Hi! Welcome Back and Stay Tune! Semakin diminati ramai - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Semakin diminati ramai

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah juga dengan darah seni yang mengalir dalam diri dua penyanyi remaja meningkat naik, Ismail Izzani dan Haziq, 17.

Mewarisi bakat nyanyian daripada ibu masing-masing, Ismail anak penyanyi era 1980-an Datin Suliza Salam, manakala Haziq, anak penyanyi dangdut, Linda dari kumpulan Eva yang popular era 1990-an.

Sama seperti ibu mereka, Ismail selesa bergerak solo manakala Haziq memilih aktif secara berkumpulan bersama Putera Band.

Biarpun karier nyanyian diceburi masih hijau, yang pasti bakat nyanyian Ismail makin menjadi perhatian peminat menerusi single pertamanya, Sabar, begitu juga Haziq dan Putera Band dengan single Rebahku Tanpamu.

Seiring populariti diraih kini, sudah tentu ruang kehidupan dua pemuda ini mengalami perubahan kerana status sebagai selebriti, apatah lagi mereka makin diminati ramai.

Ditemui pada sesi fotografi bersama mereka, kedua-duanya mengakui seronok melakukan apa yang menjadi minat dan impian mereka.

Mereka bersyukur dan semuanya dianggap sebagai rezeki tak diduga. Mereka juga sedar harga yang perlu dibayar apabila jadual aktiviti seni agak padat biarpun kini Ramadan dan tidak lama lagi Syawal menjelma. Ismail dan Haziq ikhlas melakukannya.

Di sebalik perasaan syukur itu, Ismail atau Ismail Izzani Zainal Nazeri akui bimbang dengan populariti diraih berkemungkinan mengheretnya terpalit kisah sensasi.

Katanya, apabila karier nyanyian dan namanya makin menjadi perhatian, jauh di sudut hati dia risau sekiranya terkait juga dengan gosip serta cerita tidak benar.

“Apa yang menyebabkan perasaan bimbang ini muncul kerana saya sedar tidak semua orang akan suka dengan apa yang kita lakukan.

“Saya juga sedar cerita berbaur gosip dan sensasi memang mudah menjadi perhatian banyak pihak terutama masyarakat.

“Saya selalu meluahkan kebimbangan ini kepada mama dan kami banyak berbincang. Mama selalu memberi nasihat kepada saya.

“Jadi, selagi termampu seperti nasihat mama, saya akan pastikan menjaga diri daripada menjadi mangsa gosip atau cerita sensasi tidak berasas,” katanya.

Mengenai sambutan Syawal, Ismail akui paling seronok apabila berkumpul dengan keluarga dan sanak saudara.

Katanya, tahun ini kegembiraan bertambah kerana ada peminat yang menyokong karier nyanyiannya.

Ismail juga gembira kerana terbabit dengan projek istimewa sempena Aidilfitri dengan Astro Ceria untuk rakaman lagu Raya Nusantara.

“Menariknya projek ini kerana menggabungkan penyanyi dari tiga negara jiran iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

“Turut menjayakan rakaman lagu Raya Nusantara itu ialah Siti Nordiana, Alvin Chong dan Kashika (Ceria Popstar). Manakala penyanyi dari Indonesia ialah Fatin Shidqia dan Rizky Febian dan penyanyi Singapura adalah Sufi Rashid,” katanya.

Ismail juga berharap lagu Sabar layak bertanding di kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) nanti.

Katanya, kalau tiada rezeki di pentas AJL pun, dia sangat berpuas hati sekiranya lagu itu mampu bertanding di peringkat separuh akhir.

Mengakui masih mencari identiti sendiri, apa yang pasti Ismail juga tidak lupa pelajaran kerana perlu memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan diduduki tahun ini.

Single kedua selepas Aidilfitri

Ketika rakan seangkatan seperti Haqiem Rusli, Tajul Arif dan sepupunya, Aiman Tino menjadi pujaan ramai, Haziq pula selesa graf popularitinya bersama Putera Band tidak naik mendadak.

Apatah lagi dia harus mengutamakan pelajaran kerana peperiksaan SPM semakin hampir. Biarpun sibuk dengan aktiviti nyanyian, ibunya tetap memantau jadual pembelajaran hariannya.

“Sebagai penyanyi yang masih belajar, saya akur dan selesa dengan populariti dimiliki Putera Band kini tidak terlalu naik mendadak.

“Perjalanan karier nyanyian dan populariti kami (Putera Band) naik secara berperingkat dan itu sudah memadai,” katanya.

Haziq atau Muhammad Haziq Hasbullah juga akui berlaku perubahan dalam kehidupannya kini tetapi dia memilih untuk jalani kehidupan seperti biasa.

Katanya, dia tidak pernah menganggap dirinya sebagai selebriti kerana masih belajar dan perlu ke sekolah menimba ilmu.

“Apapun, nyanyian adalah karier saya dan amat penting untuk menguruskan masa dengan betul supaya kedua-duanya bergerak seiring,” katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Haziq memilih untuk bersederhana. Baginya, keperluan keluarga lebih diutamakan.

“Seronoknya Aidilfitri kerana aktiviti kunjung-mengunjung. Ia memberi ruang menziarah ke rumah sanak saudara.

“Selain itu, menikmati pelbagai juadah enak seperti lemang, ketupat dan rendang semestinya sangat menyeronokkan,” katanya.

Berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor, anak sulung daripada empat beradik ini teruja menunggu single kedua Putera Band dilancarkan.

“Setakat ini rakaman lagu sudah dilakukan dan Putera Band akan mempertaruhkan lagu ciptaan sepenuhnya Haqiem Rusli.

“Terus-terang, lagu ciptaan Haqiem ini amat sesuai dengan vokal saya dan Putera Band yakin akan diterima baik peminat,” katanya.

Belum diputuskan lagi judul lagu itu, Haziq berkata kemungkinan single kedua Putera Band akan dilancarkan selepas Aidilfitri nanti.

Haziq turut berharap lagu Rebahku Tanpamu akan layak bersaing ke pentas AJL. Putera Band turut dianggotai Mohamad Alift Abu Hasan Asa’Ari atau Alepp, 19, selaku pemain dram, Muhammad Aidid Farhan Suhami (Aidid, 14, bass) dan Mohammad Fitri Abu Hasan Asa’ri (Baby, 16, gitar utama).

The post Semakin diminati ramai appeared first on Berita Viral.



✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2sM6Qjb

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.