Peluang ‘The Speedy Jantan’ Layak Dalam 200m Samar
KUALA LUMPUR - Peluang Raja Pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang terkenal dengan jolokan ‘The Speedy Jantan’ untuk meraih tiket kategori B ke Sukan Komanwel 2018 dalam acara 200 meter masih samar ekoran ketiadaan kejohanan dalam negara mahupun luar negara pada masa terdekat.
Khairul Hafiz yang memegang rekod 200m kebangsaan dengan catatan 20.90 saat berharap, dia dapat menyertai mana-mana kejohanan dalam negara atau luar negara pada awal tahun depan bagi membolehkannya memperbaiki catatan masa untuk layak bagi kategori B.
“Acara 200m, mungkin belum ada rezeki lagi. Kalau saya layak merit ke Sukan Komanwel bagi acara itu satu bonus cuma ketika ini saya tidak tahu kejohanan terdekat yang boleh saya sertai untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel.
“Saya akui untuk buat catatan masa 20.64s (yang diperlukan untuk Sukan Komanwel) memang sukar tetapi kalau ada kejohanan terdekat, saya mahu mencuba,” katanya kepada pemberita ketika di temui di KL Sports City, Bukit Jalil.
Ketika ini, Khairul Hafiz telah layak kategori B acara 100m untuk ke Sukan Komanwel dan hanya menjalani latihan seperti biasa bersama jurulatihnya, Mohd. Poad Md Kassim bagi meningkatkan teknik larian sebagai persiapan ke Sukan Komanwel di Gold Goast pada 4-15 April tahun depan.
Untuk layak secara merit dan mendapat tiket kategori A di Sukan Komanwel bagi acara 100m, dia memerlukan catatan masa 10.15s.
Mengenai program latihan di luar negara bagi persiapan ke Sukan Komanwel, Khairul Hafiz berkata, ketika ini dia hanya berlatih di dalam negara dan menyerahkan kepada pihak atasan untuk menentukan keputusan menghantar atlet menjalani latihan di luar negara.
“Sebagai atlet tugas saya menjalani latihan dengan jurulatih. Saya percaya pihak atasan akan memahami keperluan kami dengan melihat cara latihan atlet olahraga,” katanya.
Dalam pada itu mengulas kenyataan seorang lagi atlet pecut negara, G. Aravin Thevarr yang berazam mahu memadam rekod kebangsaan miliknya dalam acara 200m, Khairul Hafiz berkata semangat itu sangat penting supaya mendorong dia supaya lebih bekerja keras tingkatkan prestasi di trek balapan.
“Bagi saya sangat penting ada pesaing yang mempunyai semangat seperi Aravin. Rekod kebangsaan tidak boleh dipegang lama, saya sendiri perlu berusaha keras untuk melakukan masa yang lebih baik daripada rekod sekarang,” katanya.
Selain Sukan Komanwel, Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan masa 10.18s turut layak beraksi dalam Sukan Asia, September tahun depan selepas memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun ini.
Mengikut sistem penarafan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), atlet atau pasukan yang melepasi kelayakan atau mempunyai merit menyertai sukan antarabangsa diletakkan dalam Kategori A dengan segala perbelanjaan atlet atau pasukan ditanggung oleh MOM sementara atlet atau pasukan berpotensi yang gagal melepasi had kelayakan di bawah kategori B perlu menanggung pembiayaan sendiri. - BERNAMA
✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2zKErKq
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment