Hi! Welcome Back and Stay Tune! Gabungan lima cerita dalam satu naskhah - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Gabungan lima cerita dalam satu naskhah

JIKA sebelum ini persatuan teater Bakawalee Penang aktif mengadakan persembahan di Pulau Pinang seawal penubuhannya sekitar 2004 sehingga kini, kali ini mereka tampil membuat kelainan dengan bertemu audien berbeza di Kuala Lumpur.

Tampil dengan naskhah kompilasi Resiprokal, penonton disajikan dengan lima cerita berbeza di mana ia terdiri dari daripada tiga teater pendek iaitu Pukat Deduktif, Pengusir dan We Only Need Beberapa Minit.

Manakala dua lagi kisah menerusi monolog atau monodrama Duri Duri Hati: Kisah Malim dan In Utero Pseudocyesis.

Resiprokal dipentaskan selama lima hari pada 12 hingga16 Julai lalu di Studio Revolution Stage, Petaling Jaya.

Menariknya, kesemua lima cerita yang berbeza plot dan karakter ini dilakonkan oleh hanya dua pelakon iaitu Natasha Al-Haq dan Abrar Asraf, di mana masing-masing perlu membawakan lebih enam watak dengan cara mereka sendiri.

Gabungan lima cerita ini disatukan dalam kompilasi Resiprokal yang membawa maksud menerima, merasa atau membuat sesuatu sebagai balasan selain turut difahami sebagai persamaan, persefahaman, perkongsian dan melengkapi di antara dua pihak.

Oleh kerana naskhah kompilasi ini dijayakan dua pelakon, maka adalah penting mereka saling berbalasan dan bereaksi dengan baik antara satu sama lain untuk memastikan mesej yang dibawa dalam cerita ini sampai tepat kepada penonton.

Yusof Bakar selaku orang penting Bakawalee Penang yang juga merupakan pengarah untuk pementasan ini menyifatkan teater Resiprokal sebagai naskhah yang ingin membawa penonton  berfikir seketika tentang apa yang telah, sedang atau bakal berlaku dalam kehidupan sekeliling masyarakat hari ini.

Untuk merealisasikan misi itu, Yusof menggabungkan naskhah-naskhah pendek yang mempunyai isu kemasyarakatan berbeza hasil karyanya sendiri yang pernah dipentaskan sebelum ini untuk diketengahkan dalam satu pementasan baru.

“Lima cerita yang digabungkan ini tidak berkaitan antara satu sama lain, namun setiap satunya mempunyai isunya yang tersendiri, malah jika tidak diberi perhatian barangkali bakal memberi kesan atau merosakkan kehidupan dalam masyarakat kita hari ini.

“Saya sengaja memilih isu berbeza di mana ada di antaranya yang telah atau pernah berlaku dalam masyarakat kita, isu yang sedang kita lalui hari ini dan seterusnya yang mungkin akan kita lalui pada masa akan datang seperti hubungan seks bebas yang dihalalkan dan sebagainya.

“Memang tidak dapat dinafikan isu yang diketengahkan ini agak berat untuk dihadamkan, namun saya cuba menyampaikan mesejnya secara yang paling mudah menerusi persembahan ringkas  yang terus kepada maksud,” jelasnya Yusof penuh yakin.

Menurut Yusof lagi, adalah menjadi harapannya agar penonton yang hadir dapat membuka fikiran mereka agar mencari maksud di sebalik mesej yang cuba disampaikan menerusi kelima-lima cerita yang ditampilkan dalam naskhah ini.

Mahu mesej sampai

Setiap naskhah yang dipentaskan meskipun menyampaikan cerita dan makna secara terus, tetapi kata Yusof,  ia juga sebenarnya bertujuan menjentik minda separa sedar penonton dan seterusnya membina khalayak teater yang tinggi pemikirannya serta tidak pasif minda.

“Kalau pun penonton tidak dapat kesemua mesej yang kami sampaikan menerusi naskhah ini, dapat sebahagian daripadanya sahaja pun tidak mengapa kerana apa yang penting, pementasan ini dapat menggerakkan sesuatu, kalau tidak banyak pun sedikit.

“Saya mahu penonton berfikir kerana setiap cerita yang ditampilkan ini mempunyai isu-isu sensitif yang saya cuit secara  tidak sedar menerusi gaya reverse psikologi, antaranya tentang seks bebas, pengguguran bayi, penetapan wang hantaran tinggi dan sebagainya.

“Ia disampaikan dengan gaya pementasan yang sebegini supaya kita dapat berfikir tentang sesuatu yang kita jarang-jarang mahu mengambil peduli meski ia berlaku di sekeliling kita,” tegasnya.

Berkongsi tentang cabaran utamanya dalam merealisasikan pementasan ini, kata Yusof, selain naskhah yang menjadi keutamaan, persembahan para pelakon dalam menyampaikan cerita di pentas adalah perkara yang paling dititik-beratkan.

Memilih dua pelakon yang masih baru dari segi pengalaman pentas, Yusof mempunyai alasannya sendiri di mana menganggap pelakon baru lebih mudah dibentuk.

“Cabaran utama saya adalah untuk memastikan dua pelakon yang terlibat ini memenuhi setiap demand saya untuk menampilkan lakonan terbaik mereka selaras dengan kehendak watak dan karakter yang ditetapkan.

“Kalau pun tidak mencapai  seratus peratus sebagaimana yang saya mahukan, sekurang-kurangnya ia lakonan mereka hebat di pentas dengan kemampuan untuk meyakinkan penonton untuk memahami apa yang mereka berikan.

“Jadi, setiap pelakon saya mesti melalui tiga proses utama semasa latihan iaitu analisis watak iaitu mengenali watak dan karakter yang dibawa, kemudiannya observation dengan mengambil contoh karakter lain dan seterusnya menentukan teknik lakonan,” katanya yang sebelum ini telah mengarahkan lebih 40 teater.

Sementara itu, pelakon utamanya, Natasha Al-Haq menyifatkan peluang yang diberikan kepadanya untuk menjayakan pementasan ini sebagai sesuatu yang kesempatan terbaik untuknya menambah pengalaman lakonan  pentas.

Meski menganggap diri masih baru, lakonan Natasha ketika menjayakan Resiprokal ternyata begitu baik malah mendapat banyak pujian daripada penonton yang sukakan caranya membawakan setiap watak yang diamanahkan kepadanya.

“Sebenarnya naskhah ini sangat mencabar dan cukup menguji kemampuan lakonan saya kerana dalam satu masa saya perlu membawakan sebanyak lapan watak dengan karakter yang berbeza setiap satunya.

“Kalau diikutkan latihan selama sebulan sememangnya tidak mencukupi, namun saya bernasib baik kerana bekerja dengan pengarah yang cukup berpengalaman dan banyak mengajar serta membantu saya untuk menyempurnakan watak yang diberikan,” katanya.

Menyentuh tentang keberaniannya dalam menjayakan beberapa babak yang boleh dianggap ‘panas’ di mata penonton, Natasha yang merupakan penuntut jurusan drama dan teater di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang ini mengatakan apa yang dilakukan itu sekadar untuk keperluan watak semata-mata.

“Apa yang dilakukan dalam pementasan ini adalah menerusi perbincangan dan kesesuaian babak tersebut untuk menyampaikan cerita secara tepat.

“Ada sebahagiannya berlaku secara spontan di atas pentas kerana ia perlu begitu kerana kadang-kala pergerakan yang terlalu diatur akan nampak kekok sehinggakan pelakon tidak dapat menghayati apa yang sedang dilakonkan.

“Jadi apa yang berlaku di atas pentas itu bukanlah dilakukan secara suka-suka sebaliknya bersebab, namun dalam masa yang sama kami tetap mengambil kira tentang batas dan kesesuaian sesuatu perlakuan itu di pentas,” ujarnya.

Seorang lagi pelakon, Abrar Asraf  pula mengakui tidak mudah untuk merealisasikan setiap watak yang diberikan kepadanya dalam pementasan ini kerana setiap satunya mempunyai cerita dan isunya yang tersendiri.

“Ketika pertama kali mendapat skrip Resiprokal, saya sudah dapat merasakan ia bukanlah naskhah biasa sebagaimana yang pernah saya lakonan sebelum ini.

“Setiap karakter yang saya wakili mempunyai mesejnya yang tersendiri untuk disampaikan kepada penonton dan itu menjadikan saya perlu lebih bertanggungjawab dengan lakonan saya ketika di pentas,” katanya.

Tampil dengan lakonan yang cukup memberangsangkan, Abrar mengakui membuat persiapan rapi dalam usahanya untuk memberikan yang terbaik kepada penonton.

“Selain latihan yang dijalani bersama pengarah, saya banyak membuat kajian sendiri untuk menghidupkan watak yang diberikan kepada saya dengan sebaiknya.

“Ada karakter yang kita boleh kuasai hanya dengan observe, ada pula yang perlukan kepada pembacaan dan tidak kurang juga cara meniru watak-watak yang pernah ada sebelum ini menerusi drama mahupun filem.

“Alhamdulillah berkat usaha serta bantuan dari pengarah dan rakan lakon saya sendiri, saya dapat menjayakan pementasan ini dengan sebaiknya, walaupun mungkin tidak sesempurna yang dimahukan pengarah, namun saya banyak perkara baru yang saya pelajari sepanjang terlibat dalam Resiprokal ini,” katanya yang ditemui sebaik pementasan berakhir.

Secara keseluruhannya, Resiprokal berjaya dalam misinya untuk memberikan sesuatu kepada penonton. Tidak hanya menerusi kekuatan naskhahnya sahaja, tetapi juga dari persembahan lakonan yang begitu memberi impak daripada pemainnya.

Meski jumlah kehadiran penonton tidak sehebat pementasan lain yang lebih bersifat komersial, Resiprokal seharusnya berbangga dengan kejayaan mereka dalam mementaskan suatu naskhah yang sangat menarik.

The post Gabungan lima cerita dalam satu naskhah appeared first on Berita Viral.



✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2vy8xyl

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.