Bolehkah RM800 Ribu Tebus Pengabaian Kepada Rakyat?
Ramai yang berpendapat, setelah berjaya dijulang sebagai Ahli Parlimen bagi sesuatu kawasan, tugasnya bermula sebaik sahaja pengumuman keputusan itu keluar. Maka, seseorang Ahli Parlimen mahupun ADUN perlu sentiasa mendampingi rakyat, melihat sendiri permasalahan setempat dan berusaha menyelesaikannya.
Namun, apa yang berlaku buat warga Parlimen Cameron Highlands memang agak mendukacitakan. Sewaktu tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu, jentera Pilihan Raya MIC dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu memenangkan calon yang juga Presiden MIC pada ketika itu, Datuk Seri G Palanivel.
Pada ketika itu, jentera mereka begitu hebat menjual janji yang beliau bukanlah seperti calon MIC sebelum ini, Datuk Seri S Devamany. Dakwa mereka, sebagai seorang Presiden parti, sudah semestinya, kebajikan dan permasalahan penduduk akan didengari dan akan ditangani dengan sebaik yang mungkin.
Namun, siapa sangka, usia karier politik Datuk Seri G Palanivel tidak berpanjangan di dalam MIC. Pada pertengahan tahun 2015, beliau telah dipecat dari jawatannya sebagai Presiden disebabkan berlaku pergolakan dalaman MIC. Sejak dari itulah, beliau semakin terpinggir tambahan pula beliau berdiri atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Barisan Nasional.
Keadaan ini menyaksikan, Parlimen Cameron Highlands terbiar tanpa ada sebarang pembelaan sewajarnya oleh MIC mahupun Ahli Parlimennya Pada ketika inilah munculnya seorang lagi Presiden parti komponen Barisan Nasional, Tan Sri M Kayveas dari MyPPP yang bertindak menjadi seperti "caretaker" buat kerusi ini.
Sepanjang hampir 3 tahun inilah, beliau menganjurkan begitu banyak program dengan menggunakan wangnya sendiri tanpa mengharapkan sangat bantuan daripada BN pusat. Apa yang beliau lakukan hanyalah kerana sayangkan tanah tumpah kelahirannya dan mahu memastikan kerusi yang dimenangi dengan hanya 462 undi ini, kekal di dalam genggaman BN.
Hari ini, setelah semua usaha yang dilakukan oleh Tan Sri M Kayveas sudah menampakkan hasil yang cukup baik, secara tiba-tiba muncul kembali pengganti Datuk Seri G Palanivel, iaitu, Datuk Seri S Subramaniam yang secara tiba-tiba mengumumkan bahawa kerusi Parlimen ini adalah hak milik mereka dan MIC secara tradisinya bertanding di kerusi ini.
Kehadiran beliau pada 6 Mac lalu juga bukan dengan tangan kosong. Sebaliknya, beliau membawa peruntukan RM800 ribu untuk disumbangkan kepada sebuah sekolah dan kuil di Parlimen ini. Ingin ditanyakan, adakah MIC cukup yakin dengan wang sebegini, mampu menebus "kehilangan" mereka selama hampir tiga tahun sebelum PRU ke 14 kali ini?
Tanyalah sesiapa sahaja yang memang tinggal di Parlimen Cameron Highlands, siapa yang akan mereka adukan sekiranya mereka mempunyai masalah. Jawapan yang akan diterima adalah, Tan Sri M Kayveas dan bukannya wakil MIC di Cameron Highlands. Ingin juga ditanyakan, adakah ini yang dikatakan kerusi tradisi sedangkan yang selama ini menjaga kerusi berkenaan adalah orang lain?
Mungkin MIC merasakan, calon mereka sudah tiga penggal bertanding di kerusi ini dan sewajarnya kerusi ini menjadi hak milik mereka. Namun harus diingat, majoriti yang diterima sejak Datuk Seri S Devamany bertanding kali pertama di kerusi ini semakin hari semakin menurun malah kemenangan Datuk Seri G Palanivel juga terlalu tipis dan ada kemungkinan BN bakal kehilangan kerusi ini jika calon yang diletakkan bukan pilihan warga Cameron Highlands.
Mudah untuk difahami, tiada parti yang mahu kehilangan jumlah kerusi yang ditandingi oleh mereka. Namun, jika kita sentuh dalam konteks sebuah gabungan parti yang membentuk Barisan Nasional, setiap satu kerusi amat penting buat BN bagi mengekalkan penguasaan parti ini di Putrajaya. Sebarang kesilapan perhitungan, impaknya bukan sedikit.
Tidak perlu tamak dalam isu ini dan sekiranya mempunyai kesedaran yang tinggi, masa depan BN di negara ini sewajarnya diletakkan di aras yang paling tinggi. Untuk membolehkan BN menang, mereka kena faham, apa kemahuan rakyat, siapa yang mereka pilih dan siapa yang mereka mahukan sebagai wakil mereka untuk lima tahun yang akan datang.
✍ Sumber Pautan : ☕ Samurai Biru
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2GmIlx8
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment