Tidak Kemuka Dokumen Lengkap Antara Punca Gagal Dapatkan Rumah Mampu Milik
KOTA BHARU: Kegagalan pembeli mengemukakan dokumen lengkap menjadi antara punca mereka tidak mampu memiliki Rumah Mampu Milik (RMM) yang dibina oleh kerajaan negeri Kelantan, kata anggota Exco negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata ini berikutan pembeli kebanyakannya bekerja sendiri dan gagal mengemukakan dokumen yang kukuh mengenai aliran tunai mereka.
“Bagi penjawat awam dan swasta pula, mereka telah mempunyai komitmen yang tinggi dalam slip gaji mereka,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Tuan Mohamad Awang (PAS-Gual Periok) yang ingin tahu status dan perkembangan rumah-rumah awam kos rendah dan isu berbangkit serta langkah penyelesaian berkaitan proses penjualan RMM oleh kerajaan negeri setakat ini.
Abdul Fattah berkata berikutan itu kerajaan negeri juga telah mengadakan sesi taklimat antara pembeli dengan pihak bank bagi memberi lebih kefahaman kepada pemohon untuk mendapatkan pembiayaan yang lebih berkesan.
Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata sebanyak 1,628 unit rumah telah siap dibina setakat ini, manakala 2,693 unit rumah sedang dibina dan 2,818 unit rumah masih dalam perancangan.
Beliau berkata bagi pembeli yang berminat untuk mendapatkan RMM, mereka perlu mendaftar dengan Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Kelantan sebelum penilaian dilakukan oleh jabatan berkenaan.
“Selepas itu, pembeli akan ditemu ramah oleh jabatan berkenaan bagi memastikan mereka benar-benar layak untuk mendapatkan RMM,” katanya. – BERNAMA
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2o40kyf✍ Sumber : ☕ Siakapkeli
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
r>r>
Post a Comment