tak boleh park sini, kena park tempat lain. Saya tanya dia ‘mana ada parking basikal?’ ‘Oh awak kena turun bawah, di tempat park motosikal, ha awak park la dekat sana. Masalahnya tiada keselamatan di situ, hanya untuk motosikal sahaja. Kalau letak basikal memang senang orang angkut curi bawa lari,” ujarnya.

Mujur di tempat kerjanya sekarang, pihak yang menjaga parkir ada timbang rasa dan membenarkannya untuk meletak dan mengunci basikalnya di tempat parkir motosikal kakitangan pengurusan Midvalley.

Berbasikal sudah membudaya dalam hidupnya dan dia mahu melihat lebih ramai berkongsi gaya hidup sihat ini.

Jelasnya, berbasikal ke tempat kerja memang cepat, mudah lagi jimat tetapi penunggang terdedah dengan macam-macam ancaman.

Ya, dia masih tidak puas hati dan kesal dengan kekurangan fasiliti untuk komuniti berbasikal dan lebih meresahkan adalah sikap pengguna jalan raya lain yang seakan tidak mengendahkan kewujudan penunggang basikal.

“Kereta satu hal, masuk simpang tak bagi signal. Nak tukar lorong tak bagi signal, tak tengok side-mirror main masuk saja.

“Kemudian ada yang letak kereta di laluan yang dikhaskan untuk basikal. Takkan nak pecahkan kereta itu pula kan, jadi ambil gambar kemudian viralkan sahajalah yang mampu. Buat report ke DBKL, mungkin sampai waktu penguatkuasa tiba kereta itu pun dah beredar.

“Patutnya mereka ini ‘bukalah mata,’ macam mana tak boleh berhenti atau letak kereta pada garisan atau petak kuning, begitulah juga pada garisan biru (yang dikhaskan untuk basikal), orang nak berkayuh di situ,” katanya.


Azrul masih tidak berpuas hati dan kesal dengan kekurangan fasiliti untuk komuniti berbasikal – Gambar Astro AWANI/ISRAR KHALID

Acara KL Car-Free Morning serta mewujudkan laluan khas basikal katanya adalah satu usaha baik kerajaan menerusi DBKL untuk menggalakkan orang ramai untuk berbasikal atau menggunakan medium pengangkutan lain menggantikan kereta ke arah gaya hidup yang lebih sihat dan hijau.

Namun untuk menjadikan ia sebagai cara hidup warga kota, masih banyak perkara yang perlu dilakukan dengan membentuk bandar yang benar-benar mesra basikal.

“Patutnya setiap bangunan; pusat beli-belah, pejabat kena ada tempat khas untuk parkir basikal.

“Pengurusan bangunan patutnya boleh buat permohonan kepada pemaju supaya tambah fasiliti yang kalau boleh dekat dan tidak jauh dari pandangan orang ramai serta memudahkan seperti ada palang untuk mengunci basikal,” jelasnya.

Sementara menanti pembangunan-pembangunan yang diharapkan, sebenarnya satu laman sesawang telah dibentuk untuk rujukan komuniti berbasikal di ibu kota menerusi http://ift.tt/2kUZYrD.

Ia terdiri daripada peta panduan laluan yang berpusat di Kuala Lumpur dan kawasan merangkumi 110 kilometer persegi sekitarnya serta tatatertib berbasikal berdasarkan maklumat tinjauan dan maklum balas golongan penunggang basikal dan mereka yang prihatin terhadap komuniti ini.

Kata Azrul, ia satu inisiatif persendirian yang amat berguna dalam sama-sama menyokong usaha kerajaan mewujudkan bandar mesra basikal.

Namun tegasnya, kerjasama daripada pengguna jalan raya lain turut diharapkan supaya ramai akan tertarik dan berani untuk menjadikan berbasikal sebagai cara hidup mobiliti di kota.

“Bagi pengguna jalan raya, saya mohon kalian waspada dan peka dengan orang yang tunggang basikal yang tengah guna jalan yang sama.

“Hormat antara satu sama lain. Kalau kami boleh hormat kalian pemandu dan penunggang motosikal, saya harap kalian boleh hormat kami sebagai penunggang basikal,” ujarnya.

>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2liNeyF

✍ Sumber : ☕ Berita Isu Panas


Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.