Guan Eng menang kes laporan fitnah pembelian Mercedez Benz
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan syarikat portal, FZ Sdn Bhd, membayar ganti rugi RM150,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan RM100,000 kepada ahli perniagaan Tan Sri Tan Kok Ping kerana memfitnah berhubung penyiaran satu artikel mengenai pembelian kereta Mercedes Benz dalam laman web www.fz.com, 4 tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Wahab Mohamed turut memerintahkan syarikat portal yang sudah ditutup itu membayar kos RM35,000 masing-masing kepada Lim dan Tan.
Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata wujud unsur fitnah dalam artikel itu kerana pihak defendan gagal membuat pengesahan dengan plaintif terlebih dahulu sebelum menulis artikel berkenaan.
“Perkataan yang digunakan dalam artikel itu adalah fitnah. Mahkamah mendapati perlindungan bersyarat defendan tidak terpakai disebabkan defendan gagal melakukan beberapa perkara, misalnya membuat pengesahan dengan plaintif… melakukan sendiri pengesahan, membuat pencarian mudah dalam talian apabila sebahagian daripada fakta itu tidak benar,” katanya.
Pada Januari 2014, Lim selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan syarikat tersebut sebagai defendan pertama dan Pengarang Urusannya Terence Fernandez yang merupakan penulis artikel itu sebagai defendan ke-2. Tan turut memfail saman terhadap syarikat portal itu.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Lim mendakwa Fernandez selaku pengarang urusan dan penulis dengan sengaja, secara salah dan berniat jahat menyebabkan satu artikel bertajuk “MACC begins probe on Merc purchase” ditulis dan disiarkan di laman web tersebut pada 3 Januari 2014.
Ketua menteri itu mendakwa artikel tersebut menunjukkan yang beliau seorang korup, tidak jujur, tidak amanah dan tidak layak untuk menjadi pemimpin rakyat negeri Pulau Pinang.
Lim mendakwa artikel tersebut turut menggambarkan beliau seorang yang terlibat dengan kegiatan penerimaan rasuah dan seorang penjenayah yang disyaki melakukan kesalahan rasuah sehingga menyebabkan siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menerusi pernyataan tuntutan itu juga Lim berkata pihak SPRM mengeluarkan kenyataan badan itu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedang menyiasat beliau kepada mana-mana pihak media dan menafikan ada menjalankan siasatan terhadapnya berkenaan isu pembelian Mercedes Benz tersebut setakat 5 Januari 2014.
Oleh itu Lim menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, perintah untuk pihak defendan menarik balik artikel fitnah itu dan memohon maaf kepadanya atas penulisan dan penerbitan artikel tersebut, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai.
Sementara itu, Fernandez yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pihaknya akan berbincang dengan peguam untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.
Lim diwakili peguam Datuk N Mureli dan Edwin Raj manakala peguam Christina Siew dan Goh Chek Kang mewakili Tan. Peguam Raja Eileen Soraya Raja Aman dan Amanda Loh Yuen Ching mewakili pihak defendan. FMT
✍ Sumber Pautan : ☕ indah.com
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2o9GaFn
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment