Dedikasi Fattah Amin
SEJAK dijulang sebagai Hero Remaja lebih enam tahun lalu, nama Fattah Amin tidak pernah lekang daripada menjadi buah mulut peminat. Ada yang suka dan tidak kurang ada segelintir pencinta seni yang seakan pesimis dengan bakat pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin itu.
Akui dirinya bukanlah insan sempurna, namun aktor berusia 26 tahun itu cekal berusaha mengatur langkah jitu untuk dikenali atas tiket bakat dan bukan terhadap paras fizikal semata-mata.
Masih belajar untuk memberikan yang terbaik buat peminat, Fattah yang kini turut melebarkan sayap seninya dengan mencuba nasib sebagai penyanyi turut menanam harapan besar untuk menjadi selebriti versatil.
Tidak hanya mahu fokus terhadap satu bidang sahaja, namun anak jati Kuala Lumpur ini gigih terokai apa sahaja cabang seni yang ada selagi mampu dan mendapat sokongan padu daripada peminat.
Menyifatkan dirinya bertuah kerana mempunyai ‘jentera sokongan’ yang tidak putus-putus memberikan dorongan, Fattah secara ikhlas sempat merakamkan rasa terharu dan terima kasihnya buat peminat yang selama ini kekal setia di sisi.
“Siapalah saya tanpa peminat?”
Fatah ketika ditemui di majlis Berbuka Puasa Bersama F&N Seasons baru-baru ini di Nu Sentral, Kuala Lumpur menambah, tanpa peminat dia tidak akan berada di tahap sekarang.
Luahnya lagi, pengorbanan mereka itu tidak boleh diukur dengan wang ringgit, sebaliknya Fattah cuba memberikan apresiasi dengan cara tersendiri.
“Sudah tentunya sebagai artis, kita dan peminat itu saling memerlukan. Kita selalu dengar tanpa peminat, siapalah artis. Jadi begitu juga dengan saya.
“Mereka sudah banyak berkorban bukan hanya untuk saya tetapi juga rakan artis yang lain dari segi masa dan wang ringgit. Misalnya dalam apa sahaja pertandingan yang saya memang hasil undian peminat, itu menunjukkan bahawa peminat setia tidak pernah gagal untuk memberikan sokongan meski terpaksa melabur.
“Dari situ saya sebagai selebriti yang mereka minat perlu melakukan sesuatu untuk menghargai mereka. Kalau ditanya pada saya apakah cara untuk balas balik jasa baik dan budi mereka, saya tidak lokek untuk meluang masa.
“Kalau ada masa dan kolaborasi bersama jenama yang didukung saya sebagai duta, saya akan cuba untuk isi masa sebaiknya dengan peminat yang hadir pada sesi ramah mesra.
“Misalnya bulan lalu saya ada ke Kelantan, bersua peminat di sana dan penghargaan yang diberikan begitu baik. Rasa terharu sangat.
“Begitu juga dengan ramah bersama bersama peminat pada kali ini. Ada yang sanggup menyertai pertandingan demi bertemu saya. Syukur Alhamdulillah, biarpun terpalit dengan kisah sensasi, tapi masih ada peminat yang setia di sisi,” katanya jujur.
Rumah terbuka
Tidak hanya bertemu peminat ketika sesi ramah mesra semata-mata, bintang drama Hero Seorang Cinderella ini juga sempat mengadakan majlis kesyukuran bersama rakan artis, Fazura bersempena menyambut kedatangan Ramadan beberapa minggu lalu.
“Bersama Fazura dan client terlibat, kami ada anjurkan majlis kesyukuran bersama peminat khusus untuk meraikan Ramadan. Alhamdulillah, sambutan yang diterima begitu baik malah impak drama Hero Seorang Cinderella itu juga jelas dapat dilihat di majlis tersebut.
“Insya-ALLAH, team Fattah Amin sendiri ada merancang untuk melakukan rumah terbuka bersama peminat. Cumanya bila dan di mana itu belum dapat diputuskan kerana ia bergantung kepada jadual kerja juga.
“Apa pun, rumah terbuka bersama F&N Seasons x Fattah Amin akan diadakan pada 9 Julai depan. Sebarang informasi dan update boleh lihat di Instagram saya ya,” katanya yang bakal terlibat di dalam sebuah lagi projek drama selepas raya nanti.
Bagaimana pun, penyanyi lagu Wanita Terakhir itu tidak boleh memberikan butiran lanjut kerana projek tersebut masih di peringkat perbincangan.
Tak pernah lelah bekerja
Melihat kepada jadual seninya yang kian padat, Media Hiburan bertanya sama ada tidakkah dia penat untuk terus mengharungi pancaroba sebagai selebriti? Tersenyum dengan pertanyaan itu, Fattah Amin pantas memberikan jawapan.
Jawabnya, tiada istilah penat bekerja kerana inilah jalan yang dipilih selepas memenangi pertandingan Hero Remaja.
“Inilah jalan yang saya pilih dan tidak ada istilah penat atau lelah bekerja. Selagi saya masih sihat, masih ada demand, selagi itulah saya akan cuba gagahi diri untuk mencari rezeki. Saya ni jenis yang tak kenal erti penat. Lebih enam tahun saya buat kerja ni saya seronok menjalaninya.
“Tambah lagi, keluarga juga memahami dan menjadi antara tulang belakang yang menggerakkan diri ini untuk berusaha berikan yang terbaik dalam seni.
“Tapi itulah, kerana jadual kerja yang agak padat, saya hanya berpeluang buka puasa bersama keluarga beberapa kali saja. Namun mujurlah, setakat ini saya tidak pernah ketinggalan untuk sahur dengan mereka,” terang Fattah yang turut gembira kerana lagu duetnya bersama Fazura, Cinderella mendapat tempat baik di carta muzik dan platform digital.
“Dalam ada yang tak suka, namun lagu tersebut mendapat tempat di hati peminat setia. Malah lagu tersebut pernah duduki carta di iTunes dan menjadi antara 50 viral di Spotify. Sudah tentunya saya rasa syukur dengan pencapaian lagu tersebut.
“Yang tidak suka tu tak apa sebab bila mereka still cakap sesuatu mengenai kita, itu menunjukkan mereka pun sebenarnya ambil berat. Setiap apa yang saya terima, sama ada kritikan itu positif dan sebaliknya, saya terima dengan hati terbuka.
“Paling penting, segala macam kritikan itu saya kira sebagai satu injeksi untuk saya belajar dan terus belajar untuk memberikan yang terbaik, insya-ALLAH,” akhiri Fattah yang bakal menyambut 1 Syawal di Bagan Datoh, Perak bersama keluarga tersayang.
The post Dedikasi Fattah Amin appeared first on Berita Viral.
✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rJnE5P
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment